MELABEL ISLAM SEBAGAI ENDERMIK SATU ISTIHZA’ (PENGHINAAN)
Di dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud endemik bermaksud penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu. Melabelkan Islam sebagai endermik adalah satu bentuk penghinaan kepada Islam dan merupakan tuduhan berat terhadap kemuliaan Islam, bahkan menggambarkan kejahilan dan keegoan terhadap arahan Allah.
Umat Islam yang sensitif dengan perkembangan Islam amat terkejut dan marah dengan dakwaan seorang aktivis NGO wanita yang kononnya memperjuangkan kebebasan mendakwa, Islam telah menjadi satu endemik yang memberi kesan kepada hampir semua aspek pentadbiran, perundangan dan badan eksekutif negara bahkan ia telah menyebabkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan sekarang ataupun dalam masa terdekat sukar untuk dilakukan.
Sepatutnya umat Islam merasa bangga dan mulia dengan Islam kerana lipatan sejarah kegemilangan umat telah membuktikan Islam telah menjadikan orang arab menjadi umat yang mulia apabila mengambil Islam sebagai rujukan dan cara mengatur kehidupan peribadi, masyarakat dan bernegara.
Khalifah Islam yang kedua Umar bin Khattab (r.a) menegaskan bahwa kemulian kita terletak pada Islam yang ada pada diri kita. Diriwayatkan oleh al-Hakim beliau berkata: "Telah keluar ‘Umar bin al-Khattab (r.a) ke Syam dan bersama kami Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah, maka kami sampai pada aliran sungai sedangkan 'Umar di atas unta, lalu beliau turun dan menanggalkan kasutnya, lalu mengalungkan kedua-duanya pada lehernya, kemudian beliau mengambil tali kendali untanya sambil mengharungi sungai tersebut. Maka berkatalah Abu 'Ubaidah Wahai Amirul Mu'minin! Tuan akan disambut oleh tentera dan pembesar Syam sedangkan Tuan berkeadaan (penampilan) begini Maka berkata 'Umar, "Sesungguhnya kami adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam, maka tidaklah kami mencari kemuliaan dengan yang selainnya". Al Quran terlebih awal menegaskan bahawa mencari kemuliaan selain dengan Islam adalah ciri – ciri kemunafikan seperti yang difirmankan Allah.
“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya) (QS An-Nisa’: 138- 139).
Al Quran juga menjelaskan wajib semua umat Islam mematuhi hukum-hakam Islam di dalam segenap kehidupan seperti firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (QS Al-Baqarah: 208),” Antara contoh fenomena biasa berlaku di dalam masyarakat yang menggambarkan rasa tidak berkeyakinan dan tidak merasa mulia dengan Islam ialah ia tetap memilih sistem-sistem lain selain daripada yang diizinkan oleh Allah SWT.
Walaupun sistem perbankan Islam dan sistem takaful telah wujud dan telah menjadi salah satu cara kehidupan di Malaysia, tetapi mereka yang tidak merasa izzah (mulia) dengan Islam tetap memilih sistem perbankan konvensional dan sistem insuran konvensional tetap menjadi pilihan mereka.
Begitu juga di dalam sistem pendidikan aliran perdana di Malaysia, yang telah berjalan sekian lama di mana Pendidikan Islam telah diajar di sekolah untuk membentuk sahsiah pelajar sesuai dengan ajaran Islam namun barangkali tidak merasa mulia dengan pendidikan Islam maka anak-anak muslim boleh memilih untuk mengikuti kelas moral berbanding dengan kelas-kelas yang mengajar pendidikan Islam.
Jika berlaku kelemahan di dalam sistem berkenaan , langkah penambahbaikan perlu diusahakan bukannya membiarkan orang Islam menganggap sistem Islam hanya sebagai alternatif kepada sistem yang ada kerana umat Islam secara mandatori, wajib melaksana sistem-sistem yang telah diputuskan oleh Allah dan RasulNya , seperti di dalam firman Allah SWT : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (QS al Ahzab:36)