MALAM NISFU SYAABAN DAN PENYATUAN UMMAH

Bulan Syaaban adalah satu bulan yang dipenuhi dengan beberapa kelebihan seperti yang dinyatakan di dalam beberapa hadtih sahih. Amalan kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT di dalam bulan Syaaban. Ini berdasarkan hadith Rasululillah SAW . Usamah bin Zaid bertanya kepada Rasulullah SAW : Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban. Dijawab oleh Nabi SAW : Bulan Syyaban Itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadhan. Dia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekelian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalan ku di dalam keadaan aku sedang berpuasa ( Musnad Ahmad dan Sunan al Nasa’i)

Saidatina Aisyah menceritakan bahawa bahawa Rasulullah melengkapkan puasa penuh sebulan di dalam bulan Ramadhan dan sangat banyak sekali berpuasa di dalam bulan Syaaban. (HR Imam al Bukhari dan Muslim) Bulan Syaaban yang penuh keistimewaan itu , terlebih istimewa dengan adanya satu malam yang dikhaskan oleh Allah SWT dengan tawaran pengampunan daripada Allah SWT . Malam tersebut dikenali sebagai malam ke separuh bulan Syaaban atau disebut malam nisfu Syaaban. Daripada Mu’az bin Jabal r.a , daripada Nabi SAW bersabda : Allah menjenguk hamba-hambanya pada malam nisfu Syaaban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang masih bersengketa dan bertelagah. (HR Ibnu Hibban dan al Tobroni)

Seorang sahabat Nabi SAW bernama ‘Ulbah bin Zaid bin Harithah , tatkala tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan kerana terlalu miskin tatkala Nabi SAW menggalakkan para sahabat menginfaqkan harta semampu yang ada, beliau mengatakan : aku hanya mampu bersedekah dengan maruahku bermaksud beliau memaafkan semua kesalahan orang lain terhadapnya dan menggugurkan haknya terhadap orang itu. Rasulullah SAW bersabda : sedeqah kamu telah diterima (di dalam kitab al Isobah) Maka apabila ditanya , apakah amalan terbaik pada malam itu? Jawapannya ialah saling maaf-memaafkan, merapatkan saf sesama Islam dan mencari titik-titik perpaduan. Umat Islam di negara ini wajib merebut tawaran pengampunan Allah SWT itu dengan mengukuhkan perpaduan sesama Islam dan mengusahakan perdamaian dan penyatuan sesama muslimin. Inilah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersegera menyelesaikan masalah umat Islam sehingga perpaduan dapat dikekalkan. Sahl bi Said r.a menceritakan bahawa ahli Quba’ berselisih faham sehingga saling melemparkan batu sesama mereka. Lantas secara pantas Nabi SAW bersabda : Pergilah kamu bersama-sama kami untuk mendamaikan mereka. (HR al Bukhari)

Tidak salah menjalin hubungan dengan orang bukan Islam. Penilaian yang sepatutnya jelas di dalam minda umat Islam ialah , jika orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang yang menolak Allah sebagai Tuhan, tidak mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai rasul akhir zaman , apakah alasan untuk tidak boleh berbaik-baik dengan rakan-rakannya yang sama-sama beriman dengan Allah SWT, sama-sama mengakui Rasulullah SAW sebagai utusan Allah bahkan solat mengadap kiblat yang satu. Mengusahakan penyatuan Umat Islam adalah suruhan Allah di dalam al Quran. Firman Allah SWT : Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (QS al Nisa’ :114)

Perpaduan sesama Islam itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita. Rahmatan lil Alamin dijelmakan di dalam penyatuan sesama Islam. Mereka yang menolak perpaduan ini sebenarnya telah menolak rahmatan lil alamin sepertimana yang sebenar! Firman Allah SWT dalam surah al Hujurat ayat 10 yang diakhiri dengan perkatan “rahmah” patut dihayati oleh umat Islam. “Hanya sanya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan persaudaraan antara saudara kamu, bertaqwalah mudah-mudahan kamu dirahmati” (QS al Hujurat :10)

Sahibus Samahah Dato' Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

Print Email

MELABEL ISLAM SEBAGAI ENDERMIK SATU ISTIHZA’ (PENGHINAAN)

Di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud endemik bermaksud penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu. Melabelkan Islam sebagai endermik adalah satu bentuk penghinaan kepada Islam dan merupakan tuduhan berat terhadap kemuliaan Islam, bahkan menggambarkan kejahilan dan keegoan terhadap arahan Allah.

Umat Islam yang sensitif dengan perkembangan Islam amat terkejut dan marah dengan dakwaan seorang aktivis NGO wanita yang kononnya  memperjuangkan kebebasan mendakwa, Islam telah menjadi satu endemik yang memberi kesan kepada hampir semua aspek pentadbiran, perundangan dan badan eksekutif negara bahkan ia telah menyebabkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan sekarang ataupun dalam masa terdekat sukar untuk dilakukan.

Sepatutnya umat Islam merasa bangga dan mulia dengan Islam kerana lipatan sejarah kegemilangan umat telah membuktikan Islam telah menjadikan orang arab menjadi umat yang mulia apabila mengambil Islam sebagai rujukan dan cara mengatur kehidupan peribadi, masyarakat dan bernegara.

Khalifah Islam yang kedua Umar bin Khattab (r.a) menegaskan bahwa kemulian kita terletak pada Islam yang ada pada diri kita. Diriwayatkan oleh al-Hakim beliau berkata: "Telah keluar ‘Umar bin al-Khattab (r.a) ke Syam dan bersama kami Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah, maka kami sampai pada aliran sungai sedangkan 'Umar di atas unta, lalu beliau turun dan menanggalkan kasutnya, lalu mengalungkan kedua-duanya pada lehernya, kemudian beliau mengambil tali kendali untanya sambil mengharungi sungai tersebut. Maka berkatalah Abu 'Ubaidah Wahai Amirul Mu'minin! Tuan akan disambut oleh tentera dan pembesar Syam sedangkan Tuan berkeadaan (penampilan) begini Maka berkata 'Umar, "Sesungguhnya kami adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam, maka tidaklah kami mencari kemuliaan dengan yang selainnya". Al Quran terlebih awal menegaskan bahawa mencari kemuliaan selain dengan Islam adalah ciri – ciri kemunafikan seperti yang difirmankan Allah.

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya) (QS An-Nisa’: 138- 139).

Al Quran juga menjelaskan wajib semua umat Islam mematuhi hukum-hakam Islam di dalam segenap kehidupan seperti firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (QS Al-Baqarah: 208),” Antara contoh fenomena biasa berlaku di dalam masyarakat yang menggambarkan rasa tidak berkeyakinan dan tidak merasa mulia dengan Islam ialah ia tetap memilih sistem-sistem lain selain daripada yang diizinkan oleh Allah SWT.

Walaupun sistem perbankan Islam dan sistem takaful telah wujud dan telah menjadi salah satu cara kehidupan di Malaysia, tetapi mereka yang tidak merasa izzah (mulia) dengan Islam tetap memilih sistem perbankan konvensional dan sistem insuran konvensional tetap menjadi pilihan mereka.

Begitu juga di dalam sistem pendidikan aliran perdana di Malaysia, yang telah berjalan sekian lama di mana Pendidikan Islam telah diajar di sekolah untuk membentuk sahsiah pelajar sesuai dengan ajaran Islam namun barangkali tidak merasa mulia dengan pendidikan Islam maka anak-anak muslim boleh memilih untuk mengikuti kelas moral berbanding dengan kelas-kelas yang mengajar pendidikan Islam.

Jika berlaku kelemahan di dalam sistem berkenaan , langkah penambahbaikan perlu diusahakan bukannya membiarkan orang Islam menganggap sistem Islam hanya sebagai alternatif kepada sistem yang ada kerana umat Islam secara mandatori, wajib melaksana sistem-sistem yang telah diputuskan oleh Allah dan RasulNya , seperti di dalam firman Allah SWT : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (QS al Ahzab:36)

Print Email