• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Perhimpunan Bulanan Jabatan Mufti Bil.3/2017

perhimpunan bulan mei

IPOH, 15 MEI 2017 – Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi pegawai dan kakitangan jabatan buat kali ketiga pada tahun ini pagi tadi. Perhimpunan ini dihadiri oleh YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria selaku Ketua Jabatan bersama 23 orang pegawai dan kakitangan jabatan serta 2 orang pelajar yang sedang menjalani latihan industri di jabatan ini.

 

Perhimpunan dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan alunan nasyid Asma’ al-Husna. Bacaan doa dipimpin oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam Bin Ahmad Tarmizdi sebelum tausiyah yang disampaikan oleh S.S. Tan Sri Mufti. Selesai tausiyah, Ketua Pembantu Tadbir, Tuan Haji Roslan Bin Borhan dijemput bagi menyampaikan taklimat aktiviti bahagian dan jabatan bagi Bulan Mei 2017.

Antara aktiviti dan program utama jabatan yang akan diadakan pada bulan ini ialah Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak Bil/1/2017 di Gerik, Kaunter Khidmat Pelanggan dan Pameran Karnival Mahabbah Institusi Agama sempena Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak di Daerah Kuala Kangsar, dan Majlis Rukyah Hilal Ramadhan bagi tahun 1438H / 2017M.

 

Pada perhimpunan kali ini, tausiyah S.S. Tan Sri Mufti menekankan beberapa perkara berkaitan prestasi serta kecemerlangan pegawai dan kakitangan penjawat awam yang menjadi aset dan memainkan peranan penting dalam menjaga imej sesuatu jabatan atau agensi kerajaan. Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada 3 orang pegawai dan kakitangan yang telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat jabatan bagi tahun 2017.

 

perhimpunan bulan mei perhimpunan bulan mei

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Bengkel Dan Cerapan Hilal Syaaban 1438H / 2017M

cerapan SEGARI, 28 APRIL 2017 – Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya menganjurkan Bengkel dan Cerapan Hilal Syaaban 1438H / 2017M. Program yang bertempat di Baitul Hilal ini bermula pada jam 4 petang semalam. Ia bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu falak dan aplikasinya dalam ibadat serta menimbulkan minat di kalangan para pelajar untuk mendalami ilmu falak sekurang-kurangnya pada tahap fardu ain.

Peserta yang terlibat ialah ahli Kelab Falak bagi sekolah-sekolah menengah agama Negeri Perak antaranya Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah dan Sekolah Raja Dr. Nazrin Shah, Kampung Gajah. Turut hadir sebagai peserta Ahli Kariah Masjid An-Nasriyah, Setiawan dan pelajar daripada Maktab Rendah Sains MARA, Sungkai.

Program bermula dengan sesi Bengkel Cerapan Hilal yang dikendalikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan sesi Cerapan Hilal yang diuruskan oleh semua pegawai dan kakitangan bahagian Falak. Program berakhir selepas solat maghrib dan makan malam sekitar jam 9.00 malam. Semoga program ini mendapat ganjaran kebaikan oleh Allah SWT.

cerapan cerapan

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak Tahun 2017

peperiksaan tauliah

IPOH, 1 MEI 2017 – Peperiksaan Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2017 telah berakhir semalam. Peperiksaan secara bertulis ini telah diadakan selama dua hari bermula hari Sabtu. Ia merupakan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dengan Jabatan Mufti Negeri Perak sebagai urusetia peperiksaan.

Lokasi peperiksaan bagi calon baru masih dikekalkan seperti tahun lalu iaitu Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bagi calon mengulang pula, peperiksaan pada tahun ini diadakan di Bilik Kuliah Al-Ghazali, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri). Ketua Pengawas yang telah dilantik bagi peperiksaan tahun ini ialah A.F. Tuan Haji Kamaruddin Bin Adam dan A.F. Ustaz Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa. 12 orang pengawas juga telah dilantik dari kalangan pegawai-pegawai Jabatan Mufti Negeri Perak.

Sebelum bermula peperiksaan, Ketua Pengawas telah membacakan peraturan peperiksaan kepada semua calon. Sebanyak 4 peperiksaan diadakan pada hari pertama iaitu bagi subjek Hadith, Fiqh, Tauhid dan Tafsir, manakala 3 lagi peperiksaan bagi subjek Tasawuf, Sirah dan Aliran Pemikiran Semasa diadakan pada hari kedua. Seramai 230 calon baru telah hadir untuk menduduki peperiksaan ini. Subjek Tasawuf mencatatkan calon mengulang yang paling ramai iaitu seramai 71 orang.

Peperiksaan ini berakhir pada pukul 3.30 petang hari Ahad. Calon yang telah lulus peperiksaan bertulis ini akan dipanggil kemudian untuk sesi temuduga lisan bagi menentukan kelayakan mereka sebagai Guru Agama Tauliah Negeri Perak.

 

 

penyampaian tauliah penyampaian tauliah

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Perjumpaan Mufti Bersama Pegawai dan Kakitangan 1/2016

perjumpaan jmnpk IPOH, 11 MEI 2016 – Buat pertama kalinya pada tahun ini telah diadakan ‘Perjumpaan Tan Sri Mufti Bersama Pegawai Dan Kakitangan Di Jabatan Mufti Negeri Perak. Perjumpaan yang diadakan di Bilik Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tingkat 5, Kompleks Islam Darul Ridzuan, bermula jam 9.00 pagi itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama seluruh anggota kakitangan jabatan, selain untuk berkongsi pandangan dan pendapat serta berbincang permasalahan dan penyelesaiannya berkaitan hal ehwal para pekerja dan peranan masing-masing demi kebaikan dan kepentingan jabatan.

Selepas menikmati jamuan sarapan yang disediakan, program dimulakan dengan mendengar ucapan aluan dan amanat daripada mufti Perak yang juga selaku ketua jabatan iaitu SS Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria. Banyak pengalaman yang telah dikongsikan oleh beliau kepada pegawai serta kakitangan jabatan khususnya berkaitan perkembangan kerjaya beliau dari awal remaja sehingga menjawat jawatan sebagai mufti kini.

Program diteruskan dengan sesi interaksi bersama Tan Sri Mufti, Pegawai Kanan dan semua kakitangan jabatan. Pelbagai soalan dan pertanyaan telah diajukan kepada Tan Sri Mufti khususnya dan mendapat respon yang baik oleh beliau. Salah seorang pegawai, Fatimah Binti Ayob telah memberi nasihat dan peringatan agar semua anggota jabatan dapat bermuhasabah dan berubah kepada yang lebih baik sekaligus dapat mencerminkan imej yang baik selaras dengan nama baik jabatan.

Selesai sesi interaksi, para pegawai dan kakitangan telah menandatangani Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi tahun 2016 di hadapan Tan Sri Mufti. Kesemua dokumen yang telah ditandatangani oleh pegawai dan kakitangan kemudiannya dibawa ke Tan Sri Mufti untuk ditandatangani oleh beliau.

Sesi perjumpaan ini berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada kakitangan yang akan bertukar pada 16 Mei ini, iaitu En. Azizan Bin Mokhtar. Beliau akan bertukar ke Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Agama Islam Perak. Seterusnya penyampaian cenderamata kepada pegawai dan kakitangan yang menyambut hari lahir pada bulan April, Mei dan Jun iaitu Pn. Pahiyah Binti Idarmawi, En. Zainuddin Bin Muhammad, En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Tan Sri Mufti sendiri. Turut diraikan ialah kakitangan yang baru menerima cahaya mata iaitu pasangan En. Azwawi Bin Abdul Aziz dan Pn. Nurul Asma Binti Ramly.

Perjumpaan ini berjalan dengan lancar dan sangat meriah. Ia disudahi dengan jamuan makan tengahari yang telah disediakan oleh pihak pentadbiran jabatan.

perjumpaan jmnpk
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.
  • 1
  • 2