SUNGKAI, 21 dan 22 Februari 2022: Satu program Ijtima' Sanawi Hai'ah Al-Ulama' telah diadakan bertempat di Felda Residence Hot Spring, Felda Sg. Klah, Sungkai, Perak. |
Objektif program adalah seperti berikut:
- Meminimumkan perbezaan pemikiran, kefahaman dan pendekatan di kalangan para anggota Hai'ah al-Ulama'
- Membantu Jabatan Mufti Negeri Perak dalam menyedia dan menganalisa maklumat berkaitan perancangan, matlamat dan hala tuju;
- Restorasi kedudukan ulama menerusi pemerkasaan pelbagai pendekatan secara berhikmah dalam mendepani isu semasa umat Islam.
Sasaran yang dikenalpasti adalah di kalangan para ilmuan dan cendekiawan yang dikenali dan dimaklumi sebagai seorang yang berkepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Syarak. Sejumlah 37 Orang anggota Haiah telah dipilih untuk menghadiri Ijtima' Sanawi Hai'ah Al-Ulama
Bidang kepakaran / kluster yang ditetapkan merangkumi Tafsir, Hadis, Akidah, Tasawwuf, Fiqh, Aliran Pemikiran Semasa, Tarbiah dan Hal Ehwal Wanita. Manakala para penceramah/pembentang/pembentang resolusi adalah terdiri daripada:
- S.F. Prof. Dr. Yahya bin Mat Som
- S.S. Prof. Dr. Jamil Bin Hashim
- S.F. Prof. Dr. Azmil bin Hashim
- S.F. Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz bin Abdul Khir
- S.F. Dr. Azmil bin Zainal Abidin
- S.F. Dr. Zulhilmi Bin Mohamed Nor
- S.F. Dr. Muhammad Ayman al-Akiti
- S.F. Dr. Mohamad Rizal bin Mohamed Nor
Jemputan Khas Majlis Penutup terdiri daripada:
- YAA Tuan Haji Ab Rahman Thobroni Bin Haji Mohd Mansor
- SS. Dato' Hj. Zamri bin Hashim
- YBhg. Tuan Mohd Asri Bin Mohamad Ghazali
Impak Pelaksanaan program meliputi Pembentukan Resolusi, Perancangan aktiviti/program 2022 – 2025, Pengwujudan Sekretariat, Lantikan Ketua dan Penolong bagi setiap Kluster.
Sumber Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH, 19 Januari 2022 – Bengkel dan Program Pengukuran Kiblat Di Rumah Kariah Masjid Abdul Rahman Auf telah diadakan dengan jayanya semalam. Ia merupakan program kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi (MAARUF) dan Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak (PPIFIP). Program ini bertujuan melatih ahli-ahli PPIFIP yang berminat untuk menjadi pengukur arah kiblat di rumah-rumah agar lebih berkemahiran dan berkelayakan dalam kerja-kerja pengukuran kiblat di lapangan. |
Program dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan sesi taklimat kepada ahli-ahli PPIFIP yang hadir. Taklimat telah disampaikan oleh AF. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Ketua Bahagian Falak, JMNPk. Para peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan yang diketuai oleh 3 orang fasilitator iaitu Yang Di Pertua PPIFIP dan pegawai-pegawai Falak JMNPk. Pengukuran kiblat telah dilakukan di 10 buah rumah sekitar kariah tersebut yang telah membuat permohonan iaitu:
(1) 3 buah rumah Taman Rapat Koperasi
(2) 1 buah rumah Taman Gunung View
(3) 2 buah rumah Taman Rapat Permai
(4) 4 buah rumah Taman Ampang
Program berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari setelah jamuan makan tengah hari. Adalah diharapkan program ini dapat memberi pengalaman yang berguna dan dapat mempertingkat kemahiran pengukuran arah kiblat di kalangan ahli PPIFIP sekaligus merancakkan lagi aktiviti pengukuran arah kiblat PPIFIP di Negeri Perak ini.
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 |
IPOH - Kerajaan negeri Perak pernah mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara seorang individu dikenali sebagai Raja Bomoh di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada tahun 2015. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 telah memutuskan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan individu itu berlawanan dengan hukum syarak. |
Beliau sehubungan itu berkata, umat Islam di negeri ini yang mengingkari fatwa berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang dikuatkuasakan di Perak. "Fatwa yang diwartakan menyebut sebarang upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Raja Bomoh ini menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram. "Oleh demikian, umat Islam dilarang menyebar, mempromosikan fahaman dan ajaran, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan ajaran tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Beliau berkata, orang Islam di negeri ini juga dilarang menerbit, memuat naik atau memuat turun apa-apa terbitan berbentuk risalah, media sosial, rakaman audio atau filem berkaitan aktiviti individu terbabit. "Mana-mana orang Islam atau kumpulan yang menjadi ahli atau pengikutnya juga boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen tersebut. "Umat Islam perlu menjauhi sebarang upacara khurafat demi menjaga akidah dan kemuliaan Islam," katanya.
Nama Raja Bomoh itu kembali disebut apabila videonya melakukan ritual kononnya untuk menolak musibah banjir di Dataran JPS, Teluk Intan tular di media sosial pada Rabu. Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkannya bersama seorang wanita dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran. Susulan video tular itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
Di bawah seksyen itu, mereka yang mempersenda akan amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.
| Sumber daripada akhbar Sinar Harian- Khamis | 06 Januari 2022 seperti di pautan berikut:-
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/181605/BERITA/Semasa/Fatwa-Perak-haramkan-ritual-Raja-Bomoh-sejak-2015 © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf