SEGARI, 8 APRIL 2016 – Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, telah menerima kunjungan pelajar Sek. Men. Islam Tahfiz Al-Amin, Chenderong Balai, Teluk Intan dan Sekolah Maahad Al-Yahyawiyah, Padang Rengas, Kuala Kangsar untuk bersama-sama melaksanakan sesi cerapan hilal Rejab 1437H di Baitulhilal, Pantai Pasir Panjang, Segari.
Program bermula dengan sesi taklimat berkenaan Penentuan Awal Bulan Hijri yang telah disampaikan oleh A.F Ustaz Mohamad Faizal iaitu Pegawai di Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak. Sesi taklimat ini telah memberi ruang dan peluang kepada para pelajar dan guru pengiring mengetahui dengan lebih terperinci tentang kaedah atau prosedur dalam menentukan awal bulan hijri. Sesi soal-jawab juga telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Malah, para pelajar juga diberi peluang untuk menggunakan peralatan khas semasa sesi melihat anak bulan berlangsung.
"Kami telah membawa beberapa peralatan seperti Teleskop Orion, Kamera, NEX-3N, Teleskop Celestron C90, Teodolite Topcon dan Total station Topcon. Selain itu, kita telah mendapat kerjasama seorang pegawai dari Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN) iaitu En. Mahruzzaman b Misran yang turut membawa beberapa peralatan untuk sesi cerapan hilal pada kali ini," ujar Ustazah Fatimah bt Ayoub dari Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Sesi cerapan bermula pada jam 7.00 petang dengan cuaca yang agak cerah dan sedikit berawan. Namun, pada saat matahari mula terbenam, awan tebal telah melindungi matahari dari pandangan. Sungguhpun begitu, para pelajar dan guru begitu teruja kerana berpeluang menggunakan peralatan-peralatan yang telah disediakan. Semua yang hadir telah berpeluang melihat anak bulan Rejab yang mula kelihatan pada jam 7.42 malam pada ketinggian bulan 8° 28’ 13’’ dan azimuth 278° 47’ 26’’ dengan menggunakan Teleskop Orion 120mm dan Teleskop Celestron C90.
Selepas solat maghrib, program diteruskan dengan sesi cerapan langit dengan menggunakan teleskop. Para pelajar dan guru sekali lagi berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Allah ketika planet Musytari (Jupiter) kelihatan di langit sebelah Timur. "Kami amat teruja dan amat berharap agar aktiviti yang sebegini akan selalu diadakan bagi mempromosikan ilmu falak di kalangan masyarakat," kata salah seorang guru pengiring.
Aktiviti yang telah dihadiri dengan lebih kurang 50 orang pelajar dan guru pengiring ini berakhir pada jam 10.00 malam dan mereka amat berpuas hati dengan sesi cerapan hilal ini.