Berita Keratan Akhbar: COVID-19 - Mufti Perak sedang dirawat di ICU

1 IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang disahkan positif COVID-19 minggu lalu, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Anak kepada Mufti Perak, Datuk Ahmad Wafi ketika dihubungi memaklumkan secara ringkas status terkini kesihatan bapanya yang sedang dirawat. "Abah memang di ICU dan mak pula semakin pulih dan ada di rumah," katanya.

Ahmad Wafi turut menafikan berita tular di media sosial yang mengatakan ibunya sudah meninggal dunia. "Berita tular isteri mufti Perak meninggal dunia itu adalah palsu," katanya. Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa setakat ini, Harussani sedang dirawat di pusat perubatan berkenaan. "Kami dimaklumkan bahawa Tan Sri (Harussani) masih sedang dirawat di HRPB, manakala isteri dan anaknya pula sudah 'discharged'. "Kita meminta marilah kita semua sama-sama mendoakan akan kesembuhan Mufti Perak," katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber daripada akhbar Berita Harian Online, Isnin - 24 Mei 2021 di pautan berikut:- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/820319/covid-19-mufti-perak-sedang-dirawat-di-icu?fbclid=IwAR2Z4k-NcKpncMukSR4gtVYqUGM9Bs_mHsygbrDerrMc8R8bXfRfp0ylDis

*********************************************************************************************************************************************************************************************************************

>> Titipan khas buat Tan Sri Mufti: Kami berdoa agar SS Tan Sri Dr Harussani Zakaria, segera kembali sembuh. Kami juga mendoakan ahli keluarga beliau berada dalam keadaan baik dan tabah menghadapi ujian ini. Kami, warga Jabatan Mufti Negeri Perak juga mendoakan agar diberi kekuatan dan terus dapat berkhidmat di bawah kepimpinan SS Tan Sri demi kemajuan Islam di Negeri Perak. Sama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan semua. <<

.

World #QuranHour Peringkat Agensi Agama Islam Perak

qh IPOH, 6 MEI 2021 - World #Quran Hour Peringkat Agensi Agama Islam Perak berjaya menghimpunkan seramai 52 peserta daripada pelbagai jabatan yang terlibat dalam penganjuran julung kali melibatkan agensi agama Islam di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bertemakan 'Bangsa Berbudi dan Penyayang' program World #QuranHour di masjid itu dimulakan dengan bacaan surah bacaan alunan Asmaul Husna diikuti bacaan surah al-Fatihah oleh Mohd Hafiz Sulaiman dari Jabatan Mufti Perak. Bacaan Surah al-Mulk kemudian diperdengarkan secara bergilir-gilir oleh setiap wakil jabatan yang terlibat dengan diselangi bacaan terjemahan. Tadabbur keseluruhan 30 ayat Surah al-Mulk kemudiannya disempurnakan Zamri. Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan menjadi surah pilihan dan tema bagi World #QuranHour tahun ini dalam membina karakter orang berjaya di dunia dan akhirat. Dengan menghayati surah Al-Mulk, adalah diharapkan dapat membina kekuatan kerajaan di dalam diri, keluarga, organisasi dan komuniti dalam negara.

Hadir sama pada program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansur; Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Perak, Mohd Asri Ghazali dan Pengurus Besar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, setiap individu mungkin boleh berperwatakan dan menampilkan diri seperti orang hebat tetapi hakikatnya ALLAH SWT maha mengetahui apa yang ada di dalam diri seseorang. Menurutnya, ALLAH SWT memberi bukti menerusi ayat 14 Surah al-Mulk bahawa Dia yang maha halus urusan pentadbiran dan maha mendalam pengetahuan-Nya. "Sebab itu, kita sebagai yang menjawat di dalam agensi agama ini, bos kita yang paling besar adalah ALLAH SWT, bukan tuan pengarah, bukan Yang Amat Arif bukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), bukan ketua pendakwa tetapi ALLAH SWT. "Ini sangat penting supaya kerja kita berprinsip, khidmat kita nombor satu kepada ALLAH SWT. Kita berlakon, kita bermuka-muka, kita bodek sana sini, ALLAH SWT tahu sebab yang menciptakan kita adalah ALLAH SWT," katanya ketika mentadabbur 30 ayat Surah al-Mulk.

Inisiatif World #QuranHour adalah wadah permulaan memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada daripada segi bacaan, penghayatan dan amalan.

qh qh qh
qh qh qh

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Rukyah Hilal Ramadhan 1442H-12 April

1 SEGARI, 12 APRIL - : Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1442H / 2021M telah diadakan dengan jayanya di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari pada Isnin 29 Syabaan 1442H bersamaan 12 April 2021M. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YDH Toh Seri Bijaya Leftenan Kol. (Bersara) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Tuan Sharul Azam Bin Shaari, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak dan S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
Majlis bermula pada 5.30 petang dengan bacaan tahlil dan doa yang dibimbing oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Bahagian Fatwa. Setelah selesai bacaan tahlil, majlis diteruskan lagi dengan ceramah khas yang telah disampaikan oleh A.F. Ustaz Muhammad Faris bin Muhammad Ismi, Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Kajian Fatwa Negeri Perak. Kemudian Taklimat Kenampakan Hilal Ramadan 1442H telah disampaikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Amri Alhusni bin Mohamad Dasuki, Penolong Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak.

Setelah Taklimat Kenampakan Hilal selesai para tetamu dan Ahli Jawatankuasa Rukyah melaksanakan aktiviti rukyah iaitu melihat anak bulan dengan menggunakan peralatan teleskop yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perak. Apabila aktiviti rukyah hilal selesai setelah anak bulan terbenam, S.S. Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti mewakili S.S. Mufti Negeri Perak telah mengumumkan bahawa hilal tidak kelihatan dan melaporkan kepada Penyimpan Mohon Besar Raja-Raja Malaysia. Majlis diteruskan dengan solat Maghrib, jamuan makan malam, solat Isyak secara berjemaah dan berakhir setelah para tetamu menikmati jamuan minum malam selepas solat sunat Tarawih secara berjemaah. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua urus setia dan tetamu yang terlibat menjayakan Majlis Rukyah Hilal Ramadan 1442H pada kali ini.

1 3 4

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Falak: Bengkel Arah Kiblat

1 IPOH, 5 APRIL : Satu Bengkel Arah Kiblat telah dianjurkan oleh Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perak . Kursus yang berlangsung selama setengah hari itu melibatkan seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada para juru ukur dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perak juga sebahagiannya terdiri dari ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak (PPIFIP) . Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia S.S. Dato Hj.Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.
Pada jam 9.00 pagi bagi sesi yang pertama bertajuk Isu-Isu Fiqh dalam Penentuan Arah Kiblat telah disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal bin Jani Pegawai Falak di Jabatan Mufti Negeri Perak yang telah mengupas secara ringkas berkaitan arah kiblat dalam perspektif Islam dan ilmu Falak yakni dari sudut kewajiban seseorang muslim itu menghadap kiblat dalam melakukan ibadah solat, penyembelihan dan juga ketika hendak mengebumikan jenazah di tanah perkuburan. Dan pada pukul 11.00 pagi pula bermula sesi yang kedua bertajuk Prosedur Penentuan dan Pengesahan Arah Kiblat yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak. Pada kali ini S.F. Ustaz Mohamad Faizal memberi penerangan kepada para peserta berkaitan prosedur permohonan arah kiblat sehinggalah selesai iaitu sehingga sijil dikeluarkan. Antara prosedur-prosedur permohonan tersebut ialah mendapatkan sokongan dari Pegawai Tadbir Daerah, surat kebenaran membina dan meroboh dari pihak Jabatan Agama Islam Perak dan pelan tapak sekiranya ada. Sesi yang kedua ini berakhir pada pukul 12.30 tengahari setelah selesai sesi soal peserta dan Ustaz Faizal bin Jani.

Majlis berakhir pada jam 12.30 tengahari dan para peserta bersurai setelah menjamu selera yang telah disediakan oleh pihak urusetia. Ucapan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam Bengkel yang telah diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah Jalan Diary, Ipoh.

1 3 4

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Bengkel Pembangunan Corruption Risk Assesment (CRA) Dan Organisational Anti Corruption Plan (OACP) Jabatan Mufti Negeri Perak

1 SERI ISKANDAR, 29 MAC : Bahagian Pentadbiran Dan Kewangan, Jabatan Mufti Negeri Perak telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Corruption Risk Assesment (CRA) Dan Organisational Anti Corruption Plan (OACP ) yang dianjurkan pada 29 hingga 31 Mac 2021 bertempat di D’Hotel, Seri Iskandar.
Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan daripada kumpulan Pelaksana telah diberi pendedahan dan pemahaman serta merangka, menyedia, membangun dan melaksanakan OACP.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh Puan Halimah binti Md. Shariff (bekas Ketua Cawangan Penyelidikan Dan Pembangunan Modul di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dan telah dirasmikan oleh Yang Berbahagian SS Dato’ Haji Zamri bin Hashim.

1 3 4

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita Keratan Akhbar: 'Usah biar golongan antivaksin bunuh ilmu sains'

1 KUALA LUMPUR, Februari 15, 2021 - Kalangan ahli agama menjelaskan rakyat perlu mentaati arahan pemerintah termasuk dalam urusan vaksinasi umum bagi mengekang penyakit COVID-19 kerana ia demi kebaikan umum susulan penularan jangkitan semakin membimbangkan. Walaupun bagi mereka keharusan penggunaan vaksin bukan bersifat mutlak berdasarkan syarat-syarat tertentu, tidak salah jika mentaati arahan pemerintah kerana ia perkara yang dituntut oleh syarak. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, langkah kerajaan untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi rakyat adalah satu usaha yang sangat murni dalam situasi sekarang yang semakin membimbangkan.

"Sekiranya arahan pemerintah itu adalah suatu kemakrufan, kebaikan serta mendatangkan maslahah kepada rakyat, sama ada arahan itu disukai oleh kita atau tidak, selagi bukan bukan maksiat, maka wajib dipatuhi. Ini bertepatan kaedah fiqh yang masyhur iaitu urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah," katanya. Selain ayat al-Quran, Rasulullah SAW juga akan bersabda bahawa: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu adalah suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat". Timbalan Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob, berkata walaupun ulama sepakat penggunaan vaksin COVID-19 sebagai harus, dalam keadaan lain vaksin wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan berdasarkan keperluan semasa sebagai barisan hadapan melawan penularan COVID-19.

"Ini satu ketetapan berdasarkan alasan syarak jika tiada vaksin alternatif yang suci tetapi keadaan semasa bersifat darurat seperti mana berlaku sekarang demi menyelamatkan nyawa atau hifz al-nafs. "Sesuatu vaksin tidak mudah untuk dihukumkan harus sekiranya tiada justifikasi yang kukuh," katanya yang turut terbabit secara langsung dalam pembangunan dan kajian klinikal fasa tiga vaksin COVID-19 bersama Kementerian Kesihatan (KKM). Mengulas mengenai hasutan golongan anti-vaksin yang bertopengkan agama, Dr Azizi menegaskan tuduhan mereka perlu dipatahkan dengan menggabungkan ilmu Islam dengan sains perubatan serta penjelasan lanjut perlu terus diberikan kepada semua pihak berkepentingan. Menceritakan pengalamannya yang terbabit secara langsung dengan pembangunan vaksin di tahap pra-klinikal dan kajian klinikal fasa 1 sejak 2007 bersama pasukan pakar vaksin dari Taiwan dan Amerika Syarikat (AS), ia meyakinkan beliau bahawa ilmu vaksin adalah suatu ilmu sains perubatan hasil daripada penemuan saintis lebih 300 tahun lalu serta bertepatan dengan Islam.

"Teknik inokulasi yang sering dikaitkan dengan pencipta terawal vaksin oleh Edward Jenner 1796 iaitu seorang pakar bedah England. Sebaliknya didapati konsep vaksin ini telah lebih awal dibangunkan dalam dunia Islam Turki pada 1724 di mana pada waktu itu kanak-kanak di Turki telah divaksinkan dengan 'cowpox' untuk menghalang penyakit 'smallpox'. "Ilmu vaksin itu dibawa ke Eropah oleh isteri kepada duta Inggeris pada waktu itu. Justeru, kebencian kepada vaksin ini oleh pihak tertentu yang memusuhi atau juga dikenali sebagai golongan anti-vaksin tidak boleh dibiarkan kerana mereka akan membunuh ilmu sains yang telah terbukti memberi manfaat kepada alam sejagat sejak ratusan tahun," katanya.

Sumber daripada akhbar Berita Harian Online, Selasa - 15 Februari 2021 di pautan berikut:- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/02/786569/usah-biar-golongan-antivaksin-bunuh-ilmu-sains#.YCsTb9xUdik.whatsapp

Berita/Aktiviti : Cerapan Rukyah Hilal Jamadilawal 1442H bersama INSTUN

1 SEGARI, 15 DISEMBER – Satu program cerapan (rukyah) anak bulan bersama telah berjaya dilaksanakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari. Cerapan anak bulan atau hilal Jamadilawal 1442H ini dilakukan oleh 4 orang pegawai Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak bersama dengan 5 orang pegawai dari Institut Tanah dan Ukur Negara, Tg. Malim (INSTUN).
Jabatan ini mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Sr. Haji Ahmad Azmi Bin Hashim, Ketua Bahagian Ukur dan Pemetaan, INSTUN berserta 5 orang pegawai di bawah pentadbiran beliau atas kerjasama dalam menjayakan program cerapan secara bersama ini walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan di Negeri Perak.

Namun hasil cerapan tersebut mendapati bahawa hilal tidak kelihatan kerana faktor langit berawan sepanjang cerapan diadakan. Diharapkan agar program cerapan bersama seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang bersama-sama INSTUN dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

1 3 4

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita/Aktiviti : Bengkel Latihan Sistem Maktabah Digital

1 IPOH, 30 November - Sistem Maktabah Digital Jabatan Mufti Negeri Perak bakal menjadi sumber rujukan ilmiah yang boleh dicapai secara maya. Sistem yang berteraskan pengumpulan bahan bacaan dan terbitan ilmiah jabatan ini pada peringkat awalnya akan menjadi platform utama kepada kakitangan jabatan menggunakan sepenuhnya teknologi terkini bagi mendapatkan bahan bacaan dan rujukan. Pembangunan sistem ini selaras dengan saranan kerajaan dalam kemajuan era digital dan teknologi masa kini.
Sehubungan itu, Bahagian Maktabah jabatan ini telah mengadakan sesi bengkel latihan penggunaan Sistem Maktabah Digital kepada semua kakitangan jabatan. Bermula dengan sesi latihan kepada para pentadbir sistem, ketua-ketua bahagian dan kepada semua kakitangan yang akan menjadi pengguna kepada sistem ini. Sesi latihan yang bermula seawal jam 8 pagi telah berlangsung di bilik mesyuarat jabatan ini dengan pengkelasan kepada 4 sesi iaitu, pentadbir, ketua bahagian dan 2 sesi untuk pengguna.

Pengendali bagi semua sesi latihan ini adalah Encik Asyraf Azhar dari Syarikat Pasca Jaya Sdn. Bhd. dan telah selesai dengan jayanya kira-kira pada jam 4 petang.

1 3 4

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita Keratan Akhbar: Mufti gesa hukuman berat ke atas pihak palsukan logo halal

IPOH, 3 Disember - Hukuman berat harus dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam memalsukan dokumen dan logo halal bagi produk makanan untuk pasaran di negara ini. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, individu mahupun kumpulan yang bersubahat dalam kegiatan itu juga perlu dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Dalam masa sama, katanya, agensi penguatkuasaan perlu meningkatkan lagi operasi, manakala kesedaran awam mengenai isu itu perlu dipertingkatkan. “Saya berpandangan perkara ini berlaku berpunca daripada sifat ketidakjujuran dalam mana-mana rantaian proses import dari negara asal hingga ke pasaran kepada orang awam. Barangkali ada isu-isu integriti dalam agensi-agensi berkaitan. “Dari segi hukum pula, apabila kita mengetahui bahawa daging itu asalnya tidak halal, maka umat Islam haram menjual, membeli dan memakannya,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Sementara itu, beliau berkata, isu mengenai makanan halal dan baik atau halalan taiyyiban banyak disentuh dalam al-Quran yang seharusnya menjadi panduan serta rujukan kepada umat Islam. Malah, katanya, isu makanan tidak boleh lagi dilihat sebagai isu individu tetapi mesti dilihat sebagai satu tuntutan bagi memenuhi keperluan umat Islam yang menjadi majoriti penduduk negara ini.

Pandangan sama turut dikongsikan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid yang menyarankan agar masyarakat Islam lebih berhati-hati dalam pembelian daging sejuk beku. “Pengguna Islam kena lebih waspada dan pastikan mereka mendapatkan daging serta ayam daripada pembekal yang diiktiraf. “Rasulullah SAW juga pernah menyatakan bahawa perkara halal dan haram itu jelas, namun di antara keduanya ada perkara yang syubhat (samar-samar),” katanya. Beliau berkata, pihaknya berpandangan dihukumkan harus bagi seseorang yang tidak mengetahui tentang status daging dipasarkan. “Jadi apa yang jelas pada mata saya ialah ketika mana seseorang itu tak tahu tentang mana halal haramnya, maka dihukumkan harus tapi setelah dia mengetahuinya, maka hukumnya jadi haram sebab benda itu jelas adalah haram,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula berkata, tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap pembekal, pemborong dan peniaga yang cuba mengambil kesempatan menjual produk daging diragui status halalnya. Menurutnya, tindakan itu penting dalam menjaga kepentingan umat Islam di negara ini kerana kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membawa masuk daging dari negara yang tidak mendapat pengiktirafan halal. “Kita bimbang, produk daging import ini diedar ke pasaran menggunakan logo lalal palsu dan dibeli umat Islam. “Justeru, pengguna dalam kalangan umat Islam juga kena lebih berhati-hati memilih produk daging import ini supaya tidak terbeli daging yang diragui status halal,” katanya.

Sumber daripada akhbar Sinar Harian, Khamis - 3 Disember 2020 di pautan berikut:- https://www.sinarharian.com.my/article/113053/LAPORAN-KHAS/Mufti-gesa-hukuman-berat-ke-atas-pihak-palsukan-logo-halal

Berita/Aktiviti : Kolokium Parameter Bid'ah

1 IPOH, 2 November - Jabatan Mufti Negeri Perak mengadakan Program Kolokium Parameter Bid'ah bertempat di Di Casuarina @Meru, Ipoh. Program ini membincangkan beberapa perkara yang akan dijadikan sebagai panduan dalam urusan umat Islam khususnya di dalam Negeri Perak.

Antara perkara yang dibincangkan dalam Dhawabith Bid'ah ialah Akidah, Fiqh dan Tasawwuf. Antara panel yang mendapat tempat dalam perbincangan ini ialah: 1. S.F Prof. Madya Dr. Fairooz b. Abdul Khir 2. S.F Ustaz Ahmad Fawwaz b. Hj. Fadzil 3. S.F Dr. Mohd Faizal b. Abdul Khir 4. A.F ustaz Kamal Izat b. Ahmad

JProgram ini turut diserikan lagi dengan kehadiran SS Dato' Hj. Zamri b. Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Program ini diseliakan oleh 5 orang kakitangan daripada Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak. Program ini berakhir pada 3 November 2020.

1 3 4

Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.