• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Program Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak

executive

KUALA KANGSAR, 31 MAC 2016 – Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar menjadi venue bagi Program Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak kali pertama tahun ini. Program Executive Talk ini merupakan program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak yang diadakan setiap tahun di lokasi-lokasi yang berbeza dalam Negeri Perak.

Pada edisi kali ini, penganjur telah menjemput A.F. Ustaz Syed Mohd Bakri Bin Syed Ishak dari Program Pencetus Ummah (P.U.) 2015 bagi menyampaikan ceramah 1 yang bertajuk; ‘Bangkitlah Wahai Dai’, Masyarakat Memerlukan Anda’. Selesai ceramah 1, program diikuti dengan ceramah 2 oleh S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, mufti negeri Perak. Pada kali ini beliau menyampaikan ceramah bertajuk; ‘Hala Tuju Dakwah Masa Kini, Di Manakah Anda?’.
Bercakap mengenai dakwah masa kini, Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria menegaskan; “apa yang penting ialah perpaduan antara umat Islam di negara kita tidak kira sama ada berbeza politik atau pandangan”.

Kira-kira 500 orang peserta yang dijemput telah hadir bagi menjayakan program ini. Antara peserta yang hadir ialah seramai 300 orang Guru Pendidikan Islam (GPI), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar selain guru-guru KAFA, guru-guru tauliah, penghulu-penghulu daerah dan mukim, serta imam-imam masjid sekitar daerah Kuala Kangsar. Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Tuan Haji Mior Muhammad Jamil Bin Mior Zakaria dan Pegawai Tadbir Agama Kuala Kangsar, A.F. Ustaz Tuan Haji Burhanuddin Bin Md Dali.
Setelah selesai kedua-dua ceramah, sesi soal jawab berlangsung. Beberapa soalan telah dikemukakan oleh para peserta dan dijawab oleh S.S. Mufti Negeri Perak dan Timbalan Mufti Negeri Perak, Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Program berakhir dengan jamuan makan pada jam 1.00 tengah hari.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Program Jom Teropong Gerhana Matahari Separa

gerhana

IPOH, 9 MAC 2016 – Program Jom Teropong Gerhana Matahari Separa bertempat di Masjid Saidina Abu Bakar, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta hari ini dilihat berjaya mencapai sasaran untuk menanam rasa minat orang ramai kepada ilmu falak dan sikap cakna mereka kepada fenomena alam.

Program Bahagian Falak ini adalah program kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jawatankuasa Masjid Saidina Abu Bakar, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta. Ia bermula dengan Solat Sunat Gerhana Matahari diikuti dengan khutbah gerhana oleh imam Masjid Saidina Abu Bakar, seterusnya taklimat dan cerapan gerhana matahari.
Kira-kira 200 orang yang terdiri dari ahli Kem Pasukan Gerakan Am, pelajar sekolah, dan orang awam telah hadir bagi menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang jarang berlaku ini. Orang ramai menyaksikan fenomena ini dengan peralatan-peralatan yang telah disediakan oleh Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Menurut Ketua Bahagian Maktabah, AF ustaz Mohamad Khairul Anuar Bin Mat Isa; ‘program berjaya dilaksanakan dengan baik dengan sambutan menggalakkan oleh masyarakat setempat. Mudahan-mudahan program ini menjadi keinsafan kepada semua umat Islam tentang ciptaan Allah yang Maha Kuasa ini.’
Program berakhir setelah tamat gerhana sekitar jam 10.00 pagi dan diikuti dengan jamuan ringan buat para tetamu dan urusetia.

Antara alat yang digunakan bagi membantu orang ramai menyaksikan fenomena gerhana matahari separa.
Telur dikatakan mudah didirikan akibat tarikan graviti yang lebih kuat ketika gerhana berlaku.
Para urusetia bergambar santai setelah selesai program.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
  • 1
  • 2