1 SEGARI, 10 MAC 2024 - Program rukyah hilal telah menjadi satu program rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak sejak dulu lagi dengan kehadiran lebih 500 orang jemputan khas dan masyarakat setempat. Program bermula usai solat Asar dengan sesi bacaan Tahlil yang diketuai oleh Imam Masjid Daerah Manjung. Sebagai pengisian utama program kali ini, Dr Ayman Al-Akiti telah dijemput untuk menyampaikan Tausiyyah Ramadhan. Beliau yang turut merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengupas isu sahsiah kita dalam menyambut dan menerima ketibaan Ramadhan. Selepas sesi Tausiyyah Ramadhan, majlis diteruskan dengan Taklimat Kenampakan Hilal yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Ketua Bahagian Falak.

Kira-kira jam 6.30 petang, semua jemputan dijemput untuk turut berada di kawasan cerapan. Satu sesi Sembang Santai Falak turut menjadi pengisian ilmu kepada semua yang hadir sementara menanti waktu matahari terbenam iaitu waktu yang yang tepat untuk memastikan anak bulan kelihatan atau tidak. Ustaz Mohd Hafiz bin Baharom dari Bahagian Fatwa telah menjadi pemudah cara Sesi Sembang Santai Falak dengan mengemukakan beberapa soalan berkaitan falak kepada ahli panel iaitu Dr Fahmi bin Abdul Khir, Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Perak.

Selepas selesai sesi Cerapan Hilal, Sahabus Samahah Mufti Perak, Dato’ Seri Hj Wan Zahidi bin Wan Teh telah membuat Pengumuman Rasmi tentang hasil cerapan anak bulan di Baitulhilal Pantai Pasir Panjang, Segari ini. Beliau juga turut membuat pemakluman kepada Pejabat DYMM Sultan Perak dan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Hasil cerapan hilal pada petang tersebut ialah Hilal Tidak Kelihatan di Baitulhilal Pantai Pasir Panjang, Segari.

Bahagian Falak selaku urusetia utama program ini mengucapkan terima kasih kepada semua jemputan yang hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Orang-orang Besar Jajahan dan Ketua-ketua jabatan serta diharap program ini memberikan kesan dan impak yang bernilai dalam perkembangan ilmu falak di Negeri Perak.
1 2 3

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel