munaqasyah

LUMUT, 30 SEPTEMBER 2016 – Program Munaqasyah Fiqh Falak 2016 Peringkat Kebangsaan telah diadadakan dengan jayanya di The Orient Star Resort, Lumut, Perak. Ini merupakan tahun ke-4 program tahunan ini diadakan dan Negeri Perak dipilih sebagai tuan rumah pada kali ini. Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia berlangsung selama 3 hari iaitu bermula Selasa hingga Khamis lalu (27 – 29 September 2016).

Objektif program ini adalah sebagai platform perbincangan khusus kepada isu-isu falak berkaitan syariah, mengembangkan kajian dan penjelasan hukum-hukum syarak terutamanya yang melibatkan masalah teknikal falak untuk diselesaikan, membuka jaringan rangkaian dan kesepakatan dalam menyelesaikan isu-isu falak semasa, dan melahirkan pegawai falak yang mahir bukan saja dari sudut teknikal tetapi juga dari sudut syariah.

Kira-kira 70 orang peserta telah dipilih dari Jabatan Mufti Negeri-negeri, ahli-ahli akademik serta individu-individu yang mempunyai pengetahuan berkenaan ilmu falak dan fiqh. Antara pembentang-pembentang yang dijemput ialah Prof Dato’ Dr. Mohd. Zambri Bin Zainuddin, Panel Pakar Falak JAKIM, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Bin Abdul Aziz dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Raihana Binti Abdul Wahab dari Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya (UM), Tuan Haji Hanafiah bin Abdul Razak dari Jabatan Mufti Negeri Johor, Dr. Mohd. Fahmi bin Abdul Khir, Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Perak dan En. Mohd Razlan Bin Ahmad dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Majlis Perasmian Munaqasyah Fiqh Falak 2016 ini diadakan pada malam hari kedua. Perasmian disempurnakan oleh YBhg. S.S. Tuan Haji  Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Di majlis ini juga telah dilancarkan Perisian Taqwim Solat e-Miqat yang telah dibangunkan secara kerjasama oleh Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dan Unit Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar. Manakala formula bagi pengiraan taqwim untuk perisian ini pula telah dibantu dan dipantau oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Bin Abdul Aziz dari Universiti Sains Malaysia (USM). Perisian ini bertujuan mempermudahkan Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dalam penyusunan taqwim solat Negeri Perak setiap tahun.

Program ini berakhir dengan pembentangan resolusi yang disampaikan oleh Dr. Muhamad Yamin Bin Ismail, iaitu Pegawai Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Cawangan Penyelidikan, Seksyen Syariah JAKIM pada tengahari semalam.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel