• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Program Bedah Buku Ajaib Al-Makhluqat Wa Ghara’ib Al-Maujudat

1 KUALA KANGSAR, 16 OGOS 2023 - Program Bedah Buku Ajaib Al-Makhluqat Wa Ghara'ib Al-Maujudat telah berlangsung di Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar. Dua orang pengulas iaitu Dr Mohd Fahmi bin Abdul Khir, Ahli Jawatankuasa Falak Ng Perak dan Dr Mohd Faizal bin Abdul Khir, Pensyarah Kanan USAS telah mengupas isu-isu penting yang terkandung dalam buku berkenaan.
1 2 3

Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Malam Kemuncak Maulid Agong Alam Melayu 2023

1 KUALA KANGSAR, 13 OGOS 2023 - Satu program yang diberi nama Maulid Agung Alam Melayu anjuran jabatan ini telah diadakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar dengan kerjasama USAS, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan beberapa agensi lain. Program yang julung kali diadakan ini telah bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucap utama oleh SS Mufti Negeri Perak, Dato' Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh dan selesai sepenuhnya pada kira-kira jam 12.00 malam.
Beberapa pengisian yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang program berlangsung seperti sesi Pembacaan Manaqib, sesi forum Muzakarah Warisan Bangsa, Perarakan Berselawat Berbusana Melayu, Bacaan Surah Yaasin dan Tahlil serta acara kemuncak diisikan dengan Bacaan Al-Quran, Qasidah, Selawat dan Tausiah Khas yang disampaikan oleh Syeikh Rohimuddin Nawawi Al-Bantani.
1 2 3

Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Perak.

"Bulan Dipagari Awan"

1 PARIT BUNTAR, 1 OGOS - “Bulan dipagari awan”, begitu ungkapan para petugas Bahagian Falak ketika program Cerapan Bulan Penuh di Masjid Tebuk Haji Musa, Parit Buntar. Program kerjasama di antara Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak dengan Pengurusan Masjid Tebuk Haji Musa ini telah berjaya menarik minat kira-kira 100 orang jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak.
Program dimulakan dengan kuliah Maghrib Khas yang telah disampaikan oleh AF Ustaz Mohd Hafiz bin Sulaiman, Ketua Bahagian Maktabah yang juga anak jati qariah masjid ini. Beliau mengupas tentang ayat-ayat kauniyyah yang menyatakan tentang kejadian objek samawi yang harus dijadikan sebagai fenomena rujukan dan kajian yang berteraskan ibadah kita sebagai umat Islam. Kejadian siang dan malam serta pergerakan dan peredaran objek di langit merupakan salah satu tanda keAgungan Allah serta kaitannya secara langsung dengan pelaksaan ibadah umat Islam.
Usai solat Isyak, para jemaah yang hadir telah diperkenalkan dengan beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti cerapan bulan penuh. Sesi cerapan ini diketuai oleh AF Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Ketua Bahagian Falak. Sebanyak 5 buah teleskop pelbagai jenis telah dipasang untuk sesi cerapan tersebut di antaranya ialah teleskop MEADE ETX 80, MEADE LX200, SHARPSTAR 100mm dan ORION 80mm.
Walaupun pada awal sesi cerapan, awan menutupi bulan namun sekitar jam 10 malam, Allah memberi rezeki kepada para pengunjung untuk menatapi keindahan bulan melalui teleskop yang telah disediakan. Rata-rata pengunjung yang berpeluang mencerap bulan melalui teleskop menyatakan bahawa ini merupakan pengalaman pertama serta pengalaman yang amat bermakna. Program sebegini dilihat sebagai salah satu kaedah pendekatan pendidikan falak kepada masyarakat secara langsung.
1 2 3

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Bengkel Pengurusan Kandungan Laman Web Bil 7/2022 - Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 26 OGOS 2022 - Bengkel PIC Web ini telah berlangsung di bilik mesyuarat JMNPk pada jam 3:00 petang yang melibatkan semua PIC Web dan PIC Penerbitan daripada Bahagian Fatwa, Falak, Maktabah dan Pentadbiran.

Bengkel ini diadakan pada hari Jumaat setiap bulan bagi membincangkan topik kandungan laman web yang perlu dikemaskini bagi mematuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak MAMPU dan PSUK. Bengkel ditangguhkan pada jam 4:40 petang.

1 2 3

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Bacaan Yasin Sempena Hari Kebangsaan Tahun 2022

1 IPOH, 26 OGOS 2022 - Mufti Kerajaan Negeri Perak, SS Dato’ Hj Wan Zahidi bin Wan Teh telah hadir bersama kepimpinan Kerajaan Negeri Perak mengiringi DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan dalam Majlis Bacaan Yasin Sempena Hari Kebangsaan Tahun 2022 yang telah berlangsung di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh.

Turut serta dari kalangan tenaga kerja Jabatan Mufti Negeri Perak di dalam majlis ini adalah SS Timbalan Mufti Negeri Perak bersama beberapa orang pegawai. Moga majlis ini membawa keberkatan dan rahmat khususnya untuk Negeri Perak dan seluruh Malaysia amnya.

1 2

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Seminar Penggunaan TikTok Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 18 dan 19 Ogos 2022 - Seminar penggunaan TikTok telah diadakan selama 2 hari bertempat di Ballroom Tingkat 1, Hotel Casuarina @ Meru. Seminar ini merupakan sesi pembelajaran kepada pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan ini dalam penyediaan bahan-bahan ilmiah yang berkualiti melalui aplikasi TikTok.

Penceramah jemputan merupakan TikTokers terkenal di Malaysia iaitu Encik Azrul Affandi Sobry atau lebih dikenali dengan nama PenceritaTV. Beliau telah memberikan pendapat dan panduan bagaimana jabatan ini dapat menyediakan content element yang bermutu kepada pengguna-pengguna media sosial di TikTok. Ini merupakan platform baru bagi jabatan ini selain menggunapakai platform Facebook dan Instagram dalam menyebarkan ilmiah kepada pengguna-pengguna media sosial umumnya.

Semoga pendekatan baru ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.

1 2 3

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Keratan Akhbar : Keadaan Mufti Perak bertambah baik

1 IPOH, 24 Ogos - Keadaan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini pagi semalam, akibat serangan strok, bertambah baik, demikian menurut doktor yang merawatnya. Pakar Perubatan dan Neurologi Hospital KPJ Ipoh, Datuk Dr Zakaria Kadir, berkata keadaan Harussani, 81, ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira pukul 9 pagi semalam agak teruk, termasuk lemah sebelah kanan badan serta sukar bercakap. "Alhamdulillah, petang semalam beliau dah mula beri reaksi dan hari ini bertambah baik, boleh bercakap beberapa perkataan serta ada reaksi emosi berbanding semalam," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin melawat Harussani di sini, hari ini. Dr Zakaria berkata, selain memberikan ubat rehat kepada Mufti Perak itu kerana keadaannya yang keletihan, beliau turut memberikan rawatan untuk memulihkan saluran darah dan rawatan bagi penyakit lain termasuk darah tinggi.

Beliau berkata, Harussani mungkin akan terus dirawat di dalam ICU sekurang-kurangnya tiga hari lagi jika Mufti Perak itu terus menunjukkan perkembangan positif sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan dan pemulihan. Sementara itu, Mohd Akmal berharap agar rakyat sama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan tokoh agama Perak tersebut selain meminta masjid serta surau untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin.

"Kita masih lagi memerlukan khidmatnya, seorang tokoh, ulama di negeri Perak yang banyak jasanya," katanya. Harussani, 81, dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran; Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. – BERNAMA

Sumber: Keratan Akhbar Berita Harian Online| Isnin, 24 Ogos 2020 | 12:19pm

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/724136/keadaan-mufti-perak-bertambah-baik

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Jabatan Mufti Negeri Perak

1 IPOH, 29 Julai - Jabatan Mufti Negeri Perak telah meraikan penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2019 di Hotel Casuarina @ Meru pada 29 Julai 2020 yang lalu. Majlis disempurnakan oleh YB SS Dato’ Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak bagi mewakili YB SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Negeri Perak yang tidak dapat hadir ke majlis tersebut. Majlis diraikan bertujuan memberi pengiktirafan kepada warga kerja Jabatan Mufti Negeri Perak yang telah melebihi tahap cemerlang dalam perkhidmatan sepanjang tahun 2019.

Pemilihan penerima anugerah pada tahun 2019 adalah berdasarkan prestasi tahunan melebihi 85%, rekod kedatangan cemerlang, berdisiplin, hubungan mesra sesama rakan sekerja, sokongan Ketua Bahagian dan seterusnya diperakukan oleh Ketua Jabatan. YB Dato’ Zamri telah berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan kepada 3 orang warga kerja yang cemerlang iaitu Encik Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa (Bahagian Fatwa), Encik Nor Azaman bin Mohd Rashid (Bahagian Pentadbiran) dan 3. Puan Mahanom binti Mior Arbi (Bahagian Fatwa).

Sekalung Tahniah kepada semua penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 dan semoga terus-menerus memberikan dan mempamerkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang buat Jabatan Mufti Negeri Perak.

2 1 1

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Majlis Rukyah Hilal Zulhijjah 1440H

rukyah SEGARI, 2 OGOS 2019 – Program Majlis Rukyah Hilal Zulhijjah 1440H bersamaan 2019M telah berjaya dilaksanakan semalam. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh 1 Zulhijjah setiap tahun Hijri seterusnya tarikh Hari Raya Aidiladha iaitu pada 10 Zulhijjah dapat ditentukan. Ia telah diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari.

Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Orang-orang Besar Negeri Perak serta Pegawai Daerah Hilir Perak. Program bermula dengan bacaan tahlil pada jam 6.00 petang. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Ia diikuti dengan taklimat kedudukan Hilal Zulhijjah yang disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan pada jam 6.50 petang. Kira-kira 300 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai. Pada jam 7.53 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Zulhijjah tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Walau bagaimanapun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah adalah pada hari Jumaat, 2 Ogos 2019 berdasarkan laporan rukyah hilal tempat-tempat lain di seluruh negara. Program diakhiri dengan jamuan makan malam selepas solat fardhu Maghrib.

1 2 3

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

  • 1
  • 2