Halaman 1 dari 3
Sejarah Awal
Negeri Perak merupakan sebuah negeri yang diberi gelaran oleh Kerajaan Penjajah British sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau dalam bahasa Inggerisnya “Federated Malay State”. Ianya telah ditubuhkan dalam tahun 1896. Semenjak tahun 1948, Perlembagaan Negeri Perak telah mengiktiraf dengan rasmi bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak adalah merupakan Ketua Agama dan Adat Melayu dalam negeri Perak dan agama rasmi bagi negeri tersebut pada masa tersebut adalah agama Islam. Baginda Sultan juga berkuasa penuh dalam segala perkara yang berkaitan dengan pentadbiran.
Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan
Terdapat di dalam beberapa catatan sejarah yang mengatakan bahawa, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan atau dalam bahasa Inggerisnya “Ninety Nine Laws Of Perak” yang dikarang oleh Penghulu Teja Tuan Syed Yunus b. Syed Alwi adalah merupakan undang-undang yang tertua sekali dalam negeri Perak. Ianya adalah berkisar tentang Hal Ehwal Agama. Tarikh yang tepat mengenai penguatkuasaan undang-undang ini tidak dapat diketahui, cuma penguatkuasaan undang-undang ini telah dilaksanakan sehingga ke tahun 1900.
Selepas itu, undang-undang ini telah digantikan dengan suatu undang-undang lain yang dikenali sebagai Undang-undang Pentadbiran Perkahwinan Orang-orang Islam Bab 197 FMS. Oleh yang demikian, didirikan sebuah bangunan sebagai pejabatnya yang bertempat di kawasan Pejabat Qadhi Wilayah Kuala Kangsar yang dinamakan sebagai “Balai Syarak”. Di pejabat tersebut ditempatkan seorang Qadhi Besar yang mengetuai beberapa orang Qadhi Wilayah. Wilayah Qadhi pada masa tersebut ialah Tanjong Malim, Tapah, Teluk Intan, Batu Gajah, Ipoh, Setiawan, Taiping, Simpang Lima, Kuala Kangsar, Selama, Lenggong dan Parit. Di kalangan orang-orang Melayu pada masa tersebut, perkataan Qadhi Besar kurang diketahui umum kerana panggilan “Chief Qadhi” lebih terkenal.
Walaubagaimanapun, menurut sejarah terdahulu, sesungguhnya Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan ini telah wujud semenjak pemerintahan Al-Marhum Sultan Idris Mursidil A’azam Shah dari tahun 1887 sehingga tahun 1916. baginda jugalah yang dipercayai telah melantik Tuan Haji Wan Muhammad b. Wan Hussin sebagai guru agama baginda, malah ada yang menggelarkan beliau sebagai Mufti. Boleh dikatakan bahawa Tuan Haji Wan Muhammad b. Wam Hussin ini merupakan Mufti Perak yang pertama secara tidak rasmi atau tidak dirasmikan. Beliau menjalankan tugasnya sehingga ke zaman pemerintahan anakanda baginda iaitu Al-Marhum Sultan Alang Iskandar pada tahun 1918 sehingga 1938.
Perjumpaan `Alim Ulama’ Perak
Pada pertengahan tahun 1947, ketika kehangatan tanahair kita dengan Perjuangan Nasionalis Melayu menentang Malayan Union masih hangat diperkatakan, muncullah beberapa pertubuhan, persatuan dan sebagainya. Di antaranya yang paling terkenal di Negeri Perak ini ialah Persatuan Melayu Perak yang kemudiannya diikuti dengan satu perjumpaan `Alim Ulama’ secara besar-besaran yang bertempat di Madrasah Iskandariah Kuala Kangsar. Perjumpaan ini telah dilangsungkan pada 10 Ogos 1947 yang mana ianya bertujuan untuk menyatukan seluruh tenaga dan kekuatan `Alim Ulama’ dalam negeri tersebut.
Dalam Hal Ehwal Agama, perjumpaan ini sangat penting kerana inilah buat pertama kalinya satu idea atau pandangan yang bernas telah diutarakan terhadap pihak kerajaan. Antara pandangan tersebut ialah menggesa pihak kerajaan agar dapat menubuhkan sebuah jabatan bagi mentadbir dan mengawal Hal Ehwal Agama Islam khasnya di dalam negeri Perak dan amnya di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
Di antara tokoh yang patut diberi penghormatan dan dikenang di dalam perjumpaan tersebut ialah Encik Ali Zaini yang mana sekarang ini dikenali sebagai Dato’ Ali Zaini yang telah menjawat jawatan sebagai Speaker Negeri Perak. Pada perjumpaan tersebut beliau merupakan peserta yang paling muda dan paling berkebolehan dalam mengeluarkan pendapat-pendapat yang bernas.