IPOH, 23 JULAI 2016 – Seminar Memperkasa Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah Menghadapi Cabaran Ummah telah diadakan dengan jayanya bermula pada jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang bertempat di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Seminar tersebut merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan untuk memberi pencerahan dan penerangan kepada guru-guru agama berkaitan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang tulen serta penerapannya dalam menghadapi cabaran-cabaran aliran pemikiran yang melanda umat. Penceramah jemputan ialah S.F. Ustaz Engku Ahmad Fadzil Bin Engku Ali, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM). |
|
Seminar tersebut bermula dengan tayangan video oleh unit Teknologi Maklumat Jabatan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan ceramah dan sesi soal jawab. Kira-kira 400 orang pesera yang hadir terdiri dari Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) di bawah kendalian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, Guru-guru KAFA dan guru-guru tauliah serta guru-guru dakwah. Seminar tersebut berakhir dengan jamuan makan tengah hari pada jam 2.00 petang. Ustaz Engku mengucapkan terima kasih atas jemputan dan penganjuran ini dan berharap agar program sebegini dapat diadakan lagi. Menurut beliau; “Pemerkasaan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah amat penting sebagai benteng umat Islam dari ancaman luar yang pelbagai”. |
|