ts IPOH, 30 MEI 2021 - Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah meninggal dunia pada jam 2.45 petang ini. Allahyarham Tan Sri telah disahkan kembali ke rahmatullah disebabkan sakit akibat wabak Covid-19. Allahyarham dan isteri telah disahkan positif Covid-19 lebih seminggu yang lalu dan kemudian Allahyarham mendapat rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Manakala isteri Allahyarham telah pun pulih dan pulang ke rumah selepas itu.

Allahyarham telah menjawat sebagai Mufti Negeri Perak sejak tahun 1985. Allahyarham terkenal dengan keberanian dan ketegasan dalam menyatakan kebenaran khususnya dalam hal ehwal hukum syarak dan perpaduan umat. Allahyarham seorang yang komited dalam kerjaya dan sentiasa menjaga kebajikan para pegawai dan kakitangan beliau di Jabatan Mufti Negeri Perak. Allahyarham ibarat ayahanda kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Sungai Rapat. Jasa dan khidmat Allahyarham kepada Islam dan umat tidak terkira dan sentiasa di dalam ingatan. Didoakan agar Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang beriman dan para solehin.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Print Email