• Utama
  • Arkib Berita Tahunan
SEGARI, 5 JUN 2016 – Majlis Rukyah Hilal Ramadhan 1437H bersamaan 2016 masihi anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan dengan meriah. Program yang diadakan di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang ini merupakan program tahunan jabatan bagi memenuhi tuntutan agama yang menggariskan ukuran permulaan ibadah puasa Ramadhan dengan melihat anak bulan Ramadhan.

Lebih kurang 500 orang tetamu telah menghadiri majlis kali ini. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YAA Tuan Asa’ari Bin Hj. Mohd Yazid, Ketua Hakim Syarie dan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol.(B) Dato’ Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YDH Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal Bin Hj. Ahmad, Orang Besar Jajahan Mu’allim, Slim River, YDH Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Encik Meor Roslan Bin Dato’ Seri Hj. Meor Ahmad Rashidi, Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Gerik, selain SS Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani Bin Hj. Zakaria selaku Pengerusi Jawatankuasa Rukyah Hilal Ramadhan 1437H.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil yang dipimpin oleh SS Tuan Hj. Zamri Bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan Ceramah Khas Ramadhan. Majlis kali ini memilih SF Ustaz As’ad Bin Awang sebagai penceramah jemputan. Beliau yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kini masih berkhidmat sebagai Pensyarah di Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh. Selesai ceramah, agenda yang seterusnya ialah Taklimat Kedudukan Anak Bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak iaitu AF Ustaz Mohd. Faizal Bin Jani, sebelum acara melihat anak bulan di tapak rukyah yang disediakan pada jam 7.00 petang.

Setelah Tan Sri Mufti Perak melakukan rukyah, makluman kenampakan anak bulan dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sekitar jam 7.45 malam melalui telefon bergerak yang telah disediakan oleh Telekom Malaysia (TM). Pada tahun ini anak bulan Ramadhan tidak kelihatan di sini. Kemudian Tan Sri Mufti mengumumkan bahawa anak bulan tidak kelihatan melalui pembesar suara yang disediakan. Solat fardhu Maghrib secara berjemaah dilaksanakan bersama-sama dengan para tetamu, diikuti dengan jamuan makan malam.

Solat sunat Tarawikh juga dilaksanakan selesai solat Isyak apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan di televisyen bahawa puasa bermula pada esok hari. Solat Tarawikh telah diadakan sebanyak 20 rakaat sebagai menurut titah DYMM Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah menyarankan agar semua masjid dan surau di negeri Perak melaksanakan ibadah Tarawikh 20 rakaat. Imam dan bilal telah dipilih dan disediakan oleh Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Manjung.

Program berakhir dengan minum malam yang telah disediakan oleh penganjur selepas solat sunat Tarawikh. Tan Sri Mufti Perak sangat berpuas hati dengan kehadiran para tetamu dan kelancaran majlis ini dan berharap agar prestasi ini dapat dikekalkan malah ditambahbaik pada masa akan datang.

rukyah

rukyah

rukyah

rukyah
Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK.

Cetak Emel