• Utama
  • Arkib Berita Tahunan
hilal SEGARI, 6 MEI 2019 – Program Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1440H bersamaan 2019M telah diadakan dengan jayanya semalam. Program ini merupakan program tahunan Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan membuat penetapan tarikh bermula puasa, iaitu pada 1 Ramadan setiap tahun Hijri. Ia diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu, Segari.

Antara tetamu kehormat yang hadir ke majlis ialah YB Dr. Aziz Bin Bari, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak mewakili YAB Menteri Besar Perak, Tuan Yahaya Bin Mat Nor, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang. Y.A.A. Dato’ Haji Asa’ari Bin Haji Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D.H. Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato’ Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Orang-orang Besar Jajahan Negeri Perak serta Ketua-ketua Jabatan.

Program bermula dengan bacaan tahlil pada jam 5.25 petang. Bacaan tahlil dipimpin oleh S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak. Ia diikuti dengan ceramah ambang Ramadan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz Bin Abdul Khir, penceramah jemputan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Selepas itu, taklimat kedudukan Hilal Ramadhan telah disampaikan oleh S.F. Ustaz Mohamad Faizal Bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Program diteruskan lagi dengan aktiviti rukyah hilal iaitu melihat anak bulan pada jam 6.50 petang. Kira-kira 700 orang yang hadir telah mengambil peluang melihat anak bulan dengan menggunakan teleskop yang disediakan di persisiran pantai.

Pada jam 7.50 malam S.S. Tuan Haji Zamri Bin Hashim telah mengumumkan bahawa anak bulan atau hilal Ramadhan tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Bharu. Walau bagaimanapun Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Ramadan adalah pada hari Isnin, 6 Mei 2019. Oleh itu, solat sunat terawikh telah dilaksanakan di ruangan solat yang disediakan. Program diakhiri dengan minum malam selepas solat sunat terawikh.

 

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel