• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Berita/Aktiviti : Tafaqquh Ilmu Falak

1 IPOH, 5 Oktober - Bertempat di Casuarina@Meru telah berlangsung satu Program Tafaqquh Ilmu Falak bersama Yang Berbahagia Tuan Guru Ustaz Hj.Hanafiah bin Abd.Razak pakar ilmu falak yang juga Panel Pakar Falak Jakim bertajuk “ Gerhana “ yang terbahagi di antara gerhana matahari dan gerhana bulan berpandukan kitab turath Sabilal Muhtadin karangan As-Sheikh Tuan Guru Hj.Arshad Al-Banjari.

Seramai 98 orang peserta telahpun hadir menyertai program tafaqquh ini yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato Hj.Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Perak pada 28 September 2020 iaitu pada hari Isnin. Program ini telahpun berlamgsung selama satu hari bekerja bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang. Dalam program tafaqquh ilmu falak yang saban tahun dianjurkan oleh bahagian falak jabatan mufti negeri perak adalah bertujuan untuk berkongsi ilmu falak kepada para guru agama tauliah negeri perak dan juga kepada para peminat ilmu falak di negeri perak khususnya dan dari luar amnya.

Justeru program tafaqquh ilmu falak kali ini para peserta dapat mempelajari tentang gerhana dan beza antara gerhana matahari dan gerhana bulan dan bagaimana ianya berlaku. Pada masa yang sama ianya mengajar kita sebagai seorang hamba Allah bagaimana tatacaranya kita dalam persediaan menghadapi fenomena gerhana matahari dan bulan yang juga merupakan salah satu tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT. Dan yang terakhirnya sangatlah besar harapan pihak penganjur dan urusetia semoga program tafaqquh ilmu falak ini dapat memberi manfaat kepada semua yang telah turut sama menjayakannya.

2 1 1

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita/Aktiviti : Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Kali Ke-220 (Bil 1/2020)

1 KUALA LUMPUR, 30 September hingga 1 Oktober 2020 - telah diadakan satu Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa telah diadakan yang bertempat di PNB Perdana On The Park, Kuala Lumpur. Sejumlah 15 kertas kerja telah dibentang dan diberi penerangan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak bagi mendapatkan pandangan serta keputusan untuk tindakan lanjut.

Sebagai perincian, sembilan kertas kerja telah dibentangkan oleh pihak Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dan enam kertas kerja telah dibentangkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi Bahagian Pengurusan Masjid.

Sesi mesyuarat telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Zamri bin Hashim yang merupakan Timbalan Mufti Negeri Perak.

2 1 1

Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita/Aktiviti : Kursus Amali Kiblat

1 BEHRANG, 5 September - Satu Kursus Amali Kiblat: Teori dan Praktikal anjuran bersama Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN), Behrang dan Jabatan Mufti Negeri Perak telah berakhir dengan jayanya semalam. Ia diadakan pada 2 hingga 4 September 2020 bermula Rabu hingga Jumaat. Kursus tersebut melibatkan seramai 25 orang peserta yang majoritinya terdiri daripada ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak (PPIFIP) dan persendirian. Kursus 3 hari 2 malam ini melibatkan 3 orang penceramah utama terdiri dari pegawai INSTUN dan juga pegawai Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu En. Mahruzaman Bin Misran, En. Fazili Anuar Bin Md Yusuf dan pegawai falak Jabatan Mufti S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani.

"Pada hari pertama sesi teori dimulakan dengan tajuk Ilmu Falak Dan Perkembangannya yang disampaikan oleh En. Mahruzaman dengan peserta didedahkan dengan pengenalan ilmu falak secara umum. Sesi seterusnya adalah berkaitan dengan Teori Arah Kiblat : Perbandingan Kaedah Konvensional dan Moden Dalam Penentuan Arah Kiblat. Pada sesi ini para peserta didedahkan pula dengan ilmu dan kaedah penentuan arah kiblat tradisional dan moden.

Pada hari terakhir para peserta dikehendaki menyelesaikan tugasan latihan arah kiblat secara individu sebagai ujian kendiri tanda kefahaman berkaitan dengan ilmu pengukuran arah kiblat. Kursus ini telah berakhir dengan majlis penutup yang telah dirasmikan oleh pengarah INSTUN YBhg. Puan Norehan Binti Omar.

2 1 1

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Keratan Akhbar : Keadaan Mufti Perak makin pulih

1 IPOH, 3 September - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Ipoh, kini semakin pulih dan sudah dipindahkan ke wad biasa. Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin, perkembangan terkini itu dimaklumkan Jabatan Mufti Negeri Perak. Katanya, Harussani kini sedang dipantau rapi oleh Pakar Perubatan dan Neurologi hospital pakar berkenaan, Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir.

"Keadaannya semakin bertambah baik dan beliau sudah boleh tindak balas serta faham apa yang kita cakap, tetapi masih belum mampu berinteraksi balik dengan kita. "Sebelah bahagian badannya sudah boleh digerakkan, beliau dipindahkan ke wad biasa beberapa hari lalu," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal Negeri Perak 2020, di Dewan Saidina Omar Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini hari ini.

Mohd Akmal berkata, lawatan atau ziarah sudah dibenarkan namun perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak hospital. "Jangkaan bila Mufti boleh daftar keluar dari hospital masih belum diketahui, sudah boleh melawat (Mufti) tetapi kena patuh SOP dan kalau boleh bagi peluang kepada Mufti untuk rehat secukupnya," katanya. Sebelum ini NSTP melaporkan, Harussani dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak, selepas mengalami serangan angin ahmar 23 Ogos lalu. Keadaan Harussani sebelum ini lemah pada bahagian badan sebelah kanan dan mengalami kesukaran untuk bercakap.

Sumber: Keratan Akhbar Berita Harian Online| Khamis, 3 September 2020 | 2:53pm

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/727525/keadaan-mufti-perak-makin-pulih

Keratan Akhbar : Keadaan Mufti Perak bertambah baik

1 IPOH, 24 Ogos - Keadaan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini pagi semalam, akibat serangan strok, bertambah baik, demikian menurut doktor yang merawatnya. Pakar Perubatan dan Neurologi Hospital KPJ Ipoh, Datuk Dr Zakaria Kadir, berkata keadaan Harussani, 81, ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira pukul 9 pagi semalam agak teruk, termasuk lemah sebelah kanan badan serta sukar bercakap. "Alhamdulillah, petang semalam beliau dah mula beri reaksi dan hari ini bertambah baik, boleh bercakap beberapa perkataan serta ada reaksi emosi berbanding semalam," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin melawat Harussani di sini, hari ini. Dr Zakaria berkata, selain memberikan ubat rehat kepada Mufti Perak itu kerana keadaannya yang keletihan, beliau turut memberikan rawatan untuk memulihkan saluran darah dan rawatan bagi penyakit lain termasuk darah tinggi.

Beliau berkata, Harussani mungkin akan terus dirawat di dalam ICU sekurang-kurangnya tiga hari lagi jika Mufti Perak itu terus menunjukkan perkembangan positif sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan dan pemulihan. Sementara itu, Mohd Akmal berharap agar rakyat sama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan tokoh agama Perak tersebut selain meminta masjid serta surau untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin.

"Kita masih lagi memerlukan khidmatnya, seorang tokoh, ulama di negeri Perak yang banyak jasanya," katanya. Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran; Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. – BERNAMA

Sumber: Keratan Akhbar Berita Harian Online| Isnin, 24 Ogos 2020 | 12:19pm

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/724136/keadaan-mufti-perak-bertambah-baik

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 29 Julai - Jabatan Mufti Negeri Perak telah meraikan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2019 di Hotel Casuarina @ Meru pada 29 Julai 2020 yang lalu. Majlis disempurnakan oleh YB SS Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak bagi mewakili YB SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Negeri Perak yang tidak dapat hadir ke majlis tersebut. Majlis diraikan bertujuan memberi pengiktirafan kepada warga kerja Jabatan Mufti Negeri Perak yang telah melebihi tahap cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2019.

Pemilihan penerima anugerah pada tahun 2019 adalah berdasarkan prestasi tahunan melebihi 85%, rekod kedatangan cemerlang, berdisiplin, hubungan mesra sesama rakan sekerja, sokongan Ketua Bahagian dan seterusnya diperakukan oleh Ketua Jabatan. YB Dato’ Zamri telah berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada 3 orang warga kerja yang cemerlang iaitu Encik Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa (Bahagian Fatwa), Encik Nor Azaman bin Mohd Rashid (Bahagian Pentadbiran) dan 3. Puan Mahanom binti Mior Arbi (Bahagian Fatwa).

Sekalung Tahniah kepada semua penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 dan semoga terus-menerus memberikan dan mempamerkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang buat Jabatan Mufti Negeri Perak.

2 1 1

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Perhimpunan Bulanan Bilangan 2/2020 dan program KKS Go Green

go SEGARI, 21 Julai - Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi Bilangan 2/2020 dengan sedikit kelainan daripada biasa apabila menganjurkan majlis di Kompleks Balai Cerap Baitul Hilal, Segari.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Nor Hafizi dan diteruskan lagi dengan ucapan dan amanat dari Timbalan Mufti Negeri Perak. Pada majlis perhimpunan bulanan pada kali ini turut diadakan dengan sambutan majlis harijadi warga kerja yang lahir pada bulan Julai dan majlis tahlil ringkas yang diketuai oleh Timbalan Mufti sendiri.

Setelah selesai majlis perhimpunan bulanan tersebut, aktiviti diteruskan lagi dengan program KKS Go Green anjuran Kelab Kebajikan Dan Sukan Jabatan Mufti Perak. Pogram penanaman pokok ini disertai semua warga kerja Jabatan Mufti Negeri Perak. Encik Abdul Hadi, Encik Mohammad Khairul dan Puan Fatimah masing-masing berbesar hati telah menyumbangkan sebanyak lebih kurang 80 anak pokok dan benih yang terdiri daripada pelbagai jenis pokok . Kerja-kerja membuat lubang tanaman dan penanaman dilaksanakan sepenuhnya oleh semua yang hadir. Program ini bertujuan memupuk kesedaran khususnya kepada para warga kerja JMNPK dalam menyemai semangat cintakan alam sekitar disamping menghijaukan kawasan kompleks.

go1 go2 go3

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Perhimpunan Bulanan Bilangan 1/2020

IPOH- Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Negeri Bilangan 1 Tahun 2020 telah diadakan di ruang legar Jabatan Mufti Negeri Perak pada 22 Jun 2020 dengan kehadiran semua pegawai dan kakitangan jabatan. Perhimpunan pada kali ini sedikit berbeza dengan amalan norma baharu melibatkan penjarakan fizikal dan SOP yang berkaitan.

Timbalan Mufti Negeri Perak, Dato’Haji Zamri bin Hashim dalam ucapannya menegaskan amalan norma baharu yang wajib dipatuhi oleh semua warga JMNPk bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Selain itu, beliau turut mengingatkan semua anggota agar sentiasa mematuhi peraturan pejabat melibatkan waktu bekerja, etika berpakaian serta menjaga keharmonian dan keutuhan organisasi.

Perhimpunan pada kali ini juga turut dimeriahkan dengan sambutan hari lahir warga JMNPk yang lahir pada bulan April, Mei dan Jun.

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 22 Jun - Satu majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Negeri Perak telah dilaksanakan di Ruang Pejabat Jabatan Mufti Negeri Perak pada jam 10.00 pagi. Majlis tersebut di hadiri oleh YBhg. SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak dan Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak serta pegawai dan kakitangan jabatan.

Agenda majlis telah dimulakan dengan ucapan aluan dari YBhg. SS Tan Sri Mufti. Perhimpunan tersebut diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pegawai dan kakitangan yang meraikan hari lahir pada bulan April hingga Jun.

Walaubagaimanapun ketua jabatan tetap memberi peringatan kepada pegawai dan kakitangan jabatan supaya mengamalkan penjarakkan sosial bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Majlis berakhir kira-kira jam 11.00 pagi.

2 1

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cerapan Gerhana Bulan Penumbra

1 SEGARI, 6 Jun - Gerhana Bulan Penumbra telah berlaku pada 14 Syawal 1441 H 6 Jun 2020 M bermula jam 1.45 pagi dan tamat pada jam 5.04 pagi. Kemuncak gerhana pula telah berlaku pada jam 3.25 pagi. Tempoh gerhana ialah 3 jam 18 minit. Gerhana Bulan Penumbra merupakan gerhana yang berlaku apabila bulan hanya memasuki bayang penumbra bumi. Gerhana Bulan Penumbra kali ini hanya berlaku pada magnitud penumbra 0.5683 ( magnitud umbra : - 0.4053 ).

Berdasarkan fakta di atas, gerhana pada kali ini tidak dapat dilihat kerana kesan gelap pada permukaan bulan adalah sangat minimum. Dalam kajian terdahulu, magnitud penumbra kurang dari 0.6 tidak akan mampu dilihat atau dikesan dengan mata kasar atau peralatan optik. Ini menyebabkan solat sunat gerhana juga tidak perlu dilaksanakan. Namun magnitud penumbra ini masih perlu dikaji bagi mengesahkan kenampakan gerhana penumbra.

Oleh itu, pada 14 Syawal 1441 H 6 Jun 2020 M seramai 4 orang kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak dan 3 orang AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Negeri Perak telah mengadakan cerapan. Cerapan telah dilakukan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Perak.

Cerapan telah dilakukan beberapa peralatan antaranya :

1. Teleskop Orion berserta kamera DSLR Canon 550 D.
2. Teleskop Vixen berserta kamera Sony.
3. Kamera DSLR Canon 1100.
4. Teropong.
5. Mata Kasar.

Senarai peserta yang terlibat :

BIL.

NAMA

JABATAN / INSTITUSI

1

Mohamad Faizal Bin Jani

Jab. Mufti Negeri Perak

2

Fatimah Binti Ayoub

Jab. Mufti Negeri Perak

3

Nor Izwan Bin Hamdan

Jab. Mufti Negeri Perak

4

Mohd Tajudin Bin Che Din

Jab. Mufti Negeri Perak

5

Masrita Binti Mohd

AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak

6

Hj. Hashim Bin Mat Salleh

AJK Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak

7

Abdul Halim Bin Din

Ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak

LAPORAN AKTIVITI

Sehari sebelum cerapan, hujan telah turun. Namun pada hari cerapan cuaca agak baik dengan angin yang bertiup agak kuat dan berawan. Ombak juga agak kuat menghempas di sisir pantai dengan bunyi yang cukup jelas. Cuaca di sebelah petang juga baik dengan cahaya matahari dapat dilihat hingga hampir maghrib. Namun terdapat awan tebal berhampiran dengan ufuk yang menghalang matahari kelihatan ketika ia terbenam.

Bermula jam 2.00 pagi, cerapan telah dimulakan. Pada awal cerapan, awan agak tebal. Namun angin agak kuat dan ini menyebabkan pergerakan awan yang agak laju. Pada jam 2.49 pagi bulan telah kembali kelihatan. Cahaya bulan kelihatan penuh pada fasa bulan purnama namun tidak kelihatan kesan gerhana ketika ini. Permukaan bulan kadangkadang kelihatan berwarna putih dan kadang-kadang berwarna kuning. Ini disebabkan terdapat awan nipis yang menghalang permukaan bulan. Sepanjang tempoh ini angin terus bertiup dari timur (darat) ke barat (laut). Pada malam ini juga terdapat nyamuk yang aktif dan ia sedikit berbeza dengan cerapan sebelum ini di mana tiada nyamuk.
Pada kemuncak gerhana iaitu pada jam 3.25 pagi, bulan telah kelihatan pada magnitud penumbra 0.5. Ketika kemuncak gerhana, angin bertiup agak perlahan. Namun setelah itu angin bertiup kembali. Terdapat perubahan kelajuan angin yang dapat dilihat dan dirasai dengan ketara antara angin yang bertiup di bawah yang bertiup di atas. Ada saat angin dibawah bertiup kuat namun kelihatan awan menutupi bulan tidak langsung bergerak.

Sehingga 4.25 pagi awan bersilih ganti menutupi bulan dengan awan tebal dan nipis. Sekali -sekala planet Musytari dan Zuhal turut kelihatan. Namun selepas itu awan tebal terus menutupi langit sebelah barat dan menutupi bulan sehingga tamat gerhana. Hujan renyai juga telah turun selepas itu.

Berdasarkan laporan cuaca dari beberapa negeri yang lain, pada hari kejadian, kebanyakkan lokasi hujan dan mendung. Ini menyebabkan sebahagian lokasi tidak langsung dapat melakukan cerapan.

HASIL KAJI SELIDIK

Berdasarkan kaji selidik yang telah dilakukan pada pagi tersebut, kesemua 7 responden menyatakan bahawa tiada perubahan pada cahaya bulan yang menunjukkan bahawa bulan sedang gerhana.

Dapatan ini selari dengan teori sebelum ini. Malah ia juga selari dengan cadangan oleh Prof. Madya Dr. Abd. Halim Bin Abd. Aziz sebelum ini yang mencadangkan nilai magnitud penumbra 0.8 sebagai nilai yang lebih berhati-hati bagi magnitud kenampakan gerhana penumbra bagi perlaksanaan solat sunat gerhana.

2 1 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.