Halaman 1 dari 6
Latar Belakang
Pakaian yang dikenakan oleh seseorang mempunyai nilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah menetapkan kaedah umum dalam berpakaian, yang bertujuan untuk menutup aurat seseorang. Firman Allah SWT:
Pakaian yang dikenakan oleh seseorang mempunyai nilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah menetapkan kaedah umum dalam berpakaian, yang bertujuan untuk menutup aurat seseorang. Firman Allah SWT:
يَابَنِي ءَادَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ ءَايَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”. (al-A’raf:26)
Di dalam kitab tafsir Al-Azhar karangan Prof Dr Hamka menyatakan, Allah telah memberi peringatan tentang pakaian takwa. Kalau diambil erti asal perkataan takwa, iaitu memelihara, maka pakaian itu sendiri bertujuan untuk memelihara aurat supaya tidak terdedah dan takwa juga mampu untuk memelihara jiwa. Di dalam ayat ini dijelaskan bahawa agama tidak menghalang untuk berhias. Akan tetapi jika kita mengenakan pakaian mewah, warna-warni sama ada lelaki mahupun perempuan sehingga menjadi takabbur dan mengangkat diri lebih daripada semestinya, maka itu adalah dilarang sama sekali.
Pakaian merupakan lambang peribadi kepada setiap individu. Melalui pakaian, kita dapat menilai watak atau personaliti seseorang kerana ianya secara tidak langsung mencerminkan akhlak yang kita miliki. Islam sendiri menekankan kepada kita untuk menjaga etika berpakaian dalam kehidupan seharian kita baik lelaki mahupun perempuan yang sekaligus mampu untuk memelihara maruah diri seseorang.
Namun begitu, tidak semua manusia yang patuh kepada syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik pemahaman dalam kehidupan mereka. Pada hari ini, ramai sekali wanita yang bertudung tetapi seolah-olah bertelanjang. Mereka hanya sekadar memahami konsep menutup aurat dengan memakai tudung sahaja yang seiring dengan trend dan fesyen masa kini , tetapi bukan secara keseluruhannya seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini jelas menunjukkan tujuan asal untuk menutup aurat telah terpesong daripada landasan syarak yang sebenarnya.
Apabila menyebut tentang pakaian wanita ketika berada di luar rumah, ia sangat berkait rapat dengan aurat wanita ketika solat. Jarang sekali kita melihat wanita yang memakai pakaian “ready solat” ketika ingin keluar rumah yang sebenarnya memudahkan mereka untuk menunaikan solat pada bila-bila masa, jika ada pun pada bilangan yang sedikit sahaja. Jadi, risalah yang disediakan ini diharap dapat membantu mereka dalam memahami konsep menutup aurat dengan sebaik-baiknya.