• Utama
  • Arkib Berita Tahunan

Jabatan Mufti Perak lancar Sistem Maktabah Digital

1
IPOH, 21 Oktober 2021 - Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) hari ini melancarkan perpustakaan digital jabatan berkenaan yang memuatkan pelbagai kitab rujukan agama Islam berautoriti dari pelbagai mazhab dan aliran sebagai langkah menyuburkan minat masyarakat terhadap kajian ilmiah. Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan yang setakat ini sudah menghimpumkan kira-kira 5,000 naskhah buku pelbagai judul itu wajar dilihat sebagai satu respon strategik merealisasikan konsep kerajaan digital yang sekali gus meningkatkan sistem penyampaian untuk rakyat.
Menurutnya, pembangunan 'maktabah' atau perpustakaan digital terbabit membolehkan kajian terkini dapat diadaptasikan secara menyeluruh tanpa sebarang kepincangan dan kekurangan yang mana kajian seumpama itu sangat penting untuk menjawab sebarang permasalahan semasa yang dihadapi oleh umat Islam. "Pengumpulan bahan ilmiah dan penerbitan yang mempunyai nilai sejarah dan rujukan autentik perlu didokumentasikan secara digital ke dalam sistem ini bagi mengelakkan kepupusan, kerosakan dan kehilangan bahan berkenaan.
"Kitab-kitab turath (warisan) merupakan khazanah ilmu para alim ulama Islam yang memberi sumbangan besar dalam khazanah perpustakaan Islam, perlu dipersembahkan kembali pada masyarakat dalam bentuk digital dengan diberi nafas baharu pada hari ini. "Selain dari hasil kajian ilmiah oleh para penyelidik yang turut memerlukan satu platform yang diintegrasikan dengan karya grafik supaya memudahkan sistem penyampaian," katanya sewaktu melancarkan Maktabah Digital JMNPk yang disiarkan secara maya melalui aplikasi Zoom, hari ini.
Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perak berkata, pembangunan perpustakaan atau 'Maktabah Digital' terbabit mempunyai empat modul utama yang berfokus kepada pengurusan dan penyelarasan pinjaman dan pemulangan buku, dokumentasi dan kajian, penerbitan dan multimedia serta galeri arkib.
Beliau berkata, bagi pihak kerajaan negeri pendigitalan buku dan kitab yang dilaksanakan JMNPk dianggap sebagai usaha mengembangkan syiar Islam di negeri ini serta dianggap menjadi pemangkin kepada perancangan dan pembangunan perkembangan Islam di Perak. "Sistem ini bertujuan memberi kemudahan kepada mana-mana pegawai membuat rujukan bagi kajian isu-isu semasa, memberi perkhidmatan kepada guru-guru agama tauliah, golongan penyelidik, pengkaji ilmu falak, dan orang awam mendapatkan bahan rujukan berautoriti secara digital. "Semoga pelancaran Maktabah Digital ini menjadi pemangkin dan penggalak kepada agensi kerajaan dan swasta yang lain untuk melakukan pendigitalan maklumat sebagai meningkatkan tahap kecekapan proses penyampaian kepada rakyat di negeri ini," katanya.

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Program Southeast Asia-Regional Astronomy Seminar (SARAS) 2021

1
TANJUNG MALIM, 23 September 2021 - Program Southeast Asia-Regional Astronomy Seminar (SARAS) 2021 telah berlangsung dengan jayanya. Seminar ini telah berlangsung secara dalam talian selama dua hari dan telah berakhir semalam. Ia dianjurkan oleh Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Universiti Malaya (UM), Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
Seminar ini merupakan seminar berstatus peringkat nusantara dan merangkumi pembentang dari kalangan pakar falak dan astronomi dari dalam dan luar negara. Antara pembentang-pembentang antarabangsa yang terlibat ialah Prof. Dr. Nidhal Guessoum dari American University of Sharjah UAE, Dr. Kumiko Usuda-Sato dari National Astronomical Observatory of Japan, Dr. Osamu Hashimoto dari Gunma Astronomical Observatory, Assoc. Prof. Dr. Umit Ertem, Presiden Hal Ehwal Agama Turki, Dr. Awin Juli Rakhmadi dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara. Seminar turut diserikan dengan 4 pembentangan oleh wakil negara iaitu YDH Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Perak, Dato' Dr. Afifi al-Akiti yang bertugas di University of Oxford sebagai pembentang utama, United Kingdom, YBhg. Prof. Dato' Dr. Mohd. Zambri Zainuddin dan Dr. Mohd Hafiz Mohd Saadon dari Universiti Malaya serta YBhg. Dato' Sr. Dr. Azhari Mohamed, Pengarah JUPEM.
Seramai kira-kira 250 orang peserta dari dalam dan luar negara telah menyertai program seminar ini. Peserta terdiri dari kalangan para pengamal falak dan astronomi sama ada dari jabatan kerajaan atau swasta. Ia juga turut disertai oleh para pelajar dan peminat falak astronomi. Penganjuran SARAS 2021 ini merupakan kali kedua setelah kali pertama dianjurkan secara fizikal pada tahun 2018. Ia merupakan satu kejayaan yang berharga kerana dapat mempertingkatkan kefahaman dan minat terhadap ilmu falak dan astronomi khususnya di kalangan peserta sekaligus menaikkan nama negara sebagai salah satu negara di dunia ini yang sentiasa mempromosi dan mengkaji bidang ilmu yang sangat penting dalam kehidupan manusia.
1 2 3

Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita Keratan Akhbar: COVID-19 'signal' dari Allah - Timbalan Mufti Perak

1 IPOH: Tindakan individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 boleh disifatkan sebagai perbuatan mungkar dan maksiat.Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata ia boleh menjadi sebab melambatkan proses pemulihan dan penyelesaian keluar disebabkan melanggar ketetapan Allah SWT. "Justeru, integriti perlu diterapkan dalam diri setiap individu menurut kaedah fiqh 'la darar wala dirar' yang menekankan keperluan menghilang dan menghapuskan semua kemudaratan diperakui syarak. "Ia bersandarkan hadis Rasulullah SAW yang memberi amaran Allah SWT akan 'memudarat' urusan seseorang yang memberi mudarat dalam urusan orang yang lain.

"Ia membawa erti kecuaian mematuhi integriti kendiri akan menimbulkan mudarat berangkai kepada banyak pihak," katanya. Beliau berkata dalam Seminar Kelestarian Integriti bertemakan 'Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Berintegritikah Kita?' disiarkan secara langsung di Facebook Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak, hari ini. Turut menjadi panel seminar itu adalah Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said; dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Mohd Zamri Md Ali. Zamri berkata, sesuatu wabak yang menimpa manusia adalah satu bentuk balasan atau azab dari Allah SWT yang pernah memusnahkan umat terdahulu berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid. "Banyak yang kita culas, justeru Allah SWT hantar 'signal' (isyarat) tertentu. Wabak akan datang pada suatu ketika dan akan pergi selepas suatu ketika dan barangkali ini 'signal' besar dari Allah SWT. "Konsep integriti atau amanah sebenarnya lebih halus di sisi Islam kerana kesemua perbuatan ada pencatat kiri dan kanan, walaupun tanpa kehadiran penguatkuasa. "Kesannya bukan di dunia seperti dibuang kerja dan lain-lain, namun membawa sehingga alam akhirat," katanya.

Sumber daripada akhbar Berita Harian- Jun 29, 2021 @ 2:09pm seperti di pautan berikut:-
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/833506/covid-19-signal-dari-allah-timbalan-mufti-perak

Berita Keratan Akhbar: Ingkar SOP satu perbuatan mungkar

1 IPOH - Sikap tidak patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 boleh diibaratkan sebagai satu perbuatan kemungkaran. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, ini kerana kesan kemungkaran itu boleh mendedahkan kepada jangkitan dan mendatangkan bahaya diri sendiri serta orang lain. Menurut beliau, perbuatan kemungkaran yang berterusan juga memberi kesan dalam melambatkan lagi proses pemulihan dan penyelesaian.

"Ketidakpatuhan kepada SOP ini boleh diibaratkan sebagai satu bentuk kemungkaran kerana ia telah melanggar arahan pemerintah yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan bertujuan untuk menyelamatkan nyawa. "Jadi patuhilah SOP, tinggalkan segala maksiat dan kemungkaran dan jangan lupa doa banyak-banyak kepada ALLAH. "Kalau kita dah jaga SOP tetapi masih dijangkiti (Covid-19), itu adalah salah satu bentuk ujian yang ALLAH berikan kepada kita, berubat dan bersabarlah, nescaya mendapat ganjaran, " katanya. Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Seminar Kelestarian Integriti bertemakan 'Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): Berintegritikah Kita?' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pada Selasa. Seminar yang dikendalikan Pegawai Daerah Hulu Perak, Meor Shahibul Fadilah Zainuddin selaku moderator itu turut dibarisi panel Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, Khairul Ridzuan Mat Said dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Mohd Zamri Md Ali. Mengulas lanjut, Zamri berkata, kelompongan nilai integriti dalam melaksanakan pematuhan SOP hanya menjadikan usaha dilakukan kerajaan ketika ini seperti sia-sia. Katanya, menerusi laporan-laporan media, digambarkan betapa kroniknya isu integriti yang melibatkan pelanggaran SOP hinggakan ada pengusaha kilang yang beroperasi dalam keadaan curi-curi, individu berpengaruh berpesta durian dan tidak terkecuali jemaah melanggar SOP dengan solat berjemaah di masjid dan surau. "Dalam Islam intepretasi integriti itu adalah lebih halus dan seni berbanding kefahaman biasa kita sebab kesannya bukan hanya di dunia, ia melibatkan dosa dan pahala yang akhirnya nanti menentukan kita sama ada syurga atau neraka. "Dalam hal ini, sepatutnya orang Islam lebih berintegriti daripada orang lain kerana tiada penguatkuasa pun, kita kena ingat ada malaikat Raqib dan Atid yang mencatit setiap dosa dan pahala, jadikanlah PKP ini peluang kita untuk Pulang Kepada Pencipta," katanya.

Sumber daripada akhbar Berita Harian- Jun 29, 2021 seperti di pautan berikut:-
https://www.sinarharian.com.my/article/147040/BERITA/Semasa/Ingkar-SOP-satu-perbuatan-mungkar

Berita Keratan Akhbar: Jangan normalisasikan tindakan bunuh diri

1 IPOH: STIGMA kepada perbuatan orang yang membunuh diri sebagai tidak waras adalah satu pandangan yang salah, dan ia tidak sepatutnya dinormalisasikan, kata Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim.

Beliau berkata, masyarakat juga perlu berhati-hati dalam memberi pandangan mengikut hadis Rasulullah SAW, agar ia tidak menjadi pencetus seolah-olah membunuh diri itu adalah sesuatu yang dibenarkan.

Sumber daripada akhbar The Malaysian Insight - 29 Jun 2021 9:54PM seperti di pautan berikut:-
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/324482?fbclid=IwAR269qx9OoEfij2bZiRYWRdhCmx877qh2yn8DbDyNQoaVaL9f9chCTGzf-o

Berita Keratan Akhbar: Jabatan Mufti ucap terima kasih perutusan takziah, petugas barisan hadapan.

1 IPOH: Jabatan Mufti Perak mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengutus ucapan takziah berikutan pemergian Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang membantu menyelenggarakan jenazah Allahyarham sehingga selamat dikebumikan.

“Jabatan Mufti juga mengucapkan terima kasih kepada para muslimin dan muslimat yang telah mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham,” katanya. Harussani, 82, meninggal dunia pada pukul 2.45 petang semalam setelah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana positif Covid-19. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat di sini pada pukul 6.20 petang. Urusan pengebumian dijalankan oleh petugas barisan hadapan dan petugas kesihatan yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sekitar kawasan pengebumian juga dikawal ketat oleh anggota polis yang menutup jalan berdekatan tanah perkuburan itu mulai pukul 5 petang. Jabatan Mufti Perak turut menganjur solat jenazah ghaib di rumah masing-masing dan bacaan Yasin secara dalam talian secara langsung di Facebook jabatan berkenaan.

Sumber daripada akhbar Utusan Malaysia - 31 Mei 2021, 6:05 pm seperti di pautan berikut:-
https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/jabatan-mufti-ucap-terima-kasih-perutusan-takziah-petugas-barisan-hadapan/?fbclid=IwAR0bbWv2wem_O7u77Bb40oI770D5CzmfSz57J--zp3Ngvede_rhuRpD0W-w

BEREHATLAH WAHAI MURABBI

ts Berkata Imam Hassan al-Basri rahimahullah :

موت العالم ثلمة في الإسلام لا يسدها شيء ما اختلف الليل والنهار

Bermaksud : “Matinya seorang alim laksana patahnya mercu tanda Islam yang tidak akan mampu ditampung sesuatu pun, walau silih berganti malam dan siang” ( Sunan al-Darimi : 333). Tarikh 30 Mei 2021 M bersamaan 18 Syawal 1442 H jam 2.45 petang akan terpahat dalam sejarah, pemergian insan mulia ke sisi Rabbnya setelah lebih separuh dari usianya telah diberikan untuk ummah ini. Kembalinya Allahyarham Tan Sri Dato Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria ke rahmatullah ketika usia 82 tahun, setelah 36 tahun memberikan khidmat kepada ummah sebagai seorang yang digelar Mufti. Sepanjang tempoh itulah tanpa mengenal jerih atau perih, siang atau malam, Allahyarham memberikan segalanya untuk mentarbiah ummah ini.

Perwatakan tegas, berani dan teguh dalam memegang prinsip adalah wajah Allahyarham yang dilihat di paparan media. Penghujahan dan perdebatannya sentiasa berasaskan al-Quran dan al-Sunnah dengan logik qias yang cukup bernas. Namun ketika di pejabat bahkan di rumah, Allahyarham adalah ‘tok ayah’ yang sentiasa kaya dengan nasihat dan hikmah yang cukup mendamaikan. Deretan pengalaman melalui hidup zaman penjajahan dan kemerdekaan, bahkan bertemu langsung dengan nama-nama besar dalam sejarah negara dan dunia, membuatkan kita terlalu kerdil ketika berhadapan dengannya. Sepanjang hidupnya, tidak sedikit dugaan yang dihadapinya. Isu agama Islam dan bangsa Melayu adalah dua tunjang perjuangan yang kukuh dalam hati sanubarinya. Jangan sesiapa yang berani membuat onar dan duri dalam dua isu ini, akan diredah, ditegur dan dinasihati. Malah jika ada isu politik, ekonomi dan masyarakat yang pada pandangannya perlu diperbetulkan, Allahyarham akan bersuara, menegur dan menasihat dengan penuh keberanian tanpa mengira mereka pemimpin atau rakyat.

Namun, semua itu adalah kenangan. Kembalinya Allahyarham ketika ummah ini masih memerlukan nasihat dan pedoman terutama ketika ini kita masih berhadapan situasi getir dengan dugaan pandemik covid 19 ini. Jauh lebih menyedihkan, Allahyarham juga meninggalkan kita disebabkan jangkitan covid 19 ini. Walau terasa berat hati mahu menerima pemergian Allahyarham, namun memujuk hati ini, mungkin inilah masanya insan yang layak digelar murabbi ini berehat di sisi Rabbnya, bertemu Rasul yang sentiasa dirindukannya. Meninggalkan pejuangan untuk kita ‘anak-anaknya’ untuk diteruskan. Sesungguhnya, kami bersaksi bahawa air mata murabbi ini pernah menitis memikirkan nasib agama dan bangsanya. Moga dengan air mata itulah akan membajai benih perjuangan yang ditinggalkan untuk kita. Maka, duhai hati, relakanlah pemergian sang murabbi, untuk dirinya memasuki jannah firdhausi, dengan maghfirah dan redha Ilahi dan syafaat Rasul yang dicintai......Dengan linangan air mata, kami relakan dan ingin katakan, berehatlah wahai Murabbi...

Catatan..‘Anak-anak’ Warga JMNPk.
Kredit : AF Ustaz Mohamad Faizal bin Jani

Tan Sri Mufti Perak Telah Kembali Ke Rahmatullah

ts IPOH, 30 MEI 2021 - Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria telah meninggal dunia pada jam 2.45 petang ini. Allahyarham Tan Sri telah disahkan kembali ke rahmatullah disebabkan sakit akibat wabak Covid-19. Allahyarham dan isteri telah disahkan positif Covid-19 lebih seminggu yang lalu dan kemudian Allahyarham mendapat rawatan di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Manakala isteri Allahyarham telah pun pulih dan pulang ke rumah selepas itu.

Allahyarham telah menjawat sebagai Mufti Negeri Perak sejak tahun 1985. Allahyarham terkenal dengan keberanian dan ketegasan dalam menyatakan kebenaran khususnya dalam hal ehwal hukum syarak dan perpaduan umat. Allahyarham seorang yang komited dalam kerjaya dan sentiasa menjaga kebajikan para pegawai dan kakitangan beliau di Jabatan Mufti Negeri Perak. Allahyarham ibarat ayahanda kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Sungai Rapat. Jasa dan khidmat Allahyarham kepada Islam dan umat tidak terkira dan sentiasa di dalam ingatan. Didoakan agar Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang beriman dan para solehin.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak.

Berita Keratan Akhbar: COVID-19 - Mufti Perak sedang dirawat di ICU

1 IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang disahkan positif COVID-19 minggu lalu, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi ( ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Anak kepada Mufti Perak, Datuk Ahmad Wafi ketika dihubungi memaklumkan secara ringkas status terkini kesihatan bapanya yang sedang dirawat. "Abah memang di ICU dan mak pula semakin pulih dan ada di rumah," katanya.

Ahmad Wafi turut menafikan berita tular di media sosial yang mengatakan ibunya sudah meninggal dunia. "Berita tular isteri mufti Perak meninggal dunia itu adalah palsu," katanya. Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa setakat ini, Harussani sedang dirawat di pusat perubatan berkenaan. "Kami dimaklumkan bahawa Tan Sri (Harussani) masih sedang dirawat di HRPB, manakala isteri dan anaknya pula sudah 'discharged'. "Kita meminta marilah kita semua sama-sama mendoakan akan kesembuhan Mufti Perak," katanya ketika dihubungi di sini.

Sumber daripada akhbar Berita Harian Online, Isnin - 24 Mei 2021 di pautan berikut:- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/820319/covid-19-mufti-perak-sedang-dirawat-di-icu?fbclid=IwAR2Z4k-NcKpncMukSR4gtVYqUGM9Bs_mHsygbrDerrMc8R8bXfRfp0ylDis

*********************************************************************************************************************************************************************************************************************

>> Titipan khas buat Tan Sri Mufti: Kami berdoa agar SS Tan Sri Dr Harussani Zakaria, segera kembali sembuh. Kami juga mendoakan ahli keluarga beliau berada dalam keadaan baik dan tabah menghadapi ujian ini. Kami, warga Jabatan Mufti Negeri Perak juga mendoakan agar diberi kekuatan dan terus dapat berkhidmat di bawah kepimpinan SS Tan Sri demi kemajuan Islam di Negeri Perak. Sama-sama kita berdoa untuk kesejahteraan semua. <<

.

World #QuranHour Peringkat Agensi Agama Islam Perak

qh IPOH, 6 MEI 2021 - World #Quran Hour Peringkat Agensi Agama Islam Perak berjaya menghimpunkan seramai 52 peserta daripada pelbagai jabatan yang terlibat dalam penganjuran julung kali melibatkan agensi agama Islam di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Bertemakan 'Bangsa Berbudi dan Penyayang' program World #QuranHour di masjid itu dimulakan dengan bacaan surah bacaan alunan Asmaul Husna diikuti bacaan surah al-Fatihah oleh Mohd Hafiz Sulaiman dari Jabatan Mufti Perak. Bacaan Surah al-Mulk kemudian diperdengarkan secara bergilir-gilir oleh setiap wakil jabatan yang terlibat dengan diselangi bacaan terjemahan. Tadabbur keseluruhan 30 ayat Surah al-Mulk kemudiannya disempurnakan Zamri. Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan menjadi surah pilihan dan tema bagi World #QuranHour tahun ini dalam membina karakter orang berjaya di dunia dan akhirat. Dengan menghayati surah Al-Mulk, adalah diharapkan dapat membina kekuatan kerajaan di dalam diri, keluarga, organisasi dan komuniti dalam negara.

Hadir sama pada program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansur; Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Perak, Mohd Asri Ghazali dan Pengurus Besar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Rohizan Omar. Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, setiap individu mungkin boleh berperwatakan dan menampilkan diri seperti orang hebat tetapi hakikatnya ALLAH SWT maha mengetahui apa yang ada di dalam diri seseorang. Menurutnya, ALLAH SWT memberi bukti menerusi ayat 14 Surah al-Mulk bahawa Dia yang maha halus urusan pentadbiran dan maha mendalam pengetahuan-Nya. "Sebab itu, kita sebagai yang menjawat di dalam agensi agama ini, bos kita yang paling besar adalah ALLAH SWT, bukan tuan pengarah, bukan Yang Amat Arif bukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), bukan ketua pendakwa tetapi ALLAH SWT. "Ini sangat penting supaya kerja kita berprinsip, khidmat kita nombor satu kepada ALLAH SWT. Kita berlakon, kita bermuka-muka, kita bodek sana sini, ALLAH SWT tahu sebab yang menciptakan kita adalah ALLAH SWT," katanya ketika mentadabbur 30 ayat Surah al-Mulk.

Inisiatif World #QuranHour adalah wadah permulaan memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada daripada segi bacaan, penghayatan dan amalan.

qh qh qh
qh qh qh

Sumber: Bahagian Maktabah, Jabatan Mufti Negeri Perak.