Program Rukyah Hilal Zulhijjah 1436H

Pada hari Ahad bertarikh 13 September 2015 (bersamaan 29 Zulkaedah), Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan satu program iaitu “Program Rukyah Hilal Zulhijjah 1436H, bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. Ia bertujuan untuk menentukan tarikh permulaan bulan Zulhijjah sekaligus menetapkan tarikh Hari Raya Idul’adha yang jatuh 10 hari selepas itu iaitu pada 10 Zulhijjah. Tarikh awal Zulhijjah ditentukan dengan kaedah imkanur rukyah sebagaimana yang ditetapkan di Malaysia. Program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai tentang ilmu falak khususnya berkaitan kaedah rukyah (melihat) hilal. 

Program ini telah dihadiri oleh kira-kira lima ratus orang tetamu yang hadir bermula jam 4.30 petang. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah:
1) Ketua Hakim Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak,
2) Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk),
3) Pegawai Daerah Manjung,
4) Orang Besar Jajahan Kinta
5) Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak
 
Pada jam 6.00 petang, program bermula dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh YBhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak. Selesai bacaan doa, program diteruskan dengan majlis taklimat rukyah hilal Zulhijjah 1436H. Taklimat disampaikan oleh Ustazah Fatimah binti Ayoub, Penolong Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak. Program diteruskan dengan sesi rukyah atau melihat hilal di persisiran pantai. Sesi rukyah dilakukan oleh SS Mufti Negeri Perak pada jam 7.21 malam, diikuti dengan tetamu-tetamu kehormat yang lain. Setelah sesi rukyah dijalankan, SS Mufti menghubungi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-raja untuk memaklumkan keputusan rukyah, dengan menggunakan perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Para tetamu juga dibenarkan melakukan aktiviti melihat hilal dengan adanya alatan yang telah disediakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Program diteruskan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh A.F. Ustaz Mohammad Khairul Anuar bin Mat Isa, Pegawai Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perak. Selesai solat maghrib, program diakhiri dengan jamuan makan malam. Alhamdulillah, dengan izin dan kehendak Allah program dapat berjalan dengan lancar. Semoga segala usaha baik ini mendapat keredhaan dan keberkatan dariNya. Amin.

Cetak Emel