Kaherah, Republik Arab Mesir, 21 April 2025 - Lawatan Kerja Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak ke Republik Arab Mesir bagi tahun 2025 telah bermula dengan lancar dan penuh kesyukuran. Delegasi diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Negeri Perak. Turut serta dalam delegasi ini ialah beberapa Anggota Jawatankuasa Fatwa dan Anggota Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak yang berperanan sebagai panel dalam sesi temuduga bersama pelajar negeri Perak nanti.

Delegasi bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.30 pagi dan transit di Doha sebelum meneruskan perjalanan ke Kaherah, Mesir. Ketibaan rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sekitar jam 4.50 petang waktu tempatan dan telah disambut oleh Pegawai Atase Pendidikan Perak Mesir, En. Mohammed Tasyreef bin Mohamad Tarmizi dan juga wakil dari kedutaan Malaysia Mesir, En Ameer Ikhwan Zaini ( Setiausaha - Hal Ehwal Agama). Para peserta kemudian nya mendaftar masuk di penginapan masing - masing sebelum diberikan masa untuk berehat selepas perjalanan jauh.

Pada sebelah malam, satu sesi makan malam dan taklimat telah diadakan bersama En. Mohammed Tasyreef . Beliau mengalu- alukan kedatangan kepada seluruh delegasi dan menyatakan penghargaan atas kehadiran mereka ke bumi Mesir. Beliau turut memberikan penerangan terperinci mengenai atur cara program sepanjang keberadaan delegasi di Mesir, termasuk jadual peperiksaan, sesi lawatan rasmi dan ilmiah, dan pertemuan bersama di institusi tempatan. Beliau menekankan kepentingan menjaga disiplin, mematuhi peraturan, serta menjaga nama baik negeri Perak dan negara Malaysia sepanjang program berlangsung.

Semoga perjalanan program ini terus dipermudahkan Allah SWT dan membawa manfaat besar buat semua yang terlibat.

Sila layari Facebook Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak untuk maklumat lanjut.


Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Print Email