SEGARI, 30 Januari - Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak telah menerima kunjungan mahabbah dari Tuan Guru Ahmad Rozaini bin Abdul Rahman serta rombongan untuk turut mencerap anak bulan Syaaban di Baitulhilal, Pantai Pasir Panjang, Segari. Seramai lebih 50 orang hadir bersama rombongan yang terdiri daripada pengajar dan penuntut Akademi Darul Turath al-Hajari, Banggol Batu, Lenggong, Perak. Rombongan hadir pada jam 4 petang telah disambut oleh pegawai dan kakitangan Bahagian Falak diketuai oleh Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Ustaz Nor Izwan bin Hamdan, Ustaz Mohd Tajuddin bin Che Din, Ustaz Zainuddin bin Muhammad serta dua orang pelajar Praktikal, Ustaz Mohamad Rashidi bin Mohamed Zubir dan Ustaz Umar Abdul Aziz bin Azhar. Program dimulakan dengan taklimat rukyah hilal oleh Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Ketua Bahagian Falak yang menyentuh aspek kedudukan anak bulan, umur dan jangkaan kenampakan. Selepas itu, semua rombongan dijemput ke tapak cerapan anak bulan di tepi pantai Baitulhilal. Sebanyak 5 peralatan telah dipasang dari pelbagai jenis teleskop dan total station. Keadaan cuaca berawan mendung di langit barat sedari jam 3 petang hingga ke malam telah menidakkan kenampakan anak bulan Syaaban. Namun begitu, pengalaman sebegini amat bermakna bagi semua ahli rombongan serta diharap dapat memberi manfaat yang sangat berguna untuk semua. Cerapan selesai kira-kira jam 8.30 malam ini telah memberikan satu dimensi baharu tentang kaedah dan prosedur kerja cerapan hilal kepada semua ahli rombongan. Moga ianya memberi manfaat yang akan dikira sebagai ibadah yang memberikan pahala yang berpanjangan. |
Sumber: Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.