Hukum solat memakai sarung tangan dan kaki

Sah solat seseorang wanita yang mendirikan solat dengan memakai sarung tangan. Namun, dimaafkan jika tidak memakai sarung tangan ketika solat. Manakala bahagian kaki adalah wajib bagi wanita untuk menutupnya menurut majoriti ulama. Sebahagian ulama membolehkan tidak menutup kaki jika pakaian yang dipakainya labuh, tetapi majoriti ulama mengatakan tidak boleh membukanya malah ia perlu menutupnya.
 
Hukum memakai niqab ketika solat

Sunat bagi wanita untuk tidak menutup wajah ketika mendirikan solat jika tiada orang lelaki yang bukan muhrim di sekitarnya. Seperti yang diketahui, dahi merupakan salah satu rukun sujud yang terdiri daripada dahi, dua tapak tangan, lutut dan perut jari kedua-dua kaki. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيُّ (ص) قَالَ أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ، عَلَى الجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ - وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَأَطْرَافِ اْلقَدَمَيْنِ، وَلَا نَكْفِتُ الثِّيَابَ وَالشَّعْرَ.

Maksudnya: “Dari Ibnu Abbas r.a dari Nabi SAW bersabda, disuruh aku sujud (oleh Tuhanku) supaya aku sujud di atas tujuh anggota iaitu di atas dahi dan diisyaratkannya (ditunjukkan) dengan tangannya di atas hidungnya, dua tapak tangan, dua lutut, dan dua telapapak kaki dan kami tidak boleh menghalangkan kain dan rambut”.
Berdasarkan buku Kepimpinan Kesempurnaan Sembahyang bagi seseorang yang sedang solat, mereka hendaklah tidak sujud di atas sesuatu yang menutup bahagian dahi seperti bahagian atas tudung atau telekung. Maka tidaklah sah sujud di atas kain itu kerana ianya turut bergerak mengikut pergerakan solat.
 
Hukum bersolek ketika solat

Sah solat bagi wanita yang menunaikan solat dengan solekan di wajah mereka. Hal ini kerana, kebiasaan bagi mereka untuk mengenakan solekan di wajah selepas mengambil wuduk dan terus memasuki saf untuk bersolat. Akan tetapi, mereka haruslah memastikan bahan-bahan yang digunakan oleh sesuatu produk tersebut suci dan tidak mempunyai unsur-unsur yang meragukan. Selain itu, mereka juga perlu membersihkan solekan mereka terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk kerana terdapat sesetengah bahan yang digunakan boleh menghalang air sampai ke anggota wuduk seperti maskara dan gincu yang mempunyai sifat kalis air. Perkara ini harus diberikan penekanan kepada semua wanita kerana ia melibatkan ibadat yang paling utama di dalam Islam.
 
Adakah dagu dikategorikan sebagai aurat?

Dalam mengenalpasti sama ada dagu merupakan aurat atau sebaliknya dapat dilihat melalui amalan berwuduk iaitu ketika membasuh anggota muka.
Menurut kitab Fikah mazhab Syafie, sempadan muka bermula dari tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga bahagian paling bawah dagu dan dari segi lebarnya bermula daripada telinga hingga ke telinga. Wajib dibasuh kesemua yang ada pada muka iaitu bulu kening, misai, janggut; zahir dan batin. Kerana semua itu adalah sebahagian daripada muka kecuali janggut yang tebal iaitu yang tidak dapat dilihat apa yang ada di bawahnya (pangkalnya) maka ia memadai dengan membasuh apa yang zahir tanpa batinnya (bahagian dalam iaitu dasarnya pada kulit).
Muka bererti suatu anggota yang menjadi bahagian hadapan bagi diri seseorang. Ukuran panjangnya ialah antara gigi rambut biasa hingga ke bahagian akhir dagu, atau dengan kata lain, antara permulaan ruang dahi sehingga ke bahagian bawah dagu. Hal dagu pula ialah tempat tumbuhnya janggut yang terletak di atas tulang rahang sebelah bawah. Sementara itu, dua tulang rahang ialah dua tulang yang menjadi tempat tumbuhnya gigi bawah seseorang. Wajib membasuh sebahagian kecil daripada kepala, leher, bahagian bawah tulang rahang dan dua telinga.  Ulama mazhab Hanafi dan Maliki tidak mewajibkan membasuh janggut yang panjang kerana ia dikira sebagai bulu yang terkeluar daripada bahagian anggota fardu dan ia juga bukan daripada bahagian anggota muka.
Al Imam Syafie rahimahullah dalam kitabnya Al-Umm juga mengatakan bahawa dagu adalah sebahagian daripada muka. Perkara mengenai bahagian bawah dagu merupakan isu khilaf  di antara  ulama-ulama. Sebahagian daripada mereka mengatakan  jika dagu itu merupakan anggota daripada muka, maka tidak diwajibkan bagi wanita untuk menutup bahagian dagu ketika solat. Namun,ada pendapat lain yang mengatakan jika kita menganggap ia adalah anggota leher, maka diwajibkan untuk menutup bahagian tersebut ketika solat. Akan tetapi, jika ingin mengambil langkah berhati-hati, kita digalakkan untuk menutupinya agar bahagian leher tidak terbuka ketika bergerak, ditiup angin atau seumpamanya.

Cetak Emel