• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Rukyah Hilal Zulhijjah 1436

Program Rukyah Hilal Zulhijjah 1436H

Pada hari Ahad bertarikh 13 September 2015 (bersamaan 29 Zulkaedah), Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan satu program iaitu “Program Rukyah Hilal Zulhijjah 1436H, bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. Ia bertujuan untuk menentukan tarikh permulaan bulan Zulhijjah sekaligus menetapkan tarikh Hari Raya Idul’adha yang jatuh 10 hari selepas itu iaitu pada 10 Zulhijjah. Tarikh awal Zulhijjah ditentukan dengan kaedah imkanur rukyah sebagaimana yang ditetapkan di Malaysia. Program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang ilmu falak khususnya berkaitan kaedah rukyah (melihat) hilal. 

Program ini telah dihadiri oleh kira-kira lima ratus orang tetamu yang hadir bermula jam 4.30 petang. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah:
1) Ketua Hakim Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak,
2) Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk),
3) Pegawai Daerah Manjung,
4) Orang Besar Jajahan Kinta
5) Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak
 
Pada jam 6.00 petang, program bermula dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh YBhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak. Selesai bacaan doa, program diteruskan dengan majlis taklimat rukyah hilal Zulhijjah 1436H. Taklimat disampaikan oleh Ustazah Fatimah binti Ayoub, Penolong Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak. Program diteruskan dengan sesi rukyah atau melihat hilal di persisiran pantai. Sesi rukyah dilakukan oleh SS Mufti Negeri Perak pada jam 7.21 malam, diikuti dengan tetamu-tetamu kehormat yang lain. Setelah sesi rukyah dijalankan, SS Mufti menghubungi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja untuk memaklumkan keputusan rukyah, dengan menggunakan perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Para tetamu juga dibenarkan melakukan aktiviti melihat hilal dengan adanya alatan yang telah disediakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Program diteruskan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh A.F. Ustaz Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa, Pegawai Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perak. Selesai solat maghrib, program diakhiri dengan jamuan makan malam. Alhamdulillah, dengan izin dan kehendak Allah program dapat berjalan dengan lancar. Semoga segala usaha baik ini mendapat keredhaan dan keberkatan dariNya. Amin.

Kursus Fatwa dan Falak Syar'ie

Pada hari Selasa hingga Khamis, bertarikh 11-13 Ogos 2015 (bersamaan 26- 28 Syawal 1436H), Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) telah mengadakan Kursus Fatwa dan Falak Syar’ie, bertempat di Auditorium INTIM. Ia bertujuan untuk berkongsi ilmu dan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai institusi fatwa dan ilmu falak.

Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 2.30 petang. Seramai 50 daripada 108 orang yang dijemput telah mendaftar sebagai peserta. Peserta-peserta yang dijemput terdiri daripada imam-imam masjid daerah dan masjid qariah. Kursus diteruskan dengan slot yang pertama iaitu ‘Pengenalan Fatwa’ yang disampaikan oleh S.S Ustaz Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Kursus diteruskan pada hari kedua dengan slot ‘Pengurusan Fatwa di Malaysia’ oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi dan slot ‘Mufti dan Jawatankuasa Fatwa’ oleh A.F. Ustaz Kamaruddin bin Adam pada sesi pagi, dan slot ‘Pengenalan Ilmu Falak’ oleh A.F. Ustazah Fatimah Ayoub pada sesi petang. Sesi cerapan yang dijadual pada waktu malam tidak dapat diadakan akibat hujan.

Pada hari ketiga, kursus diteruskan dengan slot ‘Penentuan Arah Kiblat’ dan slot ‘Waktu Solat’ yang disampaikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Faizal bin Jani. Program berakhir dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada para peserta. Majlis penutup dirasmikan oleh S.S. Ustaz Zamri bin Hashim.

Semoga usaha dakwah dan penyampaian ilmu ini mendapat nilai ganjaran di sisi Allah S.W.T.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Mesyuarat AJK Fatwa Negeri Perak Kali ke-205

Pada hari Isnin bertarikh 10 Ogos 2015 (bersamaan 25 Syawal), Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-205. Ia bertujuan untuk membincangkan hukum-hukum mengenai isu-isu yang dibawa sama ada oleh organisasi atau individu tertentu, dan membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya.
Mesyuarat bermula pada jam 9.00 pagi dan dipengerusikan oleh YBhg S.S. Tan Sri Dato' Seri (Dr) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria, selaku Mufti Negeri Perak. A.F. Ust. Kamaruddin bin Adam merupakan setiausaha mesyuarat, dan dibantu oleh dua orang urusetia mesyuarat iaitu A.F. Ust. Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi, dan A.F. Ustazah Nadya binti Jamri.
Berikut adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang hadir pada mesyuarat tersebut:
1) YBhg S.S. Tan Sri Dato' Seri (Dr) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (Mufti Negeri Perak)
2) S.S. Tuan Hj. Zamri Hashim (Timbalan Mufti Negeri Perak)
3) YBhg S.F. Dato' Haji Mohd Yusop bin Haji Husin (Pengarah JAIPk)
4) YBhg Dato' Steikh Haji Mohamad Nor bin Mansor Al Hafiz (wakil MAIPk)
5) S.F. Prof. Dr. Jamil bin Hashim
6) S.F. Tuan Haji Mohd Suaid bin Din
7) S.F. Tuan Haji Md. Dali bin Ghazali
8) S.F. Tuan Haji Asad bin Awang
9) S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan
Salah seorang dari AJK Fatwa Negeri Perak yang telah dilantik iaitu YBhg Dato’ Haji Md Salleh bin Md@Haji Ahmad tidak dapat hadir ke mesyuarat ini kerana terlibat dalam Mesyuarat Fatwa Negeri Selangor pada tarikh yang sama. Mesyuarat berakhir pada jam 12.30 tengah hari.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Rukyah Hilal Syawal 1436H

Khamis 16 Julai 2015 (bersamaan 29 Ramadan), Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan satu program iaitu “Program Rukyah Hilal Syawal 1436H, bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. Ia bertujuan untuk menentukan tarikh Hari Raya Idulfitri dengan menentukan kenampakan hilal (anak bulan) Syawal, selain untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah rukyah hilal khususnya, dan ilmu falak amnya.Khamis 16 Julai 2015 (bersamaan 29 Ramadan), Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan satu program iaitu “Program Rukyah Hilal Syawal 1436H, bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. Ia bertujuan untuk menentukan tarikh Hari Raya Idulfitri dengan menentukan kenampakan hilal (anak bulan) Syawal, selain untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah rukyah hilal khususnya, dan ilmu falak amnya.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YB. Dato’ Drs. Mohd. Nizar bin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Hj. Mohd Yusop bin Hj. Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Tn. Hj Harith Fadzilah bin Abdul Halim, Timbalan Pengarah JAIPk, serta Orang-orang Besar Jajahan. Program ini turut dihadiri oleh kira-kira dua ratus orang awam.

Program ini bermula dengan sesi pertama iaitu majlis perasmian, yang dipengerusikan oleh ustaz Mohamad Amri Alhusni bin Mohamad Dasuki. Majlis ini bermula dengan taklimat rukyah hilal Syawal 1436H yang disampaikan oleh ustaz Nor Izwan bin Hamdan, Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh S.F. Ustaz Hj. Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Seterusnya sesi kedua bermula iaitu upacara rukyah atau melihat hilal di persisiran pantai. Rukyah dilakukan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani bin Hj. Zakaria, Mufti Negeri Perak. Diikuti dengan tetamu-tetamu kehormat yang lain. Setelah dipastikan anak bulan tidak kelihatan, YBhg Tan Sri menghubungi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja untuk memaklumkan hasil rukyah, dengan menggunakan telefon yang disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Program diteruskan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah dan diakhiri dengan jamuan makan malam. Semoga segala usaha kebaikan ini dinilai oleh Allah sebagai ibadah dan mendapat ganjaran dari-Nya.

Sumber : Unit Pusat Sumber, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Jom Beriktikaf

Pada 7 hingga 8 Julai 2015 yang lalu (bersamaan malam 21 Ramadan 1436), Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid An-Nur, Batu 8 telah mengadakan satu program kerohanian yang dinamakan “Jom Beriktikaf”. Program ini diadakan di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta. Ia bertujuan untuk menggalakkan masyarakat untuk memenuhi malam Ramadan dengan ibadah-ibadah serta untuk penyampaian maklumat secara langsung dengan bimbingan pegawai jabatan ini.
Program ini bermula dengan tazkirah pada jam 7.00 malam yang disampaikan oleh A.F. Ustaz Kamaruddin Bin Adam, Pegawai Fatwa, diikuti dengan tahlil dan iftar jama’ie. Program diteruskan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah, solat fardhu Isyak dan solat sunat Tarawikh yang diimamkan oleh Ustaz Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti. Selesai solat sunat Tarawikh, pengisian program diteruskan dengan tazkirah oleh Ustaz Zamri serta diakhiri dengan sesi Tadarus al-Quran.

Program disambung semula dengan aktiviti qiamullail yang bermula dengan solat sunat tahajud, solat sunat tasbih dan zikir munajat yang dipimpin oleh beberapa pegawai dari jabatan ini. Program berakhir selepas solat Subuh berjemaah. Semoga segala usaha ‘amar makruf dan amal ibadah kita mendapat keredhaan Allah S.W.T..
Antara pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Perak yang hadir ialah:

1)      S.S. Ustaz Zamri bin Hashim
2)      A.F. Ustaz Kamaruddin bin Adam
3)      A.F. Ustaz Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa
4)      A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi
5)      Ustaz Mohd. Hafiz bin Baharom
6)      Ustaz Mohamad Amri Alhusni bin Mohamad Dasuki
7)      Ustaz Azizi bin Ismail

Sumber: Unit Pusat Sumber, Jabatan Mufti Negeri Perak.