• Utama
  • Arkib Berita Tahunan
solidariti rohingya

IPOH, 3 DISEMBER 2016 – Program Solidariti Rohingya & Kepedulian Ummah telah berjalan dengan lancar di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi semalam. Program anjuran bersama Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Perak, dan Jawatankuasa Masjid Sultan Azlan Shah ini bertujuan memberi kesedaran dan membuka mata seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Negeri Perak tentang penderitaan yang dialami oleh saudara Islam etnik Rohingya di Myanmar.

Penceramah yang dijemput ialah Tuan Haji Mohd Azmi Bin Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Beliau merupakan seorang aktivis yang sangat berpengalaman dan telah banyak menyertai misi-misi kemanusiaan di seluruh dunia termasuk Palestin dan Myanmar. Dalam ceramahnya semalam, beliau telah menjelaskan asal usul etnik Rohingya dan Kesultanan Islam Arakan menurut sejarah, serta mendedahkan kezaliman yang berlaku terhadap mereka oleh kerajaan Myanmar.

Program ini dihadiri oleh kira-kira 300 orang termasuk dari etnik Rohingya yang telah berada di negara ini. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Timbalan Mufti, Sahibus Samahah Tuan Haji Zamri Bin Hashim serta imam utama Masjid Sultan Azlan Shah, ustaz Syed Muzaffar Bin Syed Azlan selaku tuan rumah.

Selesai ceramah, tabung Solidariti Rohingya telah dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIPk), Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin dan kutipan telah dibuat oleh petugas-petugas. Setakat ini kutipan yang terkumpul ialah lebih kurang RM7000.

 

 

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Cetak Emel