• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak

fatwaIPOH, 17 JANUARI 2019 – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah diadakan semalam. Ia bertujuan membincangkan hukum-hakam bagi isu-isu yang diutarakan oleh pihak berautoriti yang memerlukan keputusan dan penjelasan hukum.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Y.Bhg. SS. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada Y.Bhg. SS. Tuan Haji Zamri Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, Y.Bhg. Dato’ Haji Mohd Yusop Haji Husin, Pengarah JAIPk, Dato’ Haji Asad Awang, Tuan Haji Mohd Suaid Din, Prof. Madya Dr. Haji Ahmad Husni Haji Hassan, Prof. Dr. Jamil Hashim, Tuan Haji Md. Dali Ghazali, Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz Abdul Khir dan Prof. Madya Dr. Lukman Abdul Mutalib. Ia turut dihadiri oleh Tuan Haji Kamaruddin Adam sebagai setiausaha dan ustaz Ahmad Khairul Nizam Ahmad Tarmizdi sebagai urus setia mesyuarat.

Mesyuarat bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 1.00 tengah hari. Pelbagai isu telah dibentang dan dibincangkan dengan teliti. Malah beberapa isu akan dibawa ke mesyuarat yang seterusnya. Ia adalah mesyuarat berkala yang diadakan 4 hingga 6 kali setiap tahun.

fatwa

fatwa

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Fiqh Perubatan 2018

fiqhSLIM RIVER, 23 NOVEMBER 2018 – Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Hospital Slim River telah mengadakan Program Fiqh Perubatan 2018 semalam. Ia bertujuan memberikan penerangan kepada para pengamal perubatan tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan perubatan.

Penceramah yang dijemput adalah YBhg. Dato’ Dr. Wahinuddin bin Sulaiman, Pensyarah UniKL Royal College of Medicine Perak dan AF. Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Konsultan Syariah Telaga Biru Sdn. Bhd. Kedua-dua penceramah ini merupakan penulis buku Panduan Doktor Muslim yang digunakan dalam program ini.

Para peserta terdiri daripada pengamal perubatan seperti doktor, jururawat dan pembantu jururawat, serta guru-guru tauliah mengajar agama sekitar Slim River. Kira-kira 200 orang peserta hadir ke program ini. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Dr. Mohd Yassim Abd Rahman, Pengarah Hospital Slim River, dan Pegawai Tadbir Agama Teluk Intan, AF. Tuan Haji Mustapa Bin Jaafar.

Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan pembentangan slaid oleh Y.Bhg. Dr. Wahinuddin, diikuti dengan pembentangan bedah buku oleh AF. Ustaz Ahmad Fauwaz. Pada jam 2.30 petang, program bersambung dengan sesi soal jawab. Para peserta bertanyakan pelbagai soalan yang menarik dan dijawab dengan baik oleh kedua-dua panel. Malah peserta bertanya yang terpilih telah mendapat hadiah berupa buku karangan Ustaz Ahmad Fauwaz. Program tamat pada jam 4.30 petang.

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Fiqh Kewanitaan 2018

fiqhIPOH, 14 NOVEMBER 2018 – Program Seminar Fiqh Kewanitaan 2018 telah diadakan dengan jayanya semalam. Program ini diadakan di Dewan Kuliah Al-Muttaqin Taman Meru, merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Masjid Al-Muttaqin Taman Meru. Ia bertujuan memberikan penerangan kepada para peserta tentang hukum-hakam berkaitan hal ehwal wanita yang telah dimuat dalam buku Fiqh Wanita.

Penceramah yang dijemput untuk program ini ialah penulis buku Fiqh Wanita terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Iaitu AF. Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil Noor. Beliau menjelaskan lagi kandungan di dalam buku itu dengan lebih mendalam kepada para peserta. Antara isu yang dijelaskan ialah berkaitan hukum berkhatan bagi wanita, syarat-syarat untuk wanita bekerja, dan aktiviti-aktiviti wanita di zaman Rasulullah SAW.

Kira-kira 200 lebih peserta yang hadir, kebanyakannya dari kalangan wanita. Semua peserta telah mendapat senaskhah buku Fiqh Wanita tersebut secara percuma sumbangan dari penganjur. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Tuan Haji Kamaruddin bin Adam, Ketua Penolong Mufti Negeri Perak, dan AF. Tuan Haji Asyraf bin Ismail Pegawai Tadbir Agama Ipoh.

Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan pembentangan bedah buku oleh AF. Ustaz Ahmad Fauwaz sebelum berhenti rehat pada jam 12.30 tengah hari untuk jamuan makan dan solat Zohor. Pada jam 2.30 petang, program bersambung dengan sesi soal jawab. Program tamat pada jam 4.00 petang untuk beri laluan kepada minum petang dan solat Asar.

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Rukyah Hilal Syawal 1439H

rukyah syawalSEGARI, 14 JUN 2018 – Program Majlis Rukyah Hilal Syawal 1438H bersamaan 2018M telah diadakan dengan jaya pada hari Khamis yang lalu. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 1 Syawal setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari.

Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah YB Dr. Aziz Bin Bari, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak mewakili YAB Menteri Besar Perak, Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan sekitar daerah Manjung.

 Program bermula dengan bacaan tahlil selepas solat Asar. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Perak. Ia diikuti dengan Taklimat Kedudukan Hilal Syawal yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Selepas itu program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilaliaitu melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan. Ia bermula sekitar jam 7.00 petang. Lebih 200 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai.

 Pada jam 7.50 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Syawal telah kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Ini adalah buat kali pertama anak bulan Syawal telah kelihatan di sini sejak 15 tahun yang lalu. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat Maghrib berjemaah.