Halaman 4 dari 6
PAKAIAN LAIN SELAIN DARIPADA TELEKUNG WANITA KETIKA SOLAT
Terdapat dalil daripada ayat al-Quran yang berkaitan dengan kewajipan menutup aurat sebagaimana firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Maksudnya: “ Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali memasuki masjid”. (Al-A’raf: 31)
Menurut Ibn Abbas r.a, apa yang dikehendaki di sini ialah pakaian ketika solat. Dan sabda Baginda lagi:
يَا أَسْمَاءُ. إنَّ اْلَمَرْأَةَ إِذَا بلغَتِ المحيضَ لَمْ يَصلُحْ أن يُرى مِنْهَا إلَّا هَذَا وَهَذا ، وأشارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيهِ.
Maksudnya: “Wahai Asma’, orang perempuan apabila meningkat umur haid (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini. Baginda Rasulullah SAW pun menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan baginda”.
Menurut kitab Fiqh & Perundangan Islam karangan Dr Wahbah al-Zuhaili, salah satu syarat bagi penutup aurat hendaklah tebal dan tidak jarang. Wajib menutup aurat dengan kain tebal atau kulit atau kertas yang boleh menyembunyikan warna kulit dan yang tidak menampakkan sifatnya. Jika kain tersebut nipis atau jarang yang boleh menampakkan apa-apa yang di bawahnya iaitu anggota badan yang ada disebalik kain tersebut atau menampakkan warna kulitnya seperti cerah atau kemerah-merahan, maka tidak sah bersolat dengannya kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.
Sebaliknya, sekiranya kain itu boleh menyembunyikan warna kulit, tetapi menampakkan bentuk dan ukuran tubuh badan, maka sah bersolat dengannya kerana ia tidak dapat dielakkan sekalipun memakai kain tebal. Walau bagaimanapun, menurut pendapat ulama mazhab Syafie, kain seperti itu makruh dipakai oleh perempuan dan khilaf al-awla bagi orang lelaki. Menurut pendapat ulama mazhab Syafie, syarat penutup ialah sesuatu yang tidak menampakkan warna kulit, sekalipun menggunakan air yang keruh atau tanah. Tetapi tidak boleh menggunakan selubung yang sempit dan keadaan gelap sebagai penutup aurat. Menurut pendapat mereka juga, penutup mestilah suci.
KEPELBAGAIAN PAKAIAN WANITA KETIKA SOLAT
- T-shirt + Seluar Jeans + Sarung Lengan
Sepertimana yang sedia maklum, jika kita ingin menunaikan solat dengan menggunakan pakaian yang dipakai ketika bersiar-siar seperti t-shirt, seluar jeans dan sarung lengan, perlu diteliti sama ada pakaian tersebut sesuai dibawa untuk bersolat ataupun tidak. Jika semua pakaian di atas bersifat tebal, longgar (tidak menampakkan bentuk badan) dan tidak jarang (tidak menampakkan warna kulit), maka harus untuk kita menunaikan solat dengannya. Selain itu, pakaian tersebut mestilah suci daripada najis yang boleh membatalkan solat.
- Gaun + Stoking
Gaun atau dress ialah sejenis pakaian wanita seperti jubah yang labuh tetapi diubah mengikut trend dan gaya terkini dan terdiri daripada warna, tekstil dan bentuk yang berbeza mengikut citarasa masing-masing. Tidak semua gaun memenuhi syarat dalam menutup aurat kerana kebanyakan gaun seperti ini dijahit mengikut bentuk badan si pemakai dan tekstil yang digunakan pula kebiasaannya adalah nipis. Jika ingin memakainya untuk menunaikan solat, kita perlu memastikan ia tidak mempunyai potongan yang menampakkan bentuk badan dan tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit. Pakaian tersebut mestilah bersifat longgar, Bagi pemakaian stoking pula, kita perlu memakainya dari jenis kain yang tebal dan tidak menampakkan warna kulit kita.
- Tudung + T-shirt ( Nampak bentuk badan)
Tudung yang dibolehkan ketika solat ialah tudung yang menutup rambut wanita dengan sempurna, tidak jarang sehingga menampakkan leher dan labuh sehingga menutupi dada. Jika tudung yang dipakai mampu memenuhi syarat-syarat tersebut, kita diharuskan untuk bersolat menggunakannya. Makruh hukumnya bagi pemakaian t-shirt yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Pakaian yang ketat kebiasaannya akan menzahirkan bentuk pinggul dan dada, melainkan jika kita mencari inisiatif lain untuk menutupnya.
TIDAK BERPAKAIAN KETIKA SOLAT
Menurut pendapat ulama mazhab Maliki, seseorang yang tidak mempunyai penutup aurat, hendaklah solat secara telanjang kerana menutup aurat dituntut ketika terdaya, maka tergugur tuntutan itu jika tidak berdaya. Menurut pendapat ulama mazhab Hanbali, dalam keadaan yang tiada pakaian hendaklah dilakukan solat secara duduk dan melakukan isyarat. Menurut pendapat ulama mazhab Syafie dan Hanafi, wajib dilakukan solat sekalipun dengan melumuri tanah pada tubuh badan sebagai penutup aurat.
Menurut pendapat ulama mazhab Hanafi dan Maliki, memadai dengan kegelapan sebagai penutup aurat kerana darurat, sementara menurut pendapat yang paling sahih dikalangan ulama mazhab Syafie, hendaklah menutup dengan tangan, begitu juga menurut pendapat ulama mazhab Hanbali. Menurut ulama mazhab Syafie juga hendaklah dilakukan solat secara berdiri bagi menyempurnakan rukun solat. Sementara menurut pendapat ulama mazhab Hanafi dan Hanbali, hendaklah dilakukan solat secara duduk dan membuat isyarat termasuklah ketika rukuk dan sujud.
Rumusannya, solat berjemaah adalah diharuskan bagi sesiapa yang tidak mempunyai pakaian. Oleh itu, menurut pendapat ulama mazhab Syafie dan Hanbali, mereka boleh melakukan solat sama ada secara berjemaah atau bersendirian. Jika solat secara berjemaah, imam hendaklah berdiri di tengah-tengah barisan saf, dan semua makmum perlu berada dalam satu barisan sahaja supaya tidak ternampak aurat sesama mereka. Namun, jika terpaksa membuat dua saf, maka hendaklah solat dengan menutup mata masing-masing.
Menurut pandangan ulama mazhab Syafie, jika semua makmum buta atau berada di tempat gelap, maka diharuskan melakukannya secara berjemaah. Jika boleh nampak antara mereka, maka solat secara berjemaah atau bersendirian adalah sama hukumnya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kewajipan solat wajib dilakukan oleh semua insan yang sudah mencapai usia baligh walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hal ini kerana solat itu merupakan salah satu bentuk pengabdian manusia kepada Allah SWT yang perlu dilakukan sepertimana firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: " Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman." ( Surah An-Nisa: 103)