• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Pengumuman Untuk Solat Sunat Gerhana Bulan

Pada 7-8 hb Ogos 2017M  bersamaan 15 Zulkaedah 1438H (Isnin-Selasa), Gerhana Bulan Separa akan berlaku. Ia berlaku selari dengan waktu Bulan berada di fasa Bulan Penuh ketika dalam kedudukan Istiqbal. Gerhana kali ini dapat dilihat sepenuhnya dari Malaysia khususnya di negeri Perak. Ketika gerhana kali ini berlaku, kita akan mendapati cahaya bulan yang sepatutnya terang kelihatan akan kelihatan malap seolah dilindungi awan nipis. Namun, pada saat-saat kemuncak gerhana, bulan akan kelihatan lebih gelap di sebelah selatan permukaan Bulan seolah-olah dilindungi awan tebal. Pada ketika inilah kesan gerhana akan lebih mudah dikenal pasti. Malah pada keseluruhan gerhana ini, kita akan dapat menyaksikan gerhana dengan baik kerana ketika itu Bulan berada tinggi dari ufuk.

 Berdasarkan data yang telah dihisab, Gerhana Bulan Separa dijangka akan berlaku bermula jam 11:50 pm pada malam 7hb Ogos. Namun pada permulaan gerhana ini, kesan gerhana sukar dilihat kerana Bulan baru memasuki bayang penumbra yang kurang gelap. Hanya pada jam 1:23 am hingga 3:18 am pada pagi 8hb Ogos, barulah kesan gerhana akan lebih jelas kelihatan setelah Bulan memasuki bayang Umbra yang lebih gelap. Kesan gelap gerhana akan paling  jelas pada jam 2:20 am. Setelah itu gerhana masih berlaku, cuma kesan gerhana akan semakin hilang ketika ia memasuki fasa penumbra. Gerhana akan tamat pada jam 4:51 am.

Tempoh keseluruhan gerhana ini akan berlaku ialah 5 jam 0 m 53 saat dengan mengambil kira laluan Bulan merentasi bayang Penumbra dan Umbra. Namun kesan ketara gerhana pada bayang Umbra hanya dalam 1 jam 55 minit 14 saat.

 Maka berdasarkan maklumat di atas, seluruh umat Islam khususnya di negeri Perak disarankan untuk melaksanakan solat sunat Gerhana Bulan. Waktu yang disarankan ialah dari jam 1:23 am hingga 3:18 am pada pagi 8hb Ogos. Di samping melaksanakan cerapan gerhana, umat Islam disarankan untuk memperbanyakkan zikir, tasbih, tahmid dan takbir. Ini kerana gerhana adalah bukti kebesaran Allah S.W.T yang sepatutunya diiringi rasa kekaguman dan kehambaan pada Kebesaran Allah S.W.T. Moga Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan kita untuk mencerap gerhana bulan nanti.

 Selamat menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan.

 

Ringkasan Waktu Solat Sunat Gerhana Bulan

 

Tarikh

Hari

Mula

Tamat

15 Zulkaedah 1438 H /

8 Ogos 2017M

Selasa

1:23 am

3:18 am



Muat turun Khutbah Gerhana DI SINI

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Kenyataan Media S.S.Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan

mufti perak
 
Saya ingin merujuk kepada tindakan Joint Action Group on Gender Equality (JAG) iaitu Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender dan Gender Equility Initiative (GEI) iaitu Inisiatif Kesaksamaan Gender yang telah memberikan anugerah bagi kategori ‘Penghinaan Intelektual’kepada saya dan anugerah seumpamanya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di satu program Majlis Anugerah Aiyot Wat Lah! anjuran mereka.
 
Menurut laporan sebuah portal liberal, kategori ‘Penghinaan Intelektual’itu dianugerahkan kepada pihak yang membuat ulasan tidak logik, tidak rasional dan palsu sama sekali. Ia adalah rentetan dari kenyataan saya pada April tahun lalu mengenai “ konsep rogol dalam perkahwinan tidak wujud kerana isteri tidak boleh menolak kehendak seks suami kecuali datang bulan, sakit dan melahirkan anak ”. Saya juga ada mengatakan “ Nabi Muhammad juga berkata isteri mesti patuh walaupun di atas belakang unta ”. Berikut adalah jawapan saya kepada pihak berkenaan berkaitan isu ini:
  1. Saya berpandangan bahawa tindakan yang dilakukan oleh mereka dengan kerelaan sendiri telah menyerlahkan tahap kejahilan yang maksimum dalam Hal yang berkaitan dengan Agama Islam, perbezaan antara nas syarak, pandangan ulama’ serta pendekatan pengurusan hal ehwal Islam. Lebih parah lagi bilamana kenyataan ini disebarkan secara terbuka yang boleh menimbulkan kecelaruan terhadap masyarakat.
  2. Tindakan golongan ini dan mereka yang senada dengan mereka bertujuan menjarakkan masyarakat daripada agama dan menganggap agama itu satu kongkongan. Oleh itu, keghairahan mereka dengan memburuk-burukkan ulama’ dan institusi agama adalah prinsip asas golongan liberalis yang cuba dipaksa pakai kepada umat Islam di Malaysia.
  3. Keadaan ini lebih jelas apabila “trend” memburuk-buruk tokoh dan institusi agama digiatkan dan seringkali berlaku tindakan mereka mengambil kenyataan atau ucapan terpilih tanpa melihat kepada skop yang sebenar dan lebih luas. Pada hemat saya tindakan ini ternyata berniat jahat.
  4. Secara asasnya, saya menerima keterbukaan dalam berfikir, berkata dan berkelakuan, namun kita punya keterikatan syarak yang memandu akal manusia. Tindakan mereka juga seperti mengajak orang lain bersifat terlalu terbuka namun, mereka sendiri bersikap jumud dan sering mendahulukan logik akal, rasional daripada panduan nas syarak.
  5. Kenyataan saya berkaitan ‘isteri tidak boleh menolak kehendak suami walaupun di atas belakang unta’adalah bersumberkan keterangan hadis yang bermaksud:
“ Daripada Abdillah bin Abi Aufa, ia berkata, Ketika Mu’az datang dari Syam ia bersujud kepada Nabi SAW. Nabi SAW lalu bertanya pada Mu’az, apa yang kamu lakukan ini? Mu’az menjawab; ketika aku sampai Syam, aku menyaksikan penduduk Syam sujud kepada para pimpinan dan pendeta mereka, aku menyukai hal itu dan kami akan laksanakan terhadap engkau. Rasulullah kemudian bersabda: Jangan kamu lakukan hal itu, sesungguhnya jika aku ( boleh ) memerintahkan seseorang bersujud kepada selain Allah SWT, pasti aku perintahkan seorang isteri sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamannya, seorang isteri dianggap belum memenuhi kewajiban terhadap Allah sebelum ia menunaikan kewajiban terhadap suaminya, sehingga jika saja seorang suami meminta isterinya ketika isterinya itu berada di atas punggung unta, isterinya tidak boleh menolak ”.Hadis Riwayat Ibnu Majah (kitab nikah no. 1843) dan Imam Ahmad (no. 18591). Ini menunjukkan tatacara yang sarat dengan kesopanan serta panduan  Syarak  dalam kehidupan berkeluarga bertujuan mewujudkan keintiman dan kasih sayang antara pasangan.
 
Saya menegaskan bahawa adalah wajar kenyataan dan tindakan terbuka yang menghina ulama’ dan institusi agama dihentikan bagi membina kerukunan antara pelbagai agama dan kaum di negara ini. Di samping itu, ia adalah bagi memelihara ketinggian agama Islam dan meletakkannya sejajar dengan kedudukannya sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3. Agama bagi Persekutuan; (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
 
TAN SRI DATO’ SERI (DR.) HAJI HARUSSANI BIN HAJI ZAKARIA
Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Executive Talk Teluk Intan

TELUK INTAN, 30 OGOS 2016 – Program ‘Executive Talk’ Jabatan Mufti Negeri Perak Bil.2/2016 telah terlaksana dengan lancar semalam. Ia adalah program rasmi anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak yang diadakan 2 hingga 3 kali setiap tahun. Pada kali ini program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Teluk Intan dan Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak. Venue yang terpilih untuk program ini yang merupakan kali kedua bagi tahun ini adalah Dewan Bandaran Teluk Intan.

Penganjur telah menjemput S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak bagi menyampaikan pembentangan pertama yang bertajuk; ‘Cabaran Umat Islam Masa Kini’. Beliau menekankan perlunya umat Islam berhati-hati dengan ancaman-ancaman pemikiran moden seperti liberalism dan pluralisme yang menggugat ketinggian agama Islam.

Selesai pembentangan pertama, program diikuti dengan pembentangan kedua oleh S.F. Prof. Dr. Jamil Bin Hashim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang juga merupakan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sultan Azlan Shah. Pada kali ini beliau membentangkan tajuk; ‘Peranan Asatizah Dalam Menghadapi Cabaran Ummah’. Menurut beliau para asatizah iaitu guru-guru agama memainkan peranan yang sangat penting dalam mempertahankan agama Islam dalam menghadapi cabaran dan ancaman yang pelbagai.

Seramai kira-kira 500 peserta yang hadir untuk program ini terdiri daripada Guru-guru Pendidikan Islam (GPI), guru-guru agama dan wakil-wakil dari jabatan kerajaan. Program bermula sekitar jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 selepas sesi dialog di mana para peserta diberi ruang untuk mengajukan soalan dan pandangan kepada panel-panel pembentang.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Liqa' Mahabbah di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 OGOS 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak bersama dengan Jabatan Mufti Negeri Terengganu telah mengadakan satu program kerjasama iaitu Liqa’ Mahabbah antara kedua-dua jabatan tersebut. Program yang julung-julung kali diadakan ini telah diadakan di sini bermula pada hari Jumaat, 12 Ogos hingga Ahad, 14 Ogos 2016 dengan seramai 45 orang ahli rombongan dari Jabatan Mufti Perak termasuk pegawai, dan kakitangan jabatan serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah berangkat ke Kuala Terengganu. 

Rombongan yang menaiki bas dan 3 buah kereta bertolak dari Jabatan Mufti Negeri Perak sekitar jam 9.30 pagi dan berhenti di Kem Sri Banding untuk makan tengah hari dan solat Jumaat di surau diri Jumaat Kem749. Makan tengah hari telah ditaja oleh Perajurit. Perjalanan diteruskan dan selamat tiba di Hotel Grand Puteri pada jam 8.00 malam, diikuti dengan makan malam.

Keesokan paginya program diteruskan dengan lawatan ke Desa Murni Batik dan Pasar Payang. Pada sebelah malam, diadakan satu forum Bicara Mufti yang bertempat di Masjid Kristal Kuala Terengganu. Ahli-ahli panel forum tersebut terdiri daripada Y.Bhg. SS Tan Sri Dato’ Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria, Mufti Negeri Perak, Y. Bhg. Tuan Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, dan SF Ustaz Mohd Zaki Bin Mat Yakim dari Jabatan Mufti Negeri Terengganu sebagai moderator. Selesai forum tersebut, seluruh rombongan dari Perak dijamu dengan hidangan makan malam yang istimewa iaitu steamboat.Kemudian pihak tuan rumah telah membawa ahli rombongan ke Taman Tamadun Islam dengan menaiki Cruise,iaitu kenderaan khas di situ sebelum pulang ke hotel.

Pada hari Ahad, Majlis Ramah Mesra antara pegawai dan kakitangan kedua-dua jabatan diadakan di Jabatan Mufti Negeri Terengganu. Kedua-dua mufti mewakili jabatan masing-masing telah dijemput bagi menyampaikan sepatah dua kata seterusnya memperkenalkan pegawai dan kakitangan, sebelum membincangkan beberapa perkara dan isu yang berkaitan hal ehwal agama Islam di Negara ini. Selesai sesi pertemuan tersebut, ahli rombongan dari Perak bertolak pulang dan selamat tiba di Ipoh kira-kira jam 11.00 malam. Tan Sri Mufti negeri Perak berharap agar program kerjasama seperti ini dapat diadakan lagi pada akan datang bagi menjalin dan mengeratkan lagi silaturrahim antara institusi-institusi Islam.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Bengkel Kewajipan Zakat Perniagaan Ke Atas Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak

KUALA KANGSAR, 3 OGOS 2016 – Satu Bengkel Kewajipan Zakat Perniagaan Ke Atas Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak telah diadakan di bilik mesyuarat Masjid Ridzuwaniah, Kuala Kangsar. Bengkel yang bermula pada jam 9 pagi sehingga 4 petang itu adalah rentetan dari permintaan oleh Ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang memohon agar isu ini dibincangkan dan dibuat kajian terperinci oleh Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan sebelum dibincangkan semula di mesyuarat tersebut untuk mendapatkan keputusan sama ada perlu atau tidak mewajibkan zakat perniagaan ke atas syarikat atau entiti perniagaan yang berkaitan dengan kerajaan (GLC).

Bengkel bermula pada sebelah paginya dengan pembentangan berkaitan kategori-kategori syarikat atau entiti perniagaan oleh En. Ariff Bin Apandi, Pengurus Besar Bahagian Kewangan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk). Setelah itu, bengkel diteruskan pada sebelah petang dengan sesi perbincangan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kajian dan Penyelidikan. Turut hadir ke bengkel tersebut ialah Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Bengkel tersebut berakhir sekitar jam 4 petang selepas kajian selesai dan perbincangan berkaitan isu ini mendapat kata putus oleh ahli-ahli yang terlibat.

Kursus Fatwa dan Falak Syar'ie

Pada hari Selasa hingga Khamis, bertarikh 11-13 Ogos 2015 (bersamaan 26- 28 Syawal 1436H), Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) telah mengadakan Kursus Fatwa dan Falak Syar’ie, bertempat di Auditorium INTIM. Ia bertujuan untuk berkongsi ilmu dan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai institusi fatwa dan ilmu falak.

Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 2.30 petang. Seramai 50 daripada 108 orang yang dijemput telah mendaftar sebagai peserta. Peserta-peserta yang dijemput terdiri daripada imam-imam masjid daerah dan masjid qariah. Kursus diteruskan dengan slot yang pertama iaitu ‘Pengenalan Fatwa’ yang disampaikan oleh S.S Ustaz Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak.

Kursus diteruskan pada hari kedua dengan slot ‘Pengurusan Fatwa di Malaysia’ oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi dan slot ‘Mufti dan Jawatankuasa Fatwa’ oleh A.F. Ustaz Kamaruddin bin Adam pada sesi pagi, dan slot ‘Pengenalan Ilmu Falak’ oleh A.F. Ustazah Fatimah Ayoub pada sesi petang. Sesi cerapan yang dijadual pada waktu malam tidak dapat diadakan akibat hujan.

Pada hari ketiga, kursus diteruskan dengan slot ‘Penentuan Arah Kiblat’ dan slot ‘Waktu Solat’ yang disampaikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Faizal bin Jani. Program berakhir dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada para peserta. Majlis penutup dirasmikan oleh S.S. Ustaz Zamri bin Hashim.

Semoga usaha dakwah dan penyampaian ilmu ini mendapat nilai ganjaran di sisi Allah S.W.T.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Mesyuarat AJK Fatwa Negeri Perak Kali ke-205

Pada hari Isnin bertarikh 10 Ogos 2015 (bersamaan 25 Syawal), Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-205. Ia bertujuan untuk membincangkan hukum-hukum mengenai isu-isu yang dibawa sama ada oleh organisasi atau individu tertentu, dan membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya.
Mesyuarat bermula pada jam 9.00 pagi dan dipengerusikan oleh YBhg S.S. Tan Sri Dato' Seri (Dr) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria, selaku Mufti Negeri Perak. A.F. Ust. Kamaruddin bin Adam merupakan setiausaha mesyuarat, dan dibantu oleh dua orang urusetia mesyuarat iaitu A.F. Ust. Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi, dan A.F. Ustazah Nadya binti Jamri.
Berikut adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang hadir pada mesyuarat tersebut:
1) YBhg S.S. Tan Sri Dato' Seri (Dr) Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (Mufti Negeri Perak)
2) S.S. Tuan Hj. Zamri Hashim (Timbalan Mufti Negeri Perak)
3) YBhg S.F. Dato' Haji Mohd Yusop bin Haji Husin (Pengarah JAIPk)
4) YBhg Dato' Steikh Haji Mohamad Nor bin Mansor Al Hafiz (wakil MAIPk)
5) S.F. Prof. Dr. Jamil bin Hashim
6) S.F. Tuan Haji Mohd Suaid bin Din
7) S.F. Tuan Haji Md. Dali bin Ghazali
8) S.F. Tuan Haji Asad bin Awang
9) S.F. Dr. Haji Ahmad Husni bin Haji Hasan
Salah seorang dari AJK Fatwa Negeri Perak yang telah dilantik iaitu YBhg Dato’ Haji Md Salleh bin Md@Haji Ahmad tidak dapat hadir ke mesyuarat ini kerana terlibat dalam Mesyuarat Fatwa Negeri Selangor pada tarikh yang sama. Mesyuarat berakhir pada jam 12.30 tengah hari.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Jabatan Mufti Negeri Perak.
  • 1
  • 2