|
BAGAN DATUK, PERAK - 11 NOVEMBER 2019: Program Bicara Mufti Perdana Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Bagan Datuk 1441H telah berakhir dengan jayanya semalam. Program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir sekirar jam 1.00 petang di Dewan Serbaguna Dato' Haji Abdullah, Hutan Melintang. |
Program membuka tirai dengan menyambut ketibaan Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan dan terus bersarapan pagi. Ia diikuti dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis dan seterusnya berselawat Nabi beramai-ramai bermula jam 9.00 pagi. Seramai 500 orang peserta telah mengikuti program Bicara Perdana ini.
Pada jam 9.30 pagi telah diadakan program Bicara Mufti di mana ahli-ahli panel terdiri daripada S.S Dato; Hj. Asad Bin Awang, S.S Prof. Dr. Jamil Bin Hashim dan S.S Ust. Hj. Shuaib Bin Din. Manakala moderator program bicara ini telah dikemudi dengan jayanya oleh A.F Ust. Shamsul Baharin Bin Hashim.
Seterusnya acara kemuncak iaitu Sesi soal jawab dengan peserta telah bermula jam 11.30 pagi dan mendapat sambutan yang amat memberansangkan. Majlis Perasmian Penutup oleh Pegawai Daerah Bagan Datuk dilaksanakan pada jam 12.30 tengahari diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada Ahli-Ahli Panel dan Moderator. Ke semua peserta menikmati hidangan jamuan makan sebelum bersurai.
Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
IPOH, PERAK - 11 OKTOBER 2019: Program Liqa’ Mahabbah Jabatan-jabatan Mufti Semalaysia telah berakhir dengan jayanya semalam. Program dwi-tahunan ini merupakan program pertandingan sukan permainan luaran dan dalaman yang melibatkan pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan mufti semalaysia. Negeri Perak terpilih sebagai tuan rumah untuk edisi kali ini. Pada kali ini juga program ini telah dilebarkan penyertaannya di seluruh Malaysia. |
Terdapat 6 jenis sukan permainan yang dipertandingkan sepanjang 3 hari program ini iaitu badminton, futsal, ping pong, congkak, karom dan boling. Turut dipertandingkan ialah acara perbarisan kontinjen terbaik. Program membuka tirai pada pagi Jumaat lalu melalui acara pembukaan yang telah dirasmikan oleh S.S. Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Haji Harusani Bin Haji Zakaria mufti Negeri Perak . Ia diikuti dengan acara ping pong, congkak dan karom pada hari tersebut. Program bersambung dengan acara bowling pada malam tersebut dan diikuti acara badminton pada keesokkan harinya. Pada hari ahad pagi disambung dengan acara futsal dan juga majlis penutup pada petangnya. Buat julung-julung kalinya program Liqa’ Mahabbah mengadakan ceramah bersama Mufti-mufti seluruh Malaysia yang diadaakan disekitar masjid Ipoh Perak. Tajuk yang dianjurkan bersama Mufti-mufti ialah ‘’Membina Kesepaduan Ummah”.
Juara keseluruhan telah disandang oleh Negeri Perlis yang telah merangkul 3 pingat emas dalam acara badminton,karom dan juga futsal manakala acara congkak mendapat pingat perak dalam acara tersebut. Jabatan Mufti Negeri Perak telah menyandang tempat ketiga keseluruhan dan menangi 1 pingat emas dalam acara bowling lelaki diikuti dengan 1 pingat perak dalam acara badminton dan tidak lupa juga 2 pingat gangsa dalam acara congkak dan juga bowling wanita. Negeri Terengganu telah mendapat kontinjen terbaik dan juga menyandang tempat kedua dalam keseluruhan. Program Liqa’ Mahabbah pada tahun ini amat sengit kerana melibatkan seluruh jabatan mufti di Malaysia . Tahniah diucapkan kepada juara pada kali ini dan syabas kepada negeri Perak telah berjaya melancarkan program Liqa’ Mahabbah jabatan-jabatan mufti semalaysia pada tahun 2019 dengan jayanya! Semoga berjumpa kita pada tahun 2022
Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
TASIK BANDING, 7-8 September 2019 - Program Latihan Team Building berlangsung selama dua hari pada 7-8 September 2019 dengan jayanya. Program ini merupakan program tahunan dan buat pertama kali di Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan mengeratkan silaturrahim antara kakitangan dan pegawai jabatan. Ia diadakan di Royal Belum, Tasik Banding. |
Program ini dikendalikan oleh dua orang fasilitator dari Aro Communications iaitu Puan Haryanni binti Harun dan Abdul Razak bin Osman. Program bermula dengan bacaan doa pada pukul 12.30 tengahari oleh Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi. Ia diikuti dengan ucapan aluan dari SS Tuan Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak dan sesi pengenalan dengan fasilitator sebelum program diteruskan dengan jamuan makan tengahri. Program diteruskan lagi dengan aktiviti berkumpulan yang diaturkan oleh fasilitator tersebut. Selepas solat Asar, aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Kampung Orang Asli pada jam 5.00 petang. Kira-kira 25 orang pegawai dan kakitangan menaiki bot yang disediakan untuk ke Kampung Orang Asli yang mengambil masa dalam 20minit dari Rumah Bot. Ini memberi peluang kepada kakitangan jabatan untuk mengenali cara kehidupan orang asli di sekitar tasik tersebut. Pada sebelah malam, diadakan solat jemaah Maghrib dan Kuliah Maghrib oleh SS Tuan Haji Zamri bin Hashim.
Pada keesokan hari, solat subuh berjemaah dan diikuti kuliah subuh oleh Ustaz Norhafizi b. Ahmad Rais, Penolong Pegawai Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak. Selepas itu, diteruskan dengan aktiviti berkumpulan di atas Rumah Bot sambil menuju ke kawasan untuk Jungle Tracking. Pada pukul 10.30, tiba di Taman Negeri Royal Belum untuk Jungle Tracking. Aktiviti tersebut mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kakitangan dan pegawai bersantai di tepi sungai sebelum bergerak balik ke Rumah Bot. Ini memberi peluang untuk menikmati kehijauan Royal Belum yang indah. Pada pukul 3.00 petang, aktiviti penutup diadakan di atas Rumah Bot sambil bergerak balik ke jeti bertolak balik ke Ipoh.
Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
IPOH, 10 - 11 SEPTEMBER - Inspektorat Khas Keselamatan Perlindungan berlangsung selama dua hari di Jabatan Mufti Negeri Perak. Program inspektorat keselamatan ini merupakan inspektorat pertama di Jabatan Mufti Negeri Perak |
Program inspektorat ini telah dihadiri oleh seramai 4 orang Pegawai dan para pegawai yang terdiri daripada Tuan Haji Norazmi Bin Haji Abdullah, Pengarah Keselamatan Kerajaan Negeri Perak, Encik Mohd Nasran bin Mohd Noh, Encik Mohd Syakirin bin Ismail dan Puan Amira binti Aziz Seliman.
Program ni telah berlangsung selama dua hari bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Inspektorat Khas Keselamatan Perlindungan ini berlangsung pada jam 8.45 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang. Selain daripada semakan dan perbincangan lawatan on site di bahagian unit yang berkaitan telah dilakukan supaya ianya mengikut kriteria yang telah ditetapkan.
Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
SEGARI, 2 OGOS 2019 – Program Majlis Rukyah Hilal Zulhijjah 1440H bersamaan 2019M telah berjaya dilaksanakan semalam. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh 1 Zulhijjah setiap tahun Hijri seterusnya tarikh Hari Raya Aidiladha iaitu pada 10 Zulhijjah dapat ditentukan. Ia telah diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari. |
Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Orang-orang Besar Negeri Perak serta Pegawai Daerah Hilir Perak. Program bermula dengan bacaan tahlil pada jam 6.00 petang. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Ia diikuti dengan taklimat kedudukan Hilal Zulhijjah yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan pada jam 6.50 petang. Kira-kira 300 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai. Pada jam 7.53 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Zulhijjah tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Walau bagaimanapun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah adalah pada hari Jumaat, 2 Ogos 2019 berdasarkan laporan rukyah hilal tempat-tempat lain di seluruh negara. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat fardhu Maghrib.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
KUALA KANGSAR - 24 & 25 Julai 2019 (Rabu – Khamis). Seminar Dan Tafaquh Falak Negeri Perak telah diadakan di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Program seminar ini juga adalah anjuran bersama Kolej Komuniti Chenderoh, Jabatan Mufti Negeri Perak, dan Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar |
Majlis Perasmian telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Dr. Nordin bin Kardi, Naib Canselor USAS pada 24 Julai 2019 pada jam 9.30 pagi. Program seterusnya adalah seminar falak yang bermula pada 10.30 pagi. Beberapa sesi pembentangan telah dibentangkan oleh jemputan-jemputan seperti S.F. Dr. Haji Mohd Fahmi bin Abdul Khir, AJK Falak Negeri Perak yang membentangkan tajuk ‘Menghayati Alam Semesta Menerusi Keagungan Al-Quran’, seterusnya pembentangan daripada Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz, Panel Pakar Falak JAKIM, dengan tajuk ‘Merungkai Isu-isu Viral Falak : Antara Fakta dan Auta’ dan pembentang terakhir adalah S.F. Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak, Panel Pakar Falak JAKIM, yang membawa tajuk ‘Menyelusuri Kegemilangan Ilmu Falak Dalam Sejarah Islam.
Selesai jamuan makan tengahari dan solat zohor, acara diteruskan dengan sesi rumusan dan soal jawab bermula jam 2.30 petang dan pameran yang berlangsung bermula 8.30 pagi sehingga jam 4.30 petang pada hari pertama. Pada hari kedua (25.7.2019 - khamis) telah berlangsung program Tafaquh Falak: Pengajian Kitab Sabil al-Muhtadin Oleh S.F. Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak, Panel Pakar Falak JAKIM yang bermula daripada 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari dan majlis bersurai.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
SERDANG - 23-25 Jun 2019 (Ahad - Selasa). Kursus Kejurulatihan Kepimpinan Al-Fatih peringkat Negeri Perak diuruskendali oleh Yayasan Ammar Al-Fatih dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak telah diadakan di UPM Serdang & Rubinga Heritage, MAEPS. Seramai 22 orang pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terpilih untuk menjayakan kursus ini. |
Program ini merupakan sebuah program kepimpinan yang menggunakan modul khas, bertujuan melahirkan para Jurulatih dan Fasilitator yang berwawasan dan memandang ke hadapan. Semoga dengan adanya program sebegini, Mahasiswa Islam khususnya, dapat membuka mata dan minda untuk lebih mendalami sejarah-sejarah Islam yang dapat dijadikan panduan demi melahirkan seorang pemimpin yang berilmu, beriman dan bertaqwa.
Penerapan ilmu-ilmu kepimpinan melalui acara berkuda, memanah dan pelbagai modul lain yang telah disediakan oleh Yayasan Ammar Al-Fatih diharapkan dapat memberi manfaat kepada generasi muda. Antara aktiviti menarik:- F1 Pit Stop, Risalah an-Nur, Modul Berkuda, Drilis Ertugrul, Reverse Thinking.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
NEGERI SEMBILAN - SELASA, 25 Jun 2019. Satu lawatan kerja dan kunjung hormat daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Perak yang diketuai oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zambri bin Hashim dan disambut oleh Sohibul Fadhilah Ustaz Amran bin Awaludin, Timbalan Mufti Negeri Sembilan pada jam 2.30 petang. |
Sesi perjumpaan ini adalah berhasrat untuk mendengar penerangan serta taklimat berkaitan proses Istitabah yang sedang dijalankan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Sesi penerangan telah dibentangkan oleh Ustaz Najib bin Jalal daripada Bahagian Rundingcara Akidah. Program juga diteruskan dengan sesi perbincangan-perbincangan yang lain. Semoga dengan lawatan ini dapat meningkat hubungan ukhwah di antara Negeri Sembilan Darul Khusus dan Negeri Perak Darul Ridzuan dalam isu-isu kefatwaan.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
IJOK - Jumaat, 31 Mei 2019. Majlis Pengisytiharan Solat Jumaat di Masjid Toh Paduka Kampung Masjid, Ijok, Selama oleh Profesor Dr. Jamil bin Hashim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. |
Majlis penyampaian watikah diserahkan kepada pengerusi masjid oleh Profesor Dr. Jamil bin Hashim. Keputusan ini telah diperakui dengan mendapat kelulusan yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK).
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.
|
SEGARI, 6 MEI 2019 – Program Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1440H bersamaan 2019M telah diadakan dengan jayanya semalam. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh bermula puasa, iaitu pada 1 Ramadan setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari. |
Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah YB Dr. Aziz Bin Bari, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak mewakili YAB Menteri Besar Perak, Tuan Yahaya Bin Mat Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang. Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan.
Program bermula dengan bacaan tahlil pada jam 5.25 petang. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Ia diikuti dengan ceramah ambang Ramadan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz Bin Abdul Khir, penceramah jemputan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Selepas itu, taklimat kedudukan Hilal Ramadhan telah disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilaliaitu melihat anak bulan pada jam 6.50 petang. Kira-kira 700 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai.
Pada jam 7.50 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Ramadhan tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Walau bagaimanapun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Ramadan adalah pada hari Isnin, 6 Mei 2019. Oleh itu, solat sunat terawikh telah dilaksanakan di ruangan solat yang disediakan. Program diakhiri dengan minum malam selepas solat sunat terawikh.
Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.