• Home
  • Yearly News Archive

fiqhSLIM RIVER, 23 NOVEMBER 2018 – Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Hospital Slim River telah mengadakan Program Fiqh Perubatan 2018 semalam. Ia bertujuan memberikan penerangan kepada para pengamal perubatan tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan perubatan.

Penceramah yang dijemput adalah YBhg. Dato’ Dr. Wahinuddin bin Sulaiman, Pensyarah UniKL Royal College of Medicine Perak dan AF. Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Konsultan Syariah Telaga Biru Sdn. Bhd. Kedua-dua penceramah ini merupakan penulis buku Panduan Doktor Muslim yang digunakan dalam program ini.

Para peserta terdiri daripada pengamal perubatan seperti doktor, jururawat dan pembantu jururawat, serta guru-guru tauliah mengajar agama sekitar Slim River. Kira-kira 200 orang peserta hadir ke program ini. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Dr. Mohd Yassim Abd Rahman, Pengarah Hospital Slim River, dan Pegawai Tadbir Agama Teluk Intan, AF. Tuan Haji Mustapa Bin Jaafar.

Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan pembentangan slaid oleh Y.Bhg. Dr. Wahinuddin, diikuti dengan pembentangan bedah buku oleh AF. Ustaz Ahmad Fauwaz. Pada jam 2.30 petang, program bersambung dengan sesi soal jawab. Para peserta bertanyakan pelbagai soalan yang menarik dan dijawab dengan baik oleh kedua-dua panel. Malah peserta bertanya yang terpilih telah mendapat hadiah berupa buku karangan Ustaz Ahmad Fauwaz. Program tamat pada jam 4.30 petang.

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Print Email