Pada hari Selasa hingga Khamis, bertarikh 11-13 Ogos 2015 (bersamaan 26- 28 Syawal 1436H), Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) telah mengadakan Kursus Fatwa dan Falak Syar’ie, bertempat di Auditorium INTIM. Ia bertujuan untuk berkongsi ilmu dan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai institusi fatwa dan ilmu falak. Program ini bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 2.30 petang. Seramai 50 daripada 108 orang yang dijemput telah mendaftar sebagai peserta. Peserta-peserta yang dijemput terdiri daripada imam-imam masjid daerah dan masjid qariah. Kursus diteruskan dengan slot yang pertama iaitu ‘Pengenalan Fatwa’ yang disampaikan oleh S.S Ustaz Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Kursus diteruskan pada hari kedua dengan slot ‘Pengurusan Fatwa di Malaysia’ oleh A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi dan slot ‘Mufti dan Jawatankuasa Fatwa’ oleh A.F. Ustaz Kamaruddin bin Adam pada sesi pagi, dan slot ‘Pengenalan Ilmu Falak’ oleh A.F. Ustazah Fatimah Ayoub pada sesi petang. Sesi cerapan yang dijadual pada waktu malam tidak dapat diadakan akibat hujan. Pada hari ketiga, kursus diteruskan dengan slot ‘Penentuan Arah Kiblat’ dan slot ‘Waktu Solat’ yang disampaikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Faizal bin Jani. Program berakhir dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil kepada para peserta. Majlis penutup dirasmikan oleh S.S. Ustaz Zamri bin Hashim. Semoga usaha dakwah dan penyampaian ilmu ini mendapat nilai ganjaran di sisi Allah S.W.T. Sumber: Unit Pusat Sumber, Jabatan Mufti Negeri Perak. |