qh IPOH, 6 MEI 2021 - World #Quran Hour Peringkat Agensi Agama Islam Perak berjaya menghimpunkan seramai 52 peserta daripada pelbagai jabatan yang terlibat dalam penganjuran julung kali melibatkan agensi agama Islam di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bertemakan 'Bangsa Berbudi dan Penyayang' program World #QuranHour di masjid itu dimulakan dengan bacaan surah bacaan alunan Asmaul Husna diikuti bacaan surah al-Fatihah oleh Mohd Hafiz Sulaiman dari Jabatan Mufti Perak. Bacaan Surah al-Mulk kemudian diperdengarkan secara bergilir-gilir oleh setiap wakil jabatan yang terlibat dengan diselangi bacaan terjemahan. Tadabbur keseluruhan 30 ayat Surah al-Mulk kemudiannya disempurnakan Zamri. Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan menjadi surah pilihan dan tema bagi World #QuranHour tahun ini dalam membina karakter orang berjaya di dunia dan akhirat. Dengan menghayati surah Al-Mulk, adalah diharapkan dapat membina kekuatan kerajaan di dalam diri, keluarga, organisasi dan komuniti dalam negara.

Hadir sama pada program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansur; Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Perak, Mohd Asri Ghazali dan Pengurus Besar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, setiap individu mungkin boleh berperwatakan dan menampilkan diri seperti orang hebat tetapi hakikatnya ALLAH SWT maha mengetahui apa yang ada di dalam diri seseorang. Menurutnya, ALLAH SWT memberi bukti menerusi ayat 14 Surah al-Mulk bahawa Dia yang maha halus urusan pentadbiran dan maha mendalam pengetahuan-Nya. "Sebab itu, kita sebagai yang menjawat di dalam agensi agama ini, bos kita yang paling besar adalah ALLAH SWT, bukan tuan pengarah, bukan Yang Amat Arif bukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), bukan ketua pendakwa tetapi ALLAH SWT. "Ini sangat penting supaya kerja kita berprinsip, khidmat kita nombor satu kepada ALLAH SWT. Kita berlakon, kita bermuka-muka, kita bodek sana sini, ALLAH SWT tahu sebab yang menciptakan kita adalah ALLAH SWT," katanya ketika mentadabbur 30 ayat Surah al-Mulk.

Inisiatif World #QuranHour adalah wadah permulaan memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada daripada segi bacaan, penghayatan dan amalan.

qh qh qh
qh qh qh

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel