Gerhana Bulan Penumbra adalah gerhana yang boleh dilihat dengan mata kasar. Namun ia perlu dilihat dengan teliti kerana kesan gerhana penumbra adalah kurang jelas berbanding gerhana bulan separa atau penuh. Ini kerana bulan hanya ditutupi oleh bayang penumbra iaitu bayang cerah bumi yang akan jatuh pada permukaan bulan. Bagi melihat gerhana ini, kita boleh merujuk kedudukan bulan yang berada pada fasa bulan penuh tinggi di langit timur. Kemudian perlahan-lahan permukaan bulan disebelah timur akan menjadi sedikit malap. Sehingga kemuncak gerhana pada jam 1.22 a.m ( 01.22), ketika itu cahaya bulan akan berkurang pada kedudukan maksimum. Selepas itu bulan akan semakin cerah sehinggalah tamat gerhana. Solat sunat khusuf (gerhana bulan) TIDAK DIHARUSKAN kerana gerhana bulan kali ini tidak jelas kerana hanya berlaku pada fasa penumbra. Namun Jabatan Mufti Negeri Perak menyarankan agar umat Islam dapat menghayati Gerhana Bulan Penumbra ini sebagai salah satu dari tandatanda kebesaran Allah S.W.T dalam keadaan umat Islam masih lagi berada dalam bulan Syawal.