SEGARI, 28 APRIL 2017 – Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya menganjurkan Bengkel dan Cerapan Hilal Syaaban 1438H / 2017M. Program yang bertempat di Baitul Hilal ini bermula pada jam 4 petang semalam. Ia bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu falak dan aplikasinya dalam ibadat serta menimbulkan minat di kalangan para pelajar untuk mendalami ilmu falak sekurang-kurangnya pada tahap fardu ain. |
Peserta yang terlibat ialah ahli Kelab Falak bagi sekolah-sekolah menengah agama Negeri Perak antaranya Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah dan Sekolah Raja Dr. Nazrin Shah, Kampung Gajah. Turut hadir sebagai peserta Ahli Kariah Masjid An-Nasriyah, Setiawan dan pelajar daripada Maktab Rendah Sains MARA, Sungkai.
Program bermula dengan sesi Bengkel Cerapan Hilal yang dikendalikan oleh A.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan sesi Cerapan Hilal yang diuruskan oleh semua pegawai dan kakitangan bahagian Falak. Program berakhir selepas solat maghrib dan makan malam sekitar jam 9.00 malam. Semoga program ini mendapat ganjaran kebaikan oleh Allah SWT.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK