IPOH - Kerajaan negeri Perak pernah mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara seorang individu dikenali sebagai Raja Bomoh di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 pada tahun 2015. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 telah memutuskan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan individu itu berlawanan dengan hukum syarak. |
Beliau sehubungan itu berkata, umat Islam di negeri ini yang mengingkari fatwa berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang dikuatkuasakan di Perak. "Fatwa yang diwartakan menyebut sebarang upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Raja Bomoh ini menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram. "Oleh demikian, umat Islam dilarang menyebar, mempromosikan fahaman dan ajaran, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan ajaran tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan sama ada secara langsung atau tidak langsung," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Beliau berkata, orang Islam di negeri ini juga dilarang menerbit, memuat naik atau memuat turun apa-apa terbitan berbentuk risalah, media sosial, rakaman audio atau filem berkaitan aktiviti individu terbabit. "Mana-mana orang Islam atau kumpulan yang menjadi ahli atau pengikutnya juga boleh dikenakan tindakan di bawah enakmen tersebut. "Umat Islam perlu menjauhi sebarang upacara khurafat demi menjaga akidah dan kemuliaan Islam," katanya.
Nama Raja Bomoh itu kembali disebut apabila videonya melakukan ritual kononnya untuk menolak musibah banjir di Dataran JPS, Teluk Intan tular di media sosial pada Rabu. Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkannya bersama seorang wanita dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran. Susulan video tular itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
Di bawah seksyen itu, mereka yang mempersenda akan amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.