tauliah

IPOH, 9 APRIL 2018 – Majlis Anugerah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak bagi tahun 2018 telah berlangsung dengan sangat meriah semalam. Majlis bersifat tahunan ini telah diadakan di Dewan Al-Ghazali, Tingkat 2, Kompleks Islam Darul Ridzuan bermula 8.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Pada kali ini seramai 99 orang telah dijemput untuk menerima watikah Tauliah Mengajar Agama Negeri Perak setelah berjaya dalam peperiksaan bertulis dan temuduga yang telah diadakan pada tahun lalu. Penyampaian watikah tauliah telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Noordin.

Tetamu kenamaan yang turut hadir ke majlis ini ialah YABhg. S.S. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria, Mufti Negeri Perak, YBhg. Dato’ Dr. Amiruddin Bin Muhamed, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, YBhg. S.F. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), serta Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pasangan atau keluarga bagi setiap para penerima watikah.

Sebelum penyampaian watikah tauliah, S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak telah menyampaikan tausiyah kepada semua tetamu khususnya para penerima watikah. Beliau telah menasihatkan agar para guru tauliah berperanan dalam memberi penjelasan kepada masyarakat demi mempertahankan kedudukan agama Islam yang telah diserang dari segenap penjuru oleh musuh-musuh Islam. Majlis diikuti dengan tausiyah oleh YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Bin Mohd Noordin, Yang Dipertua MAIPk. Majlis berakhir sekitar jam 12.00 tengah selepas sesi fotografi bagi para penerima watikah tauliah.

msnms02 msnms03 msnms01


Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, JMNPk

Cetak Emel