1) Sesetengah orang menggunakan surah al-Maidah: 44 sebagai hujah untuk mengkafirkan golongan yang lain. Mereka berhujah, “Negara kita Malaysia tidak menggunakan hukum yang diturunkan oleh Allah, jadi pemerintah Negara dan pengikutnya menjadi kafir.” Apakah betul pernyataan ini?
Hukum Hudud merupakan salah satu dari hukum Allah yang bersumberkan dalil Qat‘iyy dari al-Quran dan Hadis. Manakala hujah yang dikemukakan pula tidak selaras dengan realiti semasa. Hakikatnya, Malaysia telah lama mengamalkan hukum Allah iaitu sejak sebelum kemerdekaan lagi. Mahkamah Syariah yang dahulunya dikenali sebagai Mahkamah Qadhi telah lama ditubuhkan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam berkenaan Hukum Syarak. Perlu difahami bahawa hukum Allah itu mempunyai takrifan yang luas yang meliputi hal ehwal ibadat, muamalat, munakahat, jinayat dan sebagainya. Namun, perlaksanaan hukum Hudud adalah tertakluk kepada pihak pemerintah. Justeru, pemerintah berhak untuk melaksanakan hukum hudud dengan melihat keadaan dan suasana yang mengizinkan serta aman dari anasir fitnah.