• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Cerapan Gerhana Bulan Penumbra

1 BATU GAJAH, 6 MEI 2023: Sekitar Aktiviti Cerapan Gerhana Bulan Penumbra di Taman Raia Savanna, Batu Gajah, Perak. Gerhana Bulan Penumbra akan berlaku pada 5-6 Mei 2023 M / 15 Syawal 1444H ( Jumaat-Sabtu ). Gerhana ini akan dapat dilihat di seluruh Asia termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei hinggalah ke Mekah. Bagi Malaysia khususnya negeri Perak, kita akan dapat melihat gerhana ini bermula pada jam 11.14 p.m (23.14) dan berakhir pada jam 3.31 a.m (03.31). Manakala kemuncak gerhana adalah pada jam 1.22 a.m ( 01.22) dengan bulan akan memasuki bayang penumbra sehingga magnitud penumbra 0.96 dan hanya kurang pada kedudukan magnitud 0.04 saja dari bayang umbra. Tempoh masa berlakunya gerhana ialah 4 jam 17 minit.
Gerhana Bulan Penumbra adalah gerhana yang boleh dilihat dengan mata kasar. Namun ia perlu dilihat dengan teliti kerana kesan gerhana penumbra adalah kurang jelas berbanding gerhana bulan separa atau penuh. Ini kerana bulan hanya ditutupi oleh bayang penumbra iaitu bayang cerah bumi yang akan jatuh pada permukaan bulan. Bagi melihat gerhana ini, kita boleh merujuk kedudukan bulan yang berada pada fasa bulan penuh tinggi di langit timur. Kemudian perlahan-lahan permukaan bulan disebelah timur akan menjadi sedikit malap. Sehingga kemuncak gerhana pada jam 1.22 a.m ( 01.22), ketika itu cahaya bulan akan berkurang pada kedudukan maksimum. Selepas itu bulan akan semakin cerah sehinggalah tamat gerhana. Solat sunat khusuf (gerhana bulan) TIDAK DIHARUSKAN kerana gerhana bulan kali ini tidak jelas kerana hanya berlaku pada fasa penumbra. Namun Jabatan Mufti Negeri Perak menyarankan agar umat Islam dapat menghayati Gerhana Bulan Penumbra ini sebagai salah satu dari tandatanda kebesaran Allah S.W.T dalam keadaan umat Islam masih lagi berada dalam bulan Syawal.
1 2 3

Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

BEREHATLAH WAHAI MURABBI

ts Berkata Imam Hassan al-Basri rahimahullah :

موت العالم ثلمة في الإسلام لا يسدها شيء ما اختلف الليل والنهار

Bermaksud : “Matinya seorang alim laksana patahnya mercu tanda Islam yang tidak akan mampu ditampung sesuatu pun, walau silih berganti malam dan siang” ( Sunan al-Darimi : 333). Tarikh 30 Mei 2021 M bersamaan 18 Syawal 1442 H jam 2.45 petang akan terpahat dalam sejarah, pemergian insan mulia ke sisi Rabbnya setelah lebih separuh dari usianya telah diberikan untuk ummah ini. Kembalinya Allahyarham Tan Sri Dato Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria ke rahmatullah ketika usia 82 tahun, setelah 36 tahun memberikan khidmat kepada ummah sebagai seorang yang digelar Mufti. Sepanjang tempoh itulah tanpa mengenal jerih atau perih, siang atau malam, Allahyarham memberikan segalanya untuk mentarbiah ummah ini.

Perwatakan tegas, berani dan teguh dalam memegang prinsip adalah wajah Allahyarham yang dilihat di paparan media. Penghujahan dan perdebatannya sentiasa berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dengan logik qias yang cukup bernas. Namun ketika di pejabat bahkan di rumah, Allahyarham adalah ‘tok ayah’ yang sentiasa kaya dengan nasihat dan hikmah yang cukup mendamaikan. Deretan pengalaman melalui hidup zaman penjajahan dan kemerdekaan, bahkan bertemu langsung dengan nama-nama besar dalam sejarah negara dan dunia, membuatkan kita terlalu kerdil ketika berhadapan dengannya. Sepanjang hidupnya, tidak sedikit dugaan yang dihadapinya. Isu agama Islam dan bangsa Melayu adalah dua tunjang perjuangan yang kukuh dalam hati sanubarinya. Jangan sesiapa yang berani membuat onar dan duri dalam dua isu ini, akan diredah, ditegur dan dinasihati. Malah jika ada isu politik, ekonomi dan masyarakat yang pada pandangannya perlu diperbetulkan, Allahyarham akan bersuara, menegur dan menasihat dengan penuh keberanian tanpa mengira mereka pemimpin atau rakyat.

Namun, semua itu adalah kenangan. Kembalinya Allahyarham ketika ummah ini masih memerlukan nasihat dan pedoman terutama ketika ini kita masih berhadapan situasi getir dengan dugaan pandemik covid 19 ini. Jauh lebih menyedihkan, Allahyarham juga meninggalkan kita disebabkan jangkitan covid 19 ini. Walau terasa berat hati mahu menerima pemergian Allahyarham, namun memujuk hati ini, mungkin inilah masanya insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi Rabbnya, bertemu Rasul yang sentiasa dirindukannya. Meninggalkan pejuangan untuk kita ‘anak-anaknya’ untuk diteruskan. Sesungguhnya, kami bersaksi bahawa air mata murabbi ini pernah menitis memikirkan nasib agama dan bangsanya. Moga dengan air mata itulah akan membajai benih perjuangan yang ditinggalkan untuk kita. Maka, duhai hati, relakanlah pemergian sang murabbi, untuk dirinya memasuki jannah firdhausi, dengan maghfirah dan redha Ilahi dan syafaat Rasul yang dicintai......Dengan linangan air mata, kami relakan dan ingin katakan, berehatlah wahai Murabbi...

Catatan..‘Anak-anak’ Warga JMNPk.
Kredit : AF Ustaz Mohamad Faizal bin Jani

Tan Sri Mufti Perak Telah Kembali Ke Rahmatullah

ts IPOH, 30 MEI 2021 - Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah meninggal dunia pada jam 2.45 petang ini. Allahyarham Tan Sri telah disahkan kembali ke rahmatullah disebabkan sakit akibat wabak Covid-19. Allahyarham dan isteri telah disahkan positif Covid-19 lebih seminggu yang lalu dan kemudian Allahyarham mendapat rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Manakala isteri Allahyarham telah pun pulih dan pulang ke rumah selepas itu.

Allahyarham telah menjawat sebagai Mufti Negeri Perak sejak tahun 1985. Allahyarham terkenal dengan keberanian dan ketegasan dalam menyatakan kebenaran khususnya dalam hal ehwal hukum syarak dan perpaduan umat. Allahyarham seorang yang komited dalam kerjaya dan sentiasa menjaga kebajikan para pegawai dan kakitangan beliau di Jabatan Mufti Negeri Perak. Allahyarham ibarat ayahanda kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Sungai Rapat. Jasa dan khidmat Allahyarham kepada Islam dan umat tidak terkira dan sentiasa di dalam ingatan. Didoakan agar Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang beriman dan para solehin.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita Keratan Akhbar: COVID-19 - Mufti Perak sedang dirawat di ICU

1 IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang disahkan positif COVID-19 minggu lalu, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Anak kepada Mufti Perak, Datuk Ahmad Wafi ketika dihubungi memaklumkan secara ringkas status terkini kesihatan bapanya yang sedang dirawat. "Abah memang di ICU dan mak pula semakin pulih dan ada di rumah," katanya.

Ahmad Wafi turut menafikan berita tular di media sosial yang mengatakan ibunya sudah meninggal dunia. "Berita tular isteri mufti Perak meninggal dunia itu adalah palsu," katanya. Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa setakat ini, Harussani sedang dirawat di pusat perubatan berkenaan. "Kami dimaklumkan bahawa Tan Sri (Harussani) masih sedang dirawat di HRPB, manakala isteri dan anaknya pula sudah 'discharged'. "Kita meminta marilah kita semua sama-sama mendoakan akan kesembuhan Mufti Perak," katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber daripada akhbar Berita Harian Online, Isnin - 24 Mei 2021 di pautan berikut:- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/820319/covid-19-mufti-perak-sedang-dirawat-di-icu?fbclid=IwAR2Z4k-NcKpncMukSR4gtVYqUGM9Bs_mHsygbrDerrMc8R8bXfRfp0ylDis

*********************************************************************************************************************************************************************************************************************

>> Titipan khas buat Tan Sri Mufti: Kami berdoa agar SS Tan Sri Dr Harussani Zakaria, segera kembali sembuh. Kami juga mendoakan ahli keluarga beliau berada dalam keadaan baik dan tabah menghadapi ujian ini. Kami, warga Jabatan Mufti Negeri Perak juga mendoakan agar diberi kekuatan dan terus dapat berkhidmat di bawah kepimpinan SS Tan Sri demi kemajuan Islam di Negeri Perak. Sama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan semua. <<

.

World #QuranHour Peringkat Agensi Agama Islam Perak

qh IPOH, 6 MEI 2021 - World #Quran Hour Peringkat Agensi Agama Islam Perak berjaya menghimpunkan seramai 52 peserta daripada pelbagai jabatan yang terlibat dalam penganjuran julung kali melibatkan agensi agama Islam di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bertemakan 'Bangsa Berbudi dan Penyayang' program World #QuranHour di masjid itu dimulakan dengan bacaan surah bacaan alunan Asmaul Husna diikuti bacaan surah al-Fatihah oleh Mohd Hafiz Sulaiman dari Jabatan Mufti Perak. Bacaan Surah al-Mulk kemudian diperdengarkan secara bergilir-gilir oleh setiap wakil jabatan yang terlibat dengan diselangi bacaan terjemahan. Tadabbur keseluruhan 30 ayat Surah al-Mulk kemudiannya disempurnakan Zamri. Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan menjadi surah pilihan dan tema bagi World #QuranHour tahun ini dalam membina karakter orang berjaya di dunia dan akhirat. Dengan menghayati surah Al-Mulk, adalah diharapkan dapat membina kekuatan kerajaan di dalam diri, keluarga, organisasi dan komuniti dalam negara.

Hadir sama pada program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansur; Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Perak, Mohd Asri Ghazali dan Pengurus Besar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, setiap individu mungkin boleh berperwatakan dan menampilkan diri seperti orang hebat tetapi hakikatnya ALLAH SWT maha mengetahui apa yang ada di dalam diri seseorang. Menurutnya, ALLAH SWT memberi bukti menerusi ayat 14 Surah al-Mulk bahawa Dia yang maha halus urusan pentadbiran dan maha mendalam pengetahuan-Nya. "Sebab itu, kita sebagai yang menjawat di dalam agensi agama ini, bos kita yang paling besar adalah ALLAH SWT, bukan tuan pengarah, bukan Yang Amat Arif bukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), bukan ketua pendakwa tetapi ALLAH SWT. "Ini sangat penting supaya kerja kita berprinsip, khidmat kita nombor satu kepada ALLAH SWT. Kita berlakon, kita bermuka-muka, kita bodek sana sini, ALLAH SWT tahu sebab yang menciptakan kita adalah ALLAH SWT," katanya ketika mentadabbur 30 ayat Surah al-Mulk.

Inisiatif World #QuranHour adalah wadah permulaan memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada daripada segi bacaan, penghayatan dan amalan.

qh qh qh
qh qh qh

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Ziarah Mahabbah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak

1 14 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak, Yang Berhormat Tuan Mohd Akmal bin Haji Kamarudin telah mengadakan lawatan atau Ziarah Mahabbah ke Jabatan Mufti Negeri Perak. Beliau telah disambut oleh semua pegawai tertinggi jabatan yang diketuai oleh SS Dato’ Haji Zamri Bin Hasmi Timbalan Mufti Negeri Perak.

Satu perbincangan telah diadakan Bilik Persidangan MAIPk. Sesi Perbincangan tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan SS Dato' Haji Zamri bin Hashim. Yang Berhormat Tuan Mohd Akmal bin Haji Kamaruddin telah memberi ucaptama berkenaan hasrat dan hala tuju semua agensi yang berada di bawah seliaan beliau khususnya Jabatan Mufti Negeri Perak. Yang Berhormat dan deligasi lawatan telah di beri penjelasan fungsi dan peranan utama Jabatan Mufti Negeri Perak.

Pelbagai perkara telah dibincangkan dengan menyeluruh dan memfokuskan kepada perkhidmatan Agama khususnya peranan Jabatan Mufti Negeri Perak. Lawatan atau Ziarah Mahabbah pada petang ini telah diakhiri dengan sesi fotografi bersama semua deligasi yang hadir ke sesi taklimat dan perjumpaan pada hari ini.

Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri Perak di atas kesudian mengadakan lawatan ke Jabatan Mufti Negeri Perak. Jazakallahu Khairan Kathira.

2 1 3
2 1 3

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1440H

hilal SEGARI, 6 MEI 2019 – Program Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1440H bersamaan 2019M telah diadakan dengan jayanya semalam. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh bermula puasa, iaitu pada 1 Ramadan setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari.

Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah YB Dr. Aziz Bin Bari, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak mewakili YAB Menteri Besar Perak, Tuan Yahaya Bin Mat Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang. Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan.

Program bermula dengan bacaan tahlil pada jam 5.25 petang. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Ia diikuti dengan ceramah ambang Ramadan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz Bin Abdul Khir, penceramah jemputan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Selepas itu, taklimat kedudukan Hilal Ramadhan telah disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilaliaitu melihat anak bulan pada jam 6.50 petang. Kira-kira 700 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai.

Pada jam 7.50 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Ramadhan tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Walau bagaimanapun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Ramadan adalah pada hari Isnin, 6 Mei 2019. Oleh itu, solat sunat terawikh telah dilaksanakan di ruangan solat yang disediakan. Program diakhiri dengan minum malam selepas solat sunat terawikh.

 

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Kertas Kerja Sempena Program Rukyah Hilal Ramadhan 1438H

Berikut adalah kertas kerja Prinsip Jalan Tasawuf Shaykh al-Junayd al-Baghdadi yang akan dibentangkan sempena Program Rukyah Hilal Ramadhan 1438H pada 26 Mei 2017 (Jumaat) anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak:

Prinsip Jalan Tasawuf Shaykh al-Junayd al-Baghdadi (versi PDF)

Sebarang pertanyaan sila kemukakan melalui email Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau telefon +605 254 5332

Sekian. Terima kasih.

Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak di Daerah Gerik

exec talk gerik

GERIK, 19 MEI 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya meneruskan program tahunan iaitu Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak pada tahun ini. Semalam program tersebut telah diadakan dengan jayanya. Kali ini daerah Gerik telah dipilih sebagai lokasi program. Ia telah diadakan di Dewan Serbaguna Daerah Gerik dengan Pejabat Agama Islam Daerah Gerik sebagai penganjur bersama.

Kehadiran program kali ini menjangkau seramai 350 orang dengan penyertaan oleh Guru-guru Tauliah Mengajar Agama Islam, Guru Pendidikan Islam (GPI) Daerah Hulu Perak, para imam dan Jawatankuasa Masjid Daerah Hulu Perak, para penghulu serta ketua dan wakil jabatan-jabatan kerajaan di sekitar Gerik. Turut hadir Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Dato’ Ar.LA Meor Roslan Bin Dato’ Seri Haji Meor Ahmad Rashidi, Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Zamakhshari Bin Hanipah serta Pegawai Tadbir Agama Daerah Gerik, S.F. Tuan Haji Supian Bin Abdul Latif.

Mufti Negeri Perak YBhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah memberikan tausiah dan nasihat kepada semua yang hadir, diikuti dengan ceramah oleh S.F. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak yang bertajuk ‘Menghadapi Perselisihan Dalam Isu Agama’. Antara intipati yang ditekankan dalam ceramah tersebut ialah tugas dan tanggungjawab individu muslim, hakikat perselisihan, perselisihan dalam isu agama, adab di dalam perselisihan serta keperluan kepada pihak berautoriti.

Selesai ceramah, sesi soal jawab diadakan. Beberapa orang hadirin telah mengajukan soalan kepada Mufti dan Timbalan Mufti. Antara yang menarik ialah persoalan mengenai arahan kepada masjid dan surau di seluruh negeri Perak bagi melaksanakan solat sunat tarawikh sebanyak 20 rakaat dan larangan tazkirah sebelum dan antara solat sunat tarawikh. Program berakhir sekitar jam 1.00 petang.

 

exec talk gerik  

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

GARIS PANDUAN DAN TATACARA

Berikut adalah senarai Garis Panduan yang telah dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Mufti Negeri Perak:

  1. GARIS PANDUAN TATACARA PEMBACAAN DOA DALAM MAJLIS RASMI DAN SEPARA RASMI
  2. GARIS PANDUAN PEMBACAAN AL-QURAN DALAM MAJLIS RASMI DAN SEPARA RASMI
  3. GARIS PANDUAN TATACARA PELUPUSAN HARTA MASJID
  4. GARIS PANDUAN KARNIVAL DAN HIBURAN YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM
  5. GARIS PANDUAN PENGGUNAAN LOGO

Sebarang pertanyaan sila kemukakan melalui email Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau telefon +605 254 5332

Sekian. Terima kasih.

  • 1
  • 2