IPOH: Tindakan individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 boleh disifatkan sebagai perbuatan mungkar dan maksiat.Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata ia boleh menjadi sebab melambatkan proses pemulihan dan penyelesaian keluar disebabkan melanggar ketetapan Allah SWT. "Justeru, integriti perlu diterapkan dalam diri setiap individu menurut kaedah fiqh 'la darar wala dirar' yang menekankan keperluan menghilang dan menghapuskan semua kemudaratan diperakui syarak. "Ia bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran Allah SWT akan 'memudarat' urusan seseorang yang memberi mudarat dalam urusan orang yang lain. |
"Ia membawa erti kecuaian mematuhi integriti kendiri akan menimbulkan mudarat berangkai kepada banyak pihak," katanya. Beliau berkata dalam Seminar Kelestarian Integriti bertemakan 'Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Berintegritikah Kita?' disiarkan secara langsung di Facebook Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak, hari ini. Turut menjadi panel seminar itu adalah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said; dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Mohd Zamri Md Ali. Zamri berkata, sesuatu wabak yang menimpa manusia adalah satu bentuk balasan atau azab dari Allah SWT yang pernah memusnahkan umat terdahulu berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid. "Banyak yang kita culas, justeru Allah SWT hantar 'signal' (isyarat) tertentu. Wabak akan datang pada suatu ketika dan akan pergi selepas suatu ketika dan barangkali ini 'signal' besar dari Allah SWT. "Konsep integriti atau amanah sebenarnya lebih halus di sisi Islam kerana kesemua perbuatan ada pencatat kiri dan kanan, walaupun tanpa kehadiran penguatkuasa. "Kesannya bukan di dunia seperti dibuang kerja dan lain-lain, namun membawa sehingga alam akhirat," katanya.