BEKERJASAMA MENOLAK KECELARUAN JANTINA TERLARANG

Jabatan Mufti Negeri Perak telah dihujani dengan pertanyaan yang bertalu-talu dari rakyat negeri ini dan luar negeri ini berkenaan apakah langkah yang jabatan ini akan lakukan terhadap ura-ura sebuah syarikat yang berkaitan dengan fesyen dan kecantikan yang akan memasarkan produknya di sebuah hotel terkenal di negeri ini pada 29 hingga 30 haribulan September lalu. Kegusaran sebahagian rakyat yang prihatin dengan perkembangan semasa merujuk kepada ikon syarikat berkenaan yang  telah dikaitkan dengan dengan ikon golongan yang dipanggil celaru jantina.

Jabatan Mufti telah mengutus surat kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menjaga hal ehwal agama Islam untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dan mengikut lunas undang-undang. Begitu juga bahagian yang berkenaan di  Jabatan Agama Islam Perak telah menasihati penganjur dengan peraturan-peraturan dan garis-garis panduan yang berkaitan agar mereka mematuhi peraturan sedia ada dan mengambil langkah yang sewajarnya. Semuanya telah dilakukan dengan penuh teratur, mematuhi segala peraturan yang ada dan tidak diwar-warkan kepada umum sehinggalah peribadi-peribadi terbabit seumpama membuka pekung di dada, menyalahkan pihak itu dan pihak ini sambil mengungkit bayaran zakat dan sumbangan dermanya di negeri Perak. Rakyat umum pun marasa marah seolah-olah agensi-agensi agama tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap perkara ini sehingga ada insiatif sendiri dari gerakan massa rakyat untuk berdemontrasi secara aman sebagai menzahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Sebagai jabatan yang tugas utamanya memberi bimbingan dan irsyad kepada kerajaan dan orang ramai, melihat asas larangan mempromosi agenda kecelaruan jantina ini ialah larangan Allah SWT terhadap perbuatan menukar jantina. Ia adalah satu menifastasi mengubah kejadian Allah SWT yang dilarang oleh Allah SWT. "Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata. (QS al Nisa’:119)

Bahkan Rasulullah SAW melaknat golongan yang mempamerkan dan menampilkan perawakan berbeza dari jantina asal ia dijadikan . Rasulullah SAW melaknat lelaki-lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki (HR al Bukhari). Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW melaknat lelaki yang berpakaian wanita dan wanita yang berpakaian lelaki.(HR Imam Ahmad dan al Hakim)

DIPUPUK

Di dalam satu pengakuan seorang mak nyah yang telah kembali ke pangkal jalan, beliau mengakui ada lelaki-lelaki yang mempunyai naluri wanita disebabkan banyak faktor. Beliau mengakui sendiri bahawa dirinya hanya hidup dengan ibu dan kakaknya sahaja disebabkan ayahnya telah berpisah dengan ibunya sejak kecil. Apa yang menjadi masalah menurut beliau ialah naluri itu terus dilayan dan dipupuk. Beliau sendiri telah memakan ubat-ubatan yang menggalakkan hormon kewanitaan. Namun Allah telah menyayangi beliau dan menyedarkan beliau untuk kembali ke pangkal jalan. Watak-watak sebeginilah yang masyarakat wajib membantunya ke pangkal jalan dan dia terbukti bersungguh-sungguh bertaubat.

Tetapi bagi watak-watak yang tidak serius untuk berubah bahkan mempromosi kecelaruan jantina di kalangan masyarakat maka wajib disekat oleh kerajaan dan rakyat wajar memulaukannya.

Di dalam al Quran ada ayat yang menganjurkan kita bantu membantu di dalam perkara-perkara kebajikan dan melarang kita bantu membantu di dalam perkara dosa dan permusuhan. Firman Allah SWT : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (QS al Maidah:2)

Sesungguh jika pihak berkuasa dan gerakan massa yang Islami sama-sama berganding bahu membenteras maksiat dan kemungkaran maka rahmat kasih sayang Allah akan sentiasa memayungi negeri ini.

Print Email