• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Pengenalan kepada Kecerdasan Buatan (AI)

1 IPOH, 13 JULAI 2023: Kursus Pengenalan kepada Kecerdasan Buatan (AI) telah berlangsung di Perak Digital Hub, Meru, Ipoh di mana ianya telah disertai oleh semua pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak. Program ini telah dikendalikan oleh Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak. Prof. Mohamed Imran Bin Mohamed Ariff, Pensyarah, UiTM Perak Branch, Kampus Tapah telah dijemput sebagai penceramah dan pembimbing bagi program tersebut. Program tersebut bagi tujuan memberi pendedahan kepada para pegawai dan kakitangan Jabatan ini tentang kaedah Kecerdasan Buatan (AI).
Program bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang. Di antara topik-topik yang telah diperjelaskan oleh penceramah adalah seperti Teknologi dan Teknik AI, Aplikasi AI dalam sektor kerajaan, AI dalam pentadbiran Islam dan trend dan peluang masa depan AI. Semoga program seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh jabatan ini dalam meningkatkan tadbir urus dan proses membuat keputusan serta dapat meneroka peluang dan cabaran AI dalam sistem pentadbiran khususnya.
1 2 3

Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita Keratan Akhbar: COVID-19 'signal' dari Allah - Timbalan Mufti Perak

1 IPOH: Tindakan individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 boleh disifatkan sebagai perbuatan mungkar dan maksiat.Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata ia boleh menjadi sebab melambatkan proses pemulihan dan penyelesaian keluar disebabkan melanggar ketetapan Allah SWT. "Justeru, integriti perlu diterapkan dalam diri setiap individu menurut kaedah fiqh 'la darar wala dirar' yang menekankan keperluan menghilang dan menghapuskan semua kemudaratan diperakui syarak. "Ia bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran Allah SWT akan 'memudarat' urusan seseorang yang memberi mudarat dalam urusan orang yang lain.

"Ia membawa erti kecuaian mematuhi integriti kendiri akan menimbulkan mudarat berangkai kepada banyak pihak," katanya. Beliau berkata dalam Seminar Kelestarian Integriti bertemakan 'Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Berintegritikah Kita?' disiarkan secara langsung di Facebook Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak, hari ini. Turut menjadi panel seminar itu adalah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said; dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Mohd Zamri Md Ali. Zamri berkata, sesuatu wabak yang menimpa manusia adalah satu bentuk balasan atau azab dari Allah SWT yang pernah memusnahkan umat terdahulu berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid. "Banyak yang kita culas, justeru Allah SWT hantar 'signal' (isyarat) tertentu. Wabak akan datang pada suatu ketika dan akan pergi selepas suatu ketika dan barangkali ini 'signal' besar dari Allah SWT. "Konsep integriti atau amanah sebenarnya lebih halus di sisi Islam kerana kesemua perbuatan ada pencatat kiri dan kanan, walaupun tanpa kehadiran penguatkuasa. "Kesannya bukan di dunia seperti dibuang kerja dan lain-lain, namun membawa sehingga alam akhirat," katanya.

Sumber daripada akhbar Berita Harian- Jun 29, 2021 @ 2:09pm seperti di pautan berikut:-
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833506/covid-19-signal-dari-allah-timbalan-mufti-perak

Perhimpunan Bulanan Bilangan 2/2020 dan program KKS Go Green

go SEGARI, 21 Julai - Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengadakan Perhimpunan Bulanan bagi Bilangan 2/2020 dengan sedikit kelainan daripada biasa apabila menganjurkan majlis di Kompleks Balai Cerap Baitul Hilal, Segari.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Nor Hafizi dan diteruskan lagi dengan ucapan dan amanat dari Timbalan Mufti Negeri Perak. Pada majlis perhimpunan bulanan pada kali ini turut diadakan dengan sambutan majlis harijadi warga kerja yang lahir pada bulan Julai dan majlis tahlil ringkas yang diketuai oleh Timbalan Mufti sendiri.

Setelah selesai majlis perhimpunan bulanan tersebut, aktiviti diteruskan lagi dengan program KKS Go Green anjuran Kelab Kebajikan Dan Sukan Jabatan Mufti Perak. Pogram penanaman pokok ini disertai semua warga kerja Jabatan Mufti Negeri Perak. Encik Abdul Hadi, Encik Mohammad Khairul dan Puan Fatimah masing-masing berbesar hati telah menyumbangkan sebanyak lebih kurang 80 anak pokok dan benih yang terdiri daripada pelbagai jenis pokok . Kerja-kerja membuat lubang tanaman dan penanaman dilaksanakan sepenuhnya oleh semua yang hadir. Program ini bertujuan memupuk kesedaran khususnya kepada para warga kerja JMNPK dalam menyemai semangat cintakan alam sekitar disamping menghijaukan kawasan kompleks.

go1 go2 go3

Sumber: Bahagian Pentadbiran, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Seminar Dan Tafaquh Falak Negeri Perak

n9 KUALA KANGSAR - 24 & 25 Julai 2019 (Rabu – Khamis). Seminar Dan Tafaquh Falak Negeri Perak telah diadakan di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Program seminar ini juga adalah anjuran bersama Kolej Komuniti Chenderoh, Jabatan Mufti Negeri Perak, dan Masjid Raja Permaisuri Bainun, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar

Majlis Perasmian telah dirasmikan oleh Tan Sri Dato’ Dr. Nordin bin Kardi, Naib Canselor USAS pada 24 Julai 2019 pada jam 9.30 pagi. Program seterusnya adalah seminar falak yang bermula pada 10.30 pagi. Beberapa sesi pembentangan telah dibentangkan oleh jemputan-jemputan seperti S.F. Dr. Haji Mohd Fahmi bin Abdul Khir, AJK Falak Negeri Perak yang membentangkan tajuk ‘Menghayati Alam Semesta Menerusi Keagungan Al-Quran’, seterusnya pembentangan daripada Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz, Panel Pakar Falak JAKIM, dengan tajuk ‘Merungkai Isu-isu Viral Falak : Antara Fakta dan Auta’ dan pembentang terakhir adalah S.F. Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak, Panel Pakar Falak JAKIM, yang membawa tajuk ‘Menyelusuri Kegemilangan Ilmu Falak Dalam Sejarah Islam.

Selesai jamuan makan tengahari dan solat zohor, acara diteruskan dengan sesi rumusan dan soal jawab bermula jam 2.30 petang dan pameran yang berlangsung bermula 8.30 pagi sehingga jam 4.30 petang pada hari pertama. Pada hari kedua (25.7.2019 - khamis) telah berlangsung program Tafaquh Falak: Pengajian Kitab Sabil al-Muhtadin Oleh S.F. Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak, Panel Pakar Falak JAKIM yang bermula daripada 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari dan majlis bersurai.

1 2 3

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

TOT Modul Tarbiah Kepemimpinan Al-Fatih Negeri Perak 2019

n9 SERDANG - 23-25 Jun 2019 (Ahad - Selasa). Kursus Kejurulatihan Kepimpinan Al-Fatih peringkat Negeri Perak diuruskendali oleh Yayasan Ammar Al-Fatih dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak telah diadakan di UPM Serdang & Rubinga Heritage, MAEPS. Seramai 22 orang pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terpilih untuk menjayakan kursus ini.

Program ini merupakan sebuah program kepimpinan yang menggunakan modul khas, bertujuan melahirkan para Jurulatih dan Fasilitator yang berwawasan dan memandang ke hadapan. Semoga dengan adanya program sebegini, Mahasiswa Islam khususnya, dapat membuka mata dan minda untuk lebih mendalami sejarah-sejarah Islam yang dapat dijadikan panduan demi melahirkan seorang pemimpin yang berilmu, beriman dan bertaqwa.

Penerapan ilmu-ilmu kepimpinan melalui acara berkuda, memanah dan pelbagai modul lain yang telah disediakan oleh Yayasan Ammar Al-Fatih diharapkan dapat memberi manfaat kepada generasi muda. Antara aktiviti menarik:- F1 Pit Stop, Risalah an-Nur, Modul Berkuda, Drilis Ertugrul, Reverse Thinking.

1 2 3

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak di Daerah Muallim

SUNGKAI, 21 JULAI 2017 – Program Pemukiman YAB Menteri Besar Perak diteruskan lagi dan kali ini ia diadakan di Daerah Muallim. Melalui portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Shasiah, YB Dato’ Drs. Mohd Nizar Bin Zakaria telah berlangsung Karnival Mahabbah Eidul Fitri YAB Menteri Besar Perak Bersama Institusi Agama dan Warga FELDA di Parlimen Tanjung Malim semalam bersempena dengan program pemukiman ini.

Kali ini Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Felda Gunung Besout 3 terpilih sebagai lokasi. Terdapat pelbagai kaunter perkhidmatan dan pameran disediakan oleh agensi yang terlibat seperti Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak (JKSMPk), serta beberapa bahagian dari Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Selain itu, Klinik Dr. Zambry turut dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada warga FELDA yang hadir.

Pada jam 11.00 pagi, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dijemput menyampaikan taujihat bersama kader JAIPk dan warga FELDA. Ia diikuti dengan penyampaian elaun kepada pengerusi dan pegawai-pegawai masjid serta penyampaian saguhati kepada bakal-bakal haji peneroka, petugas dan guru-guru sekolah di FELDA Besout 3. Program berakhir dengan Kenduri Rakyat iaitu jamuan makan sekitar jam 12.00 tengahari.

Pada sebelah petang pula diadakan sukan persahabatan futsal dan badminton antara institusi-institusi agama Negeri Perak serta penduduk sekitar. Ia diadakan di SMKA Slim River, bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara kakitangan agensi-agensi berkenaan serta orang ramai. Jabatan Mufti Negeri Perak telah muncul juara dalam acara badminton serta mendapat naib juara dalam acara futsal.

Program pemukiman YAB Menteri Besar Perak yang seterusnya telah dijadualkan di Daerah Batang Padang pada bulan September dan di Daerah Manjung Oktober nanti.

Sumber: Unit Pusat Sumber, Bahagian Maktabah JMNPK

Program Penjelasan Fatwa dan Pemurnian Aqidah

Penjelasan Fatwa PARIT BUNTAR, 24 JULAI 2016 – Jabatan Mufti Negeri Perak dengan kerjasama Pejabat-pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah telah mengadakan satu Program Penjelasan Fatwa dan Pemurnian Aqidah. Ia bertujuan untuk memberi penjelasan tentang fatwa-fatwa berkaitan aqidah yang menyimpang sekaligus menerapkan aqidah yang benar kepada orang ramai. Program ini merupakan program secara bersiri yang diadakan sekali setiap bulan di daerah-daerah sekitar Negeri Perak. Siri yang pertama ini telah diadakan di Masjid Ar-Ridhuan, Parit Buntar, bermula jam 8 hingga 9 malam.
Penceramah yang telah dipilih pada kali ini ialah Prof. Dr. Jamil Bin Hashim yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Dalam ceramah tersebut, beliau telah menjelaskan secara terperinci fatwa-fatwa berkaitan aqidah yang menyeleweng yang telah diwartakan dalam warta kerajaan negeri Perak seperti fatwa berkaitan aliran Syiah, Wahabiah, ajaran ayah Pin dan Ibrahim Mat Zin. Selain itu beliau juga menegaskan kepentingan menjaga aqidah yang benar iaitu Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai benteng umat Islam dari sebarang ancaman. Turut hadir ke program ini ialah Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Pentadbiran Agama Islam Parit Buntar, A.F. Tuan Haji Khairul Nizam Bin Mat Nor. Ceramah berakhir pada jam 9 malam dan disudahi dengan solat Isyak secara berjemaah.
   
Penjelasan Fatwa  

 

Seminar Memperkasa Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah Menghadapi Cabaran Ummah

Bengkel Pemurnian Aqidah

IPOH, 23 JULAI 2016 – Seminar Memperkasa Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah Menghadapi Cabaran Ummah telah diadakan dengan jayanya bermula pada jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang bertempat di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM). Seminar tersebut merupakan anjuran Jabatan Mufti Negeri Perak bertujuan untuk memberi pencerahan dan penerangan kepada guru-guru agama berkaitan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang tulen serta penerapannya dalam menghadapi cabaran-cabaran aliran pemikiran yang melanda umat. Penceramah jemputan ialah S.F. Ustaz Engku Ahmad Fadzil Bin Engku Ali, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).

Seminar tersebut bermula dengan tayangan video oleh unit Teknologi Maklumat Jabatan Mufti Negeri Perak, diikuti dengan ceramah dan sesi soal jawab. Kira-kira 400 orang pesera yang hadir terdiri dari Guru-guru Pendidikan Islam (GPI) di bawah kendalian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, Guru-guru KAFA dan guru-guru tauliah serta guru-guru dakwah. Seminar tersebut berakhir dengan jamuan makan tengah hari pada jam 2.00 petang. Ustaz Engku mengucapkan terima kasih atas jemputan dan penganjuran ini dan berharap agar program sebegini dapat diadakan lagi. Menurut beliau; “Pemerkasaan Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah amat penting sebagai benteng umat Islam dari ancaman luar yang pelbagai”.

Bengkel Pemurnian Aqidah  
Bengkel Pemurnian Aqidah  
Bengkel Pemurnian Aqidah  
  • 1
  • 2