Bengkel tersebut bermula dengan pembentangan slot oleh pembentang undangan dan sesi soal jawab pada hari pertama. Pada hari kedua, pembentangan slot diteruskan dan diikuti dengan pembentangan laporan berkaitan isu DAESH di Malaysia oleh wakil dari Unit Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Selesai pembentangan laporan tersebut, diadakan sesi dialog antara para peserta dengan kedua-dua pembentang tersebut.
Kira-kira 100 orang peserta yang hadir terdiri dari pegawai-pegawai dari jabatan dan organisasi agama, guru-guru tauliah serta pegawai-pegawai dari Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Bengkel berakhir dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Dalam ucapan penutupan beliau menegaskan; “Cabaran paling utama yang dihadapi oleh jabatan dan organisasi agama ialah golongan-golongan agama yang pelbagai pandangannya tidak berlapang dada antara satu sama lain, dan diharapkan bengkel ini boleh melembutkan hati sesama mereka melalui kesatuan pemikiran (wehdatul fikri) mengenai isu jihad ini”.
|