IPOH: Jabatan Mufti Perak mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengutus ucapan takziah berikutan pemergian Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang membantu menyelenggarakan jenazah Allahyarham sehingga selamat dikebumikan. |
“Jabatan Mufti juga mengucapkan terima kasih kepada para muslimin dan muslimat yang telah mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham,” katanya. Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2.45 petang semalam setelah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana positif Covid-19. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini pada pukul 6.20 petang. Urusan pengebumian dijalankan oleh petugas barisan hadapan dan petugas kesihatan yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sekitar kawasan pengebumian juga dikawal ketat oleh anggota polis yang menutup jalan berdekatan tanah perkuburan itu mulai pukul 5 petang. Jabatan Mufti Perak turut menganjur solat jenazah ghaib di rumah masing-masing dan bacaan Yasin secara dalam talian secara langsung di Facebook jabatan berkenaan.