executive

KUALA KANGSAR, 31 MAC 2016 – Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar menjadi venue bagi Program Executive Talk Jabatan Mufti Negeri Perak kali pertama tahun ini. Program Executive Talk ini merupakan program anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak yang diadakan setiap tahun di lokasi-lokasi yang berbeza dalam Negeri Perak.

Pada edisi kali ini, penganjur telah menjemput A.F. Ustaz Syed Mohd Bakri Bin Syed Ishak dari Program Pencetus Ummah (P.U.) 2015 bagi menyampaikan ceramah 1 yang bertajuk; ‘Bangkitlah Wahai Dai’, Masyarakat Memerlukan Anda’. Selesai ceramah 1, program diikuti dengan ceramah 2 oleh S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria, mufti negeri Perak. Pada kali ini beliau menyampaikan ceramah bertajuk; ‘Hala Tuju Dakwah Masa Kini, Di Manakah Anda?’.
Bercakap mengenai dakwah masa kini, Mufti Negeri Perak, S.S. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria menegaskan; “apa yang penting ialah perpaduan antara umat Islam di negara kita tidak kira sama ada berbeza politik atau pandangan”.

Kira-kira 500 orang peserta yang dijemput telah hadir bagi menjayakan program ini. Antara peserta yang hadir ialah seramai 300 orang Guru Pendidikan Islam (GPI), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar selain guru-guru KAFA, guru-guru tauliah, penghulu-penghulu daerah dan mukim, serta imam-imam masjid sekitar daerah Kuala Kangsar. Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Tuan Haji Mior Muhammad Jamil Bin Mior Zakaria dan Pegawai Tadbir Agama Kuala Kangsar, A.F. Ustaz Tuan Haji Burhanuddin Bin Md Dali.
Setelah selesai kedua-dua ceramah, sesi soal jawab berlangsung. Beberapa soalan telah dikemukakan oleh para peserta dan dijawab oleh S.S. Mufti Negeri Perak dan Timbalan Mufti Negeri Perak, Tuan Haji Zamri Bin Hashim. Program berakhir dengan jamuan makan pada jam 1.00 tengah hari.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Cetak Emel