• Utama
  • Arkib Berita Tahunan
TELUK INTAN, 30 OGOS 2016 – Program ‘Executive Talk’ Jabatan Mufti Negeri Perak Bil.2/2016 telah terlaksana dengan lancar semalam. Ia adalah program rasmi anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak yang diadakan 2 hingga 3 kali setiap tahun. Pada kali ini program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Teluk Intan dan Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak. Venue yang terpilih untuk program ini yang merupakan kali kedua bagi tahun ini adalah Dewan Bandaran Teluk Intan.

Penganjur telah menjemput S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak bagi menyampaikan pembentangan pertama yang bertajuk; ‘Cabaran Umat Islam Masa Kini’. Beliau menekankan perlunya umat Islam berhati-hati dengan ancaman-ancaman pemikiran moden seperti liberalism dan pluralisme yang menggugat ketinggian agama Islam.

Selesai pembentangan pertama, program diikuti dengan pembentangan kedua oleh S.F. Prof. Dr. Jamil Bin Hashim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang juga merupakan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah. Pada kali ini beliau membentangkan tajuk; ‘Peranan Asatizah Dalam Menghadapi Cabaran Ummah’. Menurut beliau para asatizah iaitu guru-guru agama memainkan peranan yang sangat penting dalam mempertahankan agama Islam dalam menghadapi cabaran dan ancaman yang pelbagai.

Seramai kira-kira 500 peserta yang hadir untuk program ini terdiri daripada Guru-guru Pendidikan Islam (GPI), guru-guru agama dan wakil-wakil dari jabatan kerajaan. Program bermula sekitar jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 selepas sesi dialog di mana para peserta diberi ruang untuk mengajukan soalan dan pandangan kepada panel-panel pembentang.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel