• Home
  • Yearly News Archive

Program ICT: Latihan Pengguna Mygovuc 2.0 Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 13 SEPTEMBER 2023 - Jabatan Mufti Negeri Perak telah menganjurkan program Latihan Pengguna MyGovUC 2.0 di Digital Hub Perak, Meru Raya Ipoh, Perak. Program Latihan Pengguna MyGovUC 2.0 yang diadakan bertujuan untuk memberikan latihan kepada pengguna dalam menggunakan sistem MyGovUC 2.0. Latihan ini diadakan untuk memastikan pengguna dapat menguasai sistem dengan baik dan memaksimalkan kegunaannya. Penceramah jemputan pada program ini adalah Mohd Fadhilizwandie Bin Sulong, yang merupakan pengurus projek MyGovUC Change Management di PERNEC Integrated Network SDB BHD (MyGovUCProject).

MyGovUC 2.0 adalah perkhidmatan yang disediakan oleh MAMPU. Perkhidmatan ini terbuka kepada semua agensi kerajaan di Malaysia. MyGovUC 2.0 adalah Perkhidmatan Komunikasi dan Kolaboratif Bersepadu yang diuruskan secara berpusat di MAMPU. Perkhidmatan ini menggabungkan saluran-saluran komunikasi seperti e-mel, persidangan video/audio, chat dan Sistem Pengurusan Profil Pengguna (UPMS). Kelebihan menggunakan perkhidmatan ini termasuklah:

1)Kemudahan akses: MyGovUC 2.0 boleh diakses melalui pelbagai peranti seperti desktop, laptop, dan telefon bimbit
2)Pelbagai saluran komunikasi: MyGovUC 2.0 menyediakan pelbagai saluran komunikasi seperti e-mel, persidangan dalam talian, perbualan secara berkumpulan, penghantaran fail bersaiz besar dan lain-lain lagi
3)Keselamatan: MyGovUC 2.0 dilaksanakan secara managed services oleh pembekal perkhidmatan dan berada dalam rangkaian kerajaan yang selamat
4)Penjimatan kos: MyGovUC 2.0 dilaksanakan sebagai langkah penjimatan kos bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dan kolaboratif kerajaan diuruskan secara berpusat untuk kegunaan semua agensi di sektor awam.
Program ini berakhir pada jam 5 petang.

1 2 3

Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Bedah Buku Ajaib Al-Makhluqat Wa Ghara’ib Al-Maujudat

1 KUALA KANGSAR, 16 OGOS 2023 - Program Bedah Buku Ajaib Al-Makhluqat Wa Ghara'ib Al-Maujudat telah berlangsung di Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar. Dua orang pengulas iaitu Dr Mohd Fahmi bin Abdul Khir, Ahli Jawatankuasa Falak Ng Perak dan Dr Mohd Faizal bin Abdul Khir, Pensyarah Kanan USAS telah mengupas isu-isu penting yang terkandung dalam buku berkenaan.
1 2 3

Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Malam Kemuncak Maulid Agong Alam Melayu 2023

1 KUALA KANGSAR, 13 OGOS 2023 - Satu program yang diberi nama Maulid Agung Alam Melayu anjuran jabatan ini telah diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar dengan kerjasama USAS, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan beberapa agensi lain. Program yang julung kali diadakan ini telah bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucap utama oleh SS Mufti Negeri Perak, Dato' Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh dan selesai sepenuhnya pada kira-kira jam 12.00 malam.
Beberapa pengisian yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang program berlangsung seperti sesi Pembacaan Manaqib, sesi forum Muzakarah Warisan Bangsa, Perarakan Berselawat Berbusana Melayu, Bacaan Surah Yaasin dan Tahlil serta acara kemuncak diisikan dengan Bacaan Al-Quran, Qasidah, Selawat dan Tausiah Khas yang disampaikan oleh Syeikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani.
1 2 3

Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

"Bulan Dipagari Awan"

1 PARIT BUNTAR, 1 OGOS - “Bulan dipagari awan”, begitu ungkapan para petugas Bahagian Falak ketika program Cerapan Bulan Penuh di Masjid Tebuk Haji Musa, Parit Buntar. Program kerjasama di antara Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dengan Pengurusan Masjid Tebuk Haji Musa ini telah berjaya menarik minat kira-kira 100 orang jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak.
Program dimulakan dengan kuliah Maghrib Khas yang telah disampaikan oleh AF Ustaz Mohd Hafiz bin Sulaiman, Ketua Bahagian Maktabah yang juga anak jati qariah masjid ini. Beliau mengupas tentang ayat-ayat kauniyyah yang menyatakan tentang kejadian objek samawi yang harus dijadikan sebagai fenomena rujukan dan kajian yang berteraskan ibadah kita sebagai umat Islam. Kejadian siang dan malam serta pergerakan dan peredaran objek di langit merupakan salah satu tanda keAgungan Allah serta kaitannya secara langsung dengan pelaksaan ibadah umat Islam.
Usai solat Isyak, para jemaah yang hadir telah diperkenalkan dengan beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti cerapan bulan penuh. Sesi cerapan ini diketuai oleh AF Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Ketua Bahagian Falak. Sebanyak 5 buah teleskop pelbagai jenis telah dipasang untuk sesi cerapan tersebut di antaranya ialah teleskop MEADE ETX 80, MEADE LX200, SHARPSTAR 100mm dan ORION 80mm.
Walaupun pada awal sesi cerapan, awan menutupi bulan namun sekitar jam 10 malam, Allah memberi rezeki kepada para pengunjung untuk menatapi keindahan bulan melalui teleskop yang telah disediakan. Rata-rata pengunjung yang berpeluang mencerap bulan melalui teleskop menyatakan bahawa ini merupakan pengalaman pertama serta pengalaman yang amat bermakna. Program sebegini dilihat sebagai salah satu kaedah pendekatan pendidikan falak kepada masyarakat secara langsung.
1 2 3

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Pengenalan kepada Kecerdasan Buatan (AI)

1 IPOH, 13 JULAI 2023: Kursus Pengenalan kepada Kecerdasan Buatan (AI) telah berlangsung di Perak Digital Hub, Meru, Ipoh di mana ianya telah disertai oleh semua pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak. Program ini telah dikendalikan oleh Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak. Prof. Mohamed Imran Bin Mohamed Ariff, Pensyarah, UiTM Perak Branch, Kampus Tapah telah dijemput sebagai penceramah dan pembimbing bagi program tersebut. Program tersebut bagi tujuan memberi pendedahan kepada para pegawai dan kakitangan Jabatan ini tentang kaedah Kecerdasan Buatan (AI).
Program bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang. Di antara topik-topik yang telah diperjelaskan oleh penceramah adalah seperti Teknologi dan Teknik AI, Aplikasi AI dalam sektor kerajaan, AI dalam pentadbiran Islam dan trend dan peluang masa depan AI. Semoga program seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh jabatan ini dalam meningkatkan tadbir urus dan proses membuat keputusan serta dapat meneroka peluang dan cabaran AI dalam sistem pentadbiran khususnya.
1 2 3

Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah

1 KUALA KANGSAR, 12 JUN 2023: Sekitar program Majlis Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah bersama Syeikh Dr. Ahmad Mamdouh yang berlangsung di Masjid Tuanku Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan.
Program bermula jam 10:30 pagi dengan sesi pendaftaran dan diikuti ketibaan Dif-Dif Jemputan. Tajuk ceramah utama oleh Syeikh Dr. Ahmad Mamdouh (Ahli Majlis Fatwa Mesir) adalah "Bagaimana Usuli Memahami Masalah Bidaah. Manakala penterjemahan oleh Al-Fadhilah al-Shaykh Mohd Nazrul Bin Hj. Abd Nasir Al-Azhari, Mudir Zawiyah Nasiriyyah, Kedah. Program berakhir jam 1:00 petang.
1 2 3

Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cerapan Gerhana Bulan Penumbra

1 BATU GAJAH, 6 MEI 2023: Sekitar Aktiviti Cerapan Gerhana Bulan Penumbra di Taman Raia Savanna, Batu Gajah, Perak. Gerhana Bulan Penumbra akan berlaku pada 5-6 Mei 2023 M / 15 Syawal 1444H ( Jumaat-Sabtu ). Gerhana ini akan dapat dilihat di seluruh Asia termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei hinggalah ke Mekah. Bagi Malaysia khususnya negeri Perak, kita akan dapat melihat gerhana ini bermula pada jam 11.14 p.m (23.14) dan berakhir pada jam 3.31 a.m (03.31). Manakala kemuncak gerhana adalah pada jam 1.22 a.m ( 01.22) dengan bulan akan memasuki bayang penumbra sehingga magnitud penumbra 0.96 dan hanya kurang pada kedudukan magnitud 0.04 saja dari bayang umbra. Tempoh masa berlakunya gerhana ialah 4 jam 17 minit.
Gerhana Bulan Penumbra adalah gerhana yang boleh dilihat dengan mata kasar. Namun ia perlu dilihat dengan teliti kerana kesan gerhana penumbra adalah kurang jelas berbanding gerhana bulan separa atau penuh. Ini kerana bulan hanya ditutupi oleh bayang penumbra iaitu bayang cerah bumi yang akan jatuh pada permukaan bulan. Bagi melihat gerhana ini, kita boleh merujuk kedudukan bulan yang berada pada fasa bulan penuh tinggi di langit timur. Kemudian perlahan-lahan permukaan bulan disebelah timur akan menjadi sedikit malap. Sehingga kemuncak gerhana pada jam 1.22 a.m ( 01.22), ketika itu cahaya bulan akan berkurang pada kedudukan maksimum. Selepas itu bulan akan semakin cerah sehinggalah tamat gerhana. Solat sunat khusuf (gerhana bulan) TIDAK DIHARUSKAN kerana gerhana bulan kali ini tidak jelas kerana hanya berlaku pada fasa penumbra. Namun Jabatan Mufti Negeri Perak menyarankan agar umat Islam dapat menghayati Gerhana Bulan Penumbra ini sebagai salah satu dari tandatanda kebesaran Allah S.W.T dalam keadaan umat Islam masih lagi berada dalam bulan Syawal.
1 2 3

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program World Quran Hour Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama Agensi Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak

1 IPOH, 13 APRIL 2023: Program World Quran Hour Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama Agensi Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak telah berlangsung di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Program ini adalah kerjasama bersama Agensi Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak seperti Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Zakat Perak-MAIPk)

Program World #QuranHour yang masuk tahun ketiga dijayakan Pejabat Mufti Perak itu disertai lebih 300 pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Agensi Agama Islam Negeri. Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman. Penganjuran tahun ini lebih bermakna kerana dapat bekerjasama dengan pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Usaha ini akan teruskan pada tahun-tahun akan datang dalam skala lebih besar untuk membudayakan mengaji dan mengkaji ayat-ayat al-Quran di semua peringkat masyarakat negeri ini. Program berakhir sekitar jam 1 petang.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menghuraikan pengertian surah al Insan pada sesi tadabbur sempena World #QuranHour. Berkongsi nilai Surah Al-Insan sempena program World #QuranHour di sini, beliau berkata, kuasa dan kedudukan itu hanyalah pinjaman di dunia semata-mata bagi menguji tahap keimanan seseorang mukmin terhadap ALLAH. Beliau berkata, pengertian dalam Surah Al-Insan ayat 1 hingga 31 yang dipilih pada tahun ini boleh dijadikan inspirasi paling besar bagi semua penjawat awam. Katanya, surah itu juga relevan dalam keadaan sifat kemanusiaan seperti kasih sayang dan amanah dalam pekerjaan semakin kering dan kontang. "Dari ayat pertama lagi, sekiranya penjawat awam itu berpangkat tinggi, jangan sombong. Kalau kita berpangkat biasa, kita boleh menyaingi pangkat tinggi dengan meletakkan kedudukan kita di akhirat," katanya.
1

Jabatan Mufti Negeri Perak.