• Home
  • News and Activities
1 BAGAN DATUK, 24 JANUARI 2024 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan program Bicara Eksekutif bersama SS Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh yang bertajuk Ahli Sunah Wal Jamaah : Tali Penyelamat pada 24 Januari 2024 bertempat di Politeknik Bagan Datuk

Program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Politeknik Bagan Datuk dan Jabatan Agama Islam Perak ini turut dihadiri oleh Pengarah Politeknik Bagan Datuk, TS Dr. Abd. Rahim bin Awang, Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, YDH. Toh Seri Lela Paduka Dato' Dr Khalid Bin Ismail, guru-guru Tauliah / Takmir / KAFA Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, para-para Asatizah dan warga Bagan Datuk.

Program yang diadakan ini dikendalikan oleh moderator dari Jabatan Mufti Negeri Perak sendiri iaitu SF Ustaz Mohd Hafiz bin Sulaiman. Tiga panelis ditampilkan dalam sesi berkenaan iaitu SS Mufti Negeri Perak sendiri, Dato’ Seri Wan Zahidi bin Wan Teh, SS Timbalan Mufti Negeri Perak, Dato’ Haji Zamri bin Hashim dan Pendakwah Bebas, AF Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid.

Antara objektif utama program adalah untuk memberi pemahaman yang lebih dalam tentang prinsip-prinsip ASWJ termasuk keyakinan, praktik, dan nilai-nilai yang mendasarinya. Ianya juga dapat mengembangkan pemahaman tentang bagaimana prinsip-prinsip ASWJ dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian termasuk dalam hal-hal seperti hubungan sosial, pekerjaan, dan tanggungjawab individu.

Secara keseluruhannya program ini telah disusun dengan rapi dimana kandungan program ini sangat berinformasi dan relevan dengan peserta yang hadir. Selain itu, interaksi dan dialog yang teratur daripada para panelis dengan peserta juga telah menjadi faktor penting untuk memastikan pemahaman terhadap ASWJ dapat difahami dengan lebih baik.

Sesi bicara eksekutif ini diakhiri dengan sesi soal jawab dan sesi bergambar bersama-sama para peserta dan para panelis. Program ini merupakan wadah yang baik untuk berdiskusi dan berinteraksi bersama bagi menjana idea dan mendapatkan maklumat yang jelas tentang isu dan perkara yang dibangkitkan. Semoga ilmu dan maklumat yang dikongsi bersama dapat memberikan pendedahan yang bermanfaat kepada para peserta.
1 2 3

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Print Email