• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Peperiksaan Tauliah Mengajar (Agama Islam) Negeri Perak Tahun 2022

1 IPOH 29 & 30 OKTOBER 2022 - Peperiksaan Tauliah Mengajar (Agama Islam) Negeri Perak Tahun 2022 telah berlangsung di Kompleks Islam Darul Ridzuan selama 2 hari pada Sabtu dan Ahad. Peperiksaan pada kali ini telah melibatkan seramai 103 orang calon guru tauliah dengan pantauan pengawas seramai 11 orang warga Jabatan Mufti Negeri Perak. Peperiksaan telah berjalan lancar.
1 2 3

Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Bengkel Anti-Bribery Management System Jabatan Mufti Negeri Perak

1
IPOH, 26 OKTOBER 2021 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad telah melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Mufti Negeri Perak di Tingkat 5,Bilik Persidangan,Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). Hadir sama, YBhg. Timbalan Mufti Negeri Perak, Dato’ Haji Zamri bin Hashim; YBhg. Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohamad dan YBrs. Timbalan Pengarah SPRM Perak, PKP Tuan Jaafar bin Tajudin.
Pada majlis pelancaran tersebut, YAB Dato’ Saarani bin Mohamad berkata “Pelan ini merupakan perisai di peringkat jabatan bagi menangkis isu-isu dan permasalahan berkenaan tadbir urus, integriti serta antirasuah dalam organisasi. “Perbuatan rasuah ini telah menjalar sejak sekian lama seiring dengan perubahan masa dan zaman. Pada satu tahap, perasuah mungkin sudah lali atau sudah biasa dengan pendekatan lama kerajaan dalam menangani isu rasuah. “Mendepani cabaran ini kita perlu memastikan pelan OACP yang hendak dilaksanakan ini benar-benar ampuh. Pelan OACP ini sarat dengan perancangan inisiatif, tetapi isu pokoknya bagaimana kita hendak execute atau melaksanakannya agar ia benar-benar mampu menyekat kegiatan rasuah.
Sementara itu,turut berlangsung Bacaan Ikrar Bebas Rasuah yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Zamri bin Hashim serta ketua-ketua bahagian mewakili seluruh anggota Jabatan Mufti Negeri Perak dan Sesi Menandatangani IBR tersebut. Majlis diakhiri dengan Penyerahan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh YBhg. Timbalan Mufti Negeri Perak kepada YBhg. Pengarah SPRM Perak.
1 2 3

Sumber: Bahagian Pentadbiran & Kewangan, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita/Aktiviti : Kolokium Parameter Bid'ah

1 IPOH, 2 November - Jabatan Mufti Negeri Perak mengadakan Program Kolokium Parameter Bid'ah bertempat di Di Casuarina @Meru, Ipoh. Program ini membincangkan beberapa perkara yang akan dijadikan sebagai panduan dalam urusan umat Islam khususnya di dalam Negeri Perak.

Antara perkara yang dibincangkan dalam Dhawabith Bid'ah ialah Akidah, Fiqh dan Tasawwuf. Antara panel yang mendapat tempat dalam perbincangan ini ialah: 1. S.F Prof. Madya Dr. Fairooz b. Abdul Khir 2. S.F Ustaz Ahmad Fawwaz b. Hj. Fadzil 3. S.F Dr. Mohd Faizal b. Abdul Khir 4. A.F ustaz Kamal Izat b. Ahmad

JProgram ini turut diserikan lagi dengan kehadiran SS Dato' Hj. Zamri b. Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Program ini diseliakan oleh 5 orang kakitangan daripada Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Negeri Perak. Program ini berakhir pada 3 November 2020.

1 3 4

Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita/Aktiviti : Kursus Pelan Strategik Dan Pengukuhan Organisasi Jabatan Mufti Negeri Perak 2020

1 GOPENG, 31 Oktober - Kursus luar pertama anjuran Bahagian Pentadbiran Dan Kewangan, Jabatan Mufti Negeri Perak setelah kerajaan membenarkan penganjuran kursus, seminar, bengkel berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung pada 31 Oktober 2020 hingga 01 November 2020 yang lalu bertempat di Natasya Riverside Resort, Gopeng.

Seramai 27 orang peserta yang terdiri daripada anggota kakitangandari Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengikuti kursus selama dua hari ini. Kursus tersebut telah dikendalikan oleh2 orang konsultan , Encik Abdul Razak bin Osman dan Puan Haryanni binti Harun dari Aro Consulting yang berpengalaman mengendalikan kursus-kursus motivasi selama lebih kurang 15 tahun.

Selama dua hari mengikuti kursus tersebut para peserta telah didedahkan dengan perkara-perkara berikut:

  • 1) Mengenalpasti dan memisahkan blok-blok minda yang merintangi pembangunan kemanusiaan.
  • 2) Memahami diri, kerja dan insan di sekeliling untuk membangkitkan suasana kerja yang harmoni.
  • 3) Mengenalpasti lunas-lunas diri.
  • 4) Menjalinkan hubungan harmoni antara cita-cita dan organisasi.
  • 5) Menjadikan pekerja yang berdedikasi, bermotivasi dan sentiasa menginsafi bahawa kerja bukanlah semata-mata untuk gaji.
  • 6) Membentuk pemikiran positif, berprinsip dan berilmiah.
  • 7) Memahami pentingnya kerjasama kumpulan terhadap peningkatan produktiviti dan mutu kerja.
  • Dalam melaksanakan kursus era PKPP ini, pihak jabatan telah mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan penjarakan sosial, penyediaan makanan dan sebagainya. Rata-rata para peserta gembira dengan langkah-langkah yang diambil oleh jabatan dalam menjamin keselamatan mereka yang mengikuti kursus pertama tersebut. Pengarah Program, Dato’ Haji Zamri bin Hashim memberitahu dalam penganjuran program-program latihan semasa PKPP berkuatkuasa, pihak jabatan akan memberi keutamaan kepada keselesaan dan keselamatan para peserta. “Justeru, apa juga langkah yang dicadangkan oleh MKN akan kami patuhi sepenuhnya,” ujarnya. Beliau berharap kursus-kursus lain yang dianjurkan oleh JMNPk selepas ini akan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan anggota kakitangan jabatan ini sendiri.

    2 1 1
    2 1 1

    Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    Berita/Aktiviti : Bengkel Penambahbaikan KPI Jabatan Mufti Negeri Perak

    1 KUALA KANGSAR, 27 Oktober - Bengkel Penambahbaikan KPI yang diadakan di Lanai Casuarina, Bukit Chandan Kuala Kangsar. Ekoran daripada sesi runding cara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lalu jabatan memutuskan untuk mengadakan sesi bimbingan dan taklimat bagi penambahbaikan KPI jabatan yang di kendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Amin bin Idris, Dekan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah sebagai fasilitator.

    Sesi pengenalan bengkel tersebut dimulakan dengan ucapan daripada SS Dato’ Haji Zamri bin Hashim . Y. Bhg. Prof. telah diberi penjelasan berkaitan KPI jabatan sebelum bengkel dijalankan. Pelbagai perkara telah dibincangkan dengan menyeluruh dan bimbingan yang diberikan dalam memperbaiki KPI tersebut sebagai persediaan sebelum dibentangkan di dalam Mesyuarat Persidangan Majlis Agama Islam yang akan datang.

    Jabatan telah menjemput 3 orang panel bagi sesi pembentangan KPI tersebut. Dua (2) orang daripadanya ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak S.F. Prof Dr. Jamil bin Hashim dan S.F. Dato’ Haji Asad bin Awang. Manakala seorang daripada Majlis Agama Islam ‘Adat Melayu Perak, Tuan Shahrul Azam bin Shaari yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk. Jabatan juga menjemput seorang ahli panel yang hadir secara maya iaitu Prof. Dato’ Dr. Ansary bin Ahmed. Bengkel pada petang tersebut diakhiri dengan sesi fotografi bersama semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel penambahbaikan KPI tersebut.

    1 3 4

    Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    Program Bicara Mufti Perdana Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Bagan Datuk 1441H

    1 BAGAN DATUK, PERAK - 11 NOVEMBER 2019: Program Bicara Mufti Perdana Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Bagan Datuk 1441H telah berakhir dengan jayanya semalam. Program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir sekirar jam 1.00 petang di Dewan Serbaguna Dato' Haji Abdullah, Hutan Melintang.

    Program membuka tirai dengan menyambut ketibaan Ketua-ketua Jabatan serta tetamu jemputan dan terus bersarapan pagi. Ia diikuti dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis dan seterusnya berselawat Nabi beramai-ramai bermula jam 9.00 pagi. Seramai 500 orang peserta telah mengikuti program Bicara Perdana ini.

    Pada jam 9.30 pagi telah diadakan program Bicara Mufti di mana ahli-ahli panel terdiri daripada S.S Dato; Hj. Asad Bin Awang, S.S Prof. Dr. Jamil Bin Hashim dan S.S Ust. Hj. Shuaib Bin Din. Manakala moderator program bicara ini telah dikemudi dengan jayanya oleh A.F Ust. Shamsul Baharin Bin Hashim.

    Seterusnya acara kemuncak iaitu Sesi soal jawab dengan peserta telah bermula jam 11.30 pagi dan mendapat sambutan yang amat memberansangkan. Majlis Perasmian Penutup oleh Pegawai Daerah Bagan Datuk dilaksanakan pada jam 12.30 tengahari diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada Ahli-Ahli Panel dan Moderator. Ke semua peserta menikmati hidangan jamuan makan sebelum bersurai.

    1 2 3
    1 2 3

    Sumber: Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    Program Penjelasan Fatwa dan Isu Semasa

      IPOH, 19 NOVEMBER 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dengan kerjasama Masjid Solatiah, Rapat Setia Baru telah mengadakan Program Penjelasan Fatwa dan Isu Semasa malam semalam. Objektifnya ialah sebagai penjelasan dan penerangan tentang fatwa, institusi fatwa dan peranannya. Program ini juga bertujuan mengupas isu-isu semasa yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini serta hukum hakam yang berkaitan dengannya.

    Ahli panel bagi forum ini ialah S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, dan S.F. Dato’ Haji Asad Bin Haji Awang, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Manakala moderator ialah S.F. Tuan Haji Kamaruddin Bin Adam, Ketua Penolong Mufti. Antara isu yang dibincangkan ialah isu perpaduan umat Islam di negara ini, isu aqidah yang menyeleweng serta isu perundangan yang mencakupi hal ehwal agama Islam.

    Program ini telah mendapat perhatian yang baik dari kira-kira 200 orang jemaah yang hadir. Diharapkan program seperti ini dapat dianjurkan lagi di masjid-masjid dalam negeri Perak.

    Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

    Kursus Penentuan Arah Kiblat

      TANJUNG MALIM, 25 OKTOBER 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dengan kerjasama Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dan Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Muallim telah berjaya menganjurkan Kursus Penentuan Arah Kiblat semalam. Ia telah diadakan di Auditorium INSTUN dan diurus setiakan oleh Bahagian Falak JMNPk dan Bahagian Ukur dan Pemetaan INSTUN. Objektif kursus ini ialah untuk memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman kepada peserta kursus mengenai teori dan kaedah penentuan arah kiblat.

    Penceramah yang dipilih oleh penganjur ialah A.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak dari Jabatan Mufti Negeri Perak. Kursus ini telah disertai oleh 100 orang peserta dari sekitar daerah Muallim yang terdiri dari Pegawai Masjid, Jawatankuasa Kariah, guru-guru sekolah, pegawai dan kakitangan jabatan atau agensi kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi awam serta orang awam.

    Kursus ini telah mendapat perhatian dan sokongan yang memberansangkan daripada peserta serta meningkatkan ilmu pengetahuan mereka. Diharapkan kursus seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

    Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

    Program Wacana Tarekat Rohani dan Disiplin Ilmunya

    bengkel tarekat

    KUALA KANGSAR, 23 NOVEMBER 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah menjayakan Program Wacana Tarekat Rohani dan Disiplin Ilmunya. Program yang diadakan di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Kuala Kangsar, bermula pada jam 9.00 pagi itu adalah kesinambungan dari Program Training of trainers (TOT):Pengamalan Tarekat di Negeri Perak pada April yang lalu. Ia bertujuan member pendedahan kepada para peserta berkaitan tarekat yang murni serta salasilah kumpulan-kumpulan tarekat yang wujud di Malaysia.

    Pembentang jemputan ialah Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mohd. Syukri Yeoh Abdullah, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau telah membentangkan 3 kertas kerja iaitu Disiplin Tarekat Rohani, Refleksi Sejarah Ilmu Tarekat Rohani Alam Melayu,dan Zawiyah Dalam Lipatan Sejarah Kenyataan Alam Melayu.Pembentangan dikendalikan oleh moderator dari pihak penganjur iaitu Ustaz Kamaruddin Bin Adam, Ketua Penolong Mufti dan Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Hal Ehwal Islam.

    Lebih 150 orang peserta yang hadir terdiri dari Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) dari sekolah-sekolah di bawah pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar (PPD), pegawai-pegawai dari jabatan dan organisasi agama serta guru-guru tauliah. Program berakhir dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Negeri Perak, S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Beliau berharap agar program seperti ini dapat diadakan lagi bersama pembentang tersebut. Menurut beliau, “Prof. Madya Dr. Mohd. Syukri Yeoh Abdullah merupakan seorang pakar dan ahli dalam bidang tarekat ini, justeru  pelbagai input-input yang sukar didapati dapat ditadah serta pelbagai soalan kemusykilan yang ditimbulkan oleh peserta dapat diberi pencerahan yang baik oleh beliau”.

     

     

    Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

    • 1
    • 2