muzakarah

IPOH, 26 JANUARI 2016 – Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan bertemakan; ‘Raja; Payung Pelindung Agama’ yang berlangsung pada 24 Januari 2016 (Ahad) hingga 26 Januari 2016 (Isnin) telah berjalan dengan lancar dan jayanya. DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah merasmikan muzakarah tersebut di Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada hari Isnin, 25 Januari 2016.

Muzakarah yang julung kalinya diadakan di bawah pemerintahan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ini diadakan di Amanjaya Convention Centre, Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya, telah disertai oleh kira-kira 150 orang peserta dari pelbagai latar belakang kerjaya dan tempat. Ia bermula pada petang Ahad dengan sesi pendaftaran peserta, seterusnya sesi pembentangan Pra Muzakarah pada sebelah malam yang disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Mat Rofa Bin Ismail dari Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia.
Muzakarah diteruskan pada pagi Isnin dengan Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dihadiri oleh kira-kira 1000 orang. Turut hadir DYMM Raja Permaisuri Perak, DYTM Raja Muda Perak dan DYTM Raja Puan Besar Perak, DYAM Raja DiHilir Perak dan DYAM Raja Puan Muda Perak, YAB Menteri Besar Perak dan isteri, serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak. Majlis perasmian bermula dengan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran oleh AF ustaz Radzi Qamarulhailan, diikuti dengan ucapan aluan SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, dan titah perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Selesai titah perasmian, majlis perasmian bersambung dengan pembentangan kertas kerja 1 oleh Y.Bhg. Professor Emiritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dari Fakulti Sejarah, Universiti Malaya yang bertajuk; ‘Sorotan Kesultanan Melayu Memayungi Agama, Negara dan Rakyat.

Pada sebelah petang diadakan pembentangan kertas kerja 2 oleh Y.Bhg. SS Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohammad, Mufti Negeri Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk; ‘Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah: Teras Kemantapan Berakidah. Muzakarah berhenti rehat selepas sesi soal jawab. Sesi muzakarah seterusnya pada sebelah malam iaitu Bicara Intelek yang disampaikan oleh 2 orang panel iaitu SS Mufti Negeri Kedah Dato’ Paduka Syeikh Baderuddin Bin Hj. Ahmad dan Y.Bhg. Dr. Yusri Bin Mohamad, Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).
Pembentangan kertas kerja 3 diteruskan pada pagi hari Selasa. Ianya disampaikan oleh Y.Bhg. Prof. Madya Dr. Abdul Halim El Muhammady dari Research Centre For Traditional and Contemporary Islam, Bangi, yang membawakan tajuk: ‘Mazhab Syafie Wadah Perpaduan Ummah dan Penyeragaman Amalan Syariah di Malaysia. Muzakarah diikuti dengan Pembentangan Resolusi oleh Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) diwakili oleh Y.Bhg. Prof. Dr. Jamil bin Hashim, dan berakhir dengan Majlis Perasmian Penutup pada tengah hari tersebut. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Drs. Mohd Nizar bin Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Perak.

Keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke Muzakarah.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan Muzakarah.
Penyerahan Resolusi Muzakarah oleh SS Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria kepada YAB Dato’ Drs. Mohd. Nizar Bin Zakaria, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

Para peserta memberi tumpuan ketika sesi pembentangan kertas kerja.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Cetak Emel