IPOH, 23 Januari - Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Perak kali pertama bagi tahun 2025 telah berlangsung di Hotel Casuarina @meru, Ipoh selama dua hari bermula pada 22 - 23 Januari 2025. Mesyuarat yang diurus setiakan oleh Bahagian Falak ini juga merupakan mesyuarat untuk lantikan baharu bagi tempoh 3 tahun bermula 2025 hingga 2027. Seramai 7 orang ahli telah dilantik dan penyampaian surat lantikan telah disempurnakan oleh SS Mufti Negeri Perak iaitu Dato’ Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh. Mereka adalah SS Timbalan Mufti Negeri Perak, Dato’ Hj Zamri bin Hashim; Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perak, Sr. Mohamed Sofian bin Abu Talib; Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Gerik, Dr. Hj. Mohd. Fahmi bin Abdul Khir; Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Dr. Raihana binti Abdul Wahab; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Ustaz Norhanizam bin Mohamed Tajuddin; Yang DiPertua Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak, Tuan Hj Mahruzaman bin Misran dan Ketua Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak, Ustaz Mohamad Faizal bin Jani. Ketua Bahagian Falak menyatakan bahawa mesyuarat pada kali ini telah disempurnakan dengan jayanya bersama 3 pembentangan laporan. Pembentangan pertama yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Mahruzaman bin Misran adalah berkenaan Program Daurah dan Lawatan Falak ke Wilayah Yala, Pattni dan Narathiwat di Selatan Thailand. Manakala pembentangan kedua pula oleh Tuan Mohamed Ibrahim Shah bin Kasim berkaitan Kajian Semakan Arah Kiblat Bagi Masjid-masjid Negeri Perak di Daerah Terpilih serta pembentangan ketiga oleh Dr. Raihana binti Abdul Wahab bertajuk Pandangan Ulama dan Fatwa Mengenai Isu Hisab dan Rukyah Hilal. Mesyuarat telah berakhir kira-kira jam 12 tengah hari dengan ucapan penutup oleh Pengerusi Jawatankuasa Falak Negeri Perak iaitu Dato’ Hj. Zamri bin Hashim. Usai mesyuarat ini berlangsung, Bahagian Maktabah telah mengambil peluang untuk melaksanakan beberapa siri rakaman tazkirah falak oleh ahli yang terlibat untuk dimuatkan ke dalam media sosial jabatan. Semoga sumbangan kecil ini akan dikira sebagai manfaat yang akan memberikan kebaikan untuk semua masyarakat di Negeri Perak. |
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.