IPOH, 22 JUN 2017 – Perhimpunan bulanan Jabatan Mufti Negeri Perak telah berjaya diadakan buat kali ke-5 pada tahun ini. Ianya melibatkan semua pegawai dan kakitangan jabatan seramai 29 orang termasuk ketua jabatan iaitu S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria. Turut terlibat ialah seorang pelajar latihan industri dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).
Perhimpunan kali ini diadakan di Bilik Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) kerana faktor bulan puasa. Seperti biasa perhimpuanan bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan alunan nasyid Asma’ Al-Husna. Bagi memberkati majlis, A.F. Ustaz Ahmad Khairul Nizam telah dijemput bagi memimpin bacaan doa. Ia diikuti dengan Tausiyyah yang disampaikan oleh S.S. Tan Sri Mufti. |
Sempena dengan bulan Ramadan, S.S. Tan Sri Mufti memilih untuk berbicara berkaitan dengan nikmat-nikmat yang Allah telah kurniakan kepada hamba-hambaNya dan menasihatkan semua agar bermuhasabah dengan kekurangan dan kelemahan diri dalam menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat-nikamtNya.
Perhimpunan kali ini merupakan yang terakhir buat Penolong Pegawai Tadbir, Pn. Norizah Binti Mohamad Nordin yang akan bertukar disebabkan kenaikan pangkat. Beliau telah dijemput memberikan ucapan perpisahan dan menerima cenderamata kenangan dari jabatan. Sebelum bersurai, turut diadakan sesi perkenalan dengan pelajar latihan industri serta penyerahan sumbangan Aidilfitri oleh Kelab Kebajikan dan Sukan jabatan kepada semua pegawai dan kakitangan.
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK